1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional(PTPTN) akan mengambil tindakan yang tegas keatas peminjam yang degil
membayar hutang. Ini berikutan langkah yang bakal diambil oleh PTPTN iaitu
menyenarai peminjam yang terdiri dari lepasan universiti melalui Sistem
Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System)
atau lebih dikenali sebagai CCRIS. Antara yang direkodkan dalam CCRIS adalah
semua jenis pinjaman peribadi, pinjaman rumah, kenderaan, hutang kad kredit
serta menjadi penjamin kepada peminjam.
2. Sistem ini dikendalikan Biro Kredit
ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara 1958 dan mula beroperasi sejak tahun 1982.
Setiap institusi kewangan yang bernaung di bawah Bank Negara Malaysia (BNM)
akan menghantar maklumat semua peminjam secara bulanan ke BNM untuk dimasukkan
ke pengkalan data. Maklumat ini sentiasa dikemaskini berdasarkan laporan dari
institusi kewangan terbabit. Dengan adanya sistem CCRIS, institusi kewangan
boleh membuat semakan tentang komitmen kewangan seseorang yang ingin membuat
pinjaman.
3. Menurut Pengerusi PTPTN, Dato’ Syamsul
Nasarah, penyenaraian akan dibuat secara berperingkat melibatkan seramai
173,985 peminjam tegar yang langsung tidak pernah membayar pinjaman mereka
lebih 3 tahun dari tarikh mereka patut bayar balik dengan jumlah tunggakan
sebanyak RM1.23 billion. Langkah ini diambil setelah mendapat pandangan
Kabinet, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mahasiswa dan Jawatankuasa Fiskal.
4. PTPTN perlu menyediakan pinjaman sebanyak
5.0 billion setahun bagi membiayai kos
yuran dan sara hidup pelajar di IPTA dan IPTS. Sejak tahun 1997 hingga 30
September lalu, PTPTN sudah meluluskan pembiayaan pendidikan sebanyak RM48.36
billion kepada lebih 2.1 juta pelajar di negara ini.
5. PTPTN juga mengambil langkah penjimatan
bagi memastikan manfaat pembiayaan dapat diberi kepada semua yang memerlukan
kemudahan pembiayaan. Langkah pengurangan pembiayaan pinjaman adalah sebanyak
5% kepada IPTA dan 15% kepada IPTS. Langkah ini berikutan kekurangan dana bagi
menampung 50,000 peminjam baru yang akan memulakan pengajian pada bulan ini.
6. Kekurangan dana tersebut telah menyebabkan
PTPTN mengambil langkah drastik untuk menyenaraikan peminjam kedalam CCRIS bagi
memastikan peminjam membayar balik pinjaman mereka.
7. Tunggakan sebanyak RM1.23 billion
merupakan satu jumlah yang besar dan dapat memberi pinjaman kepada sebilangan
besar pelajar yang memerlukan. Langkah ini dilihat perlu kerana sekiranya tiada
usaha yang tegas diaambil maka lebih ramai lagi peminjam akan mengambil
kesempatan untuk menggelak dari membayar balik pinjaman.
8. Kerajaan juga faham masalah yang dihadapi
oleh pelajar kerana ada diantaranya masih tidak mendapat pekerjaan yang tetap
atau bekerja secara sambilan. Namun begitu peminjam mempunyai ruang untuk
berunding dengan pihak PTPTN bagi mencari kaedah dan jadual pembayaran yang
fleksibal bersesuaian dengan keadaan dan situasi peminjam tersebut.
9. Saban tahun pihak PTPTN telah berusaha
mendapatkan semula bayaran balik pinjaman dan
diskaun juga telah ditawarkan kepada peminjam yang ingin membayar penuh
pinjaman. Namun segala usaha yang dilakukan tidak menghasilkan pulangan yang
diharapkan dan masih ramai lagi peminjam yang berdegil untuk tampil membayar
balik pinjaman.
10. Sekiranya peminjam masih berdegil untuk
tidak mahu menjelaskan pinjaman, mereka bakal berdepan dengan masalah untuk
mendapat pinjaman dari institusi kewangan di masa akan datang. Melalui CCRIS
segala data peminjam direkod dan institusi kewangan akan menyemak melalui CCRIS
sebelum meluluskan sesuatu pinjaman itu. Peminjam akan menghadapi kesukaran
untuk membeli rumah, kenderaan atau membuat pinjaman peribadi dari institusi
kewangan kerana maklumat atau data peminjam akan mempengaruhi kelulusan
permohonan atau jumlah pinjaman.
11. Isu ini perlu dilihat dari sudut yang
positif kerana bilangan pelajar yang mendak melanjutkan pelajaran ke peringkat
pengajian tinggi semakin meningkat dari tahun ke tahun. Keperluan pendidikan
semakin meningkat dan persaingan untuk melanjutkan pelajaran semakin mendesak.
12. Matlamat penubuhan PTPTN untuk memberi
memberi pinjaman kepada pelajar ijazah pertama di institusi pendidikan tinggi
awam dan swasta tempatanuntuk membiayai yuran pengajian, kos sara hidup serta
pembelian buku dan peralatan yang berkaitan.
13. Sehubungan dengan itu, peminjam perlu
mempunyai rasa tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman kerana ramai yang
memerlukan pinjaman untuk meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi.
Pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu
menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan
kepada generasi seterusnya.
14. PTPTN telah merangka beberapa penyelesaian
bagi membantu peminjam yang disenaraikan dalam CCRIS termasuk membayar
keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui
potongan gaji atau arahan tetap bank.
15. Pada kesimpulannya, peminjam diberi masa
dan peluang untuk melunaskan hutang mereka dengan kaedah ansuran yang tidak
membebankan mereka. Mereka perlu mengambil kesempatan ini memandangkan kerajaan
telah banyak memberi ruang.
Hisham Nor.