Saturday 28 June 2008

Tahniah kepada Silatbond

Saya baru menyedari sahabat saya yang juga bendahari Kelab Bowling Kastam Putrajaya iaitu Saudara Nor Amran telah menjadi rakan blogger sejak april yang lalu. Syabas dan tahniah diatas usaha anda itu melalui Blog http://silatbond.blogspot.com yang membicarakan aktiviti-aktiviti seni silat yang mana keindahan dan kesenian silat itu perlu dipertahankan demi maruah serta warisan melayu. Blog beliau juga mengungkap isu-isu semasa yang boleh menjadi renungan bersama.

Saya amat menggalakkan rakan-rakan lain untuk turut serta menjadi rakan blogger bagi memeriahkan lagi dunia penulisan. Masing-masing mempunyai kemahiran yang tersendiri dan boleh kita bicarakan bersama melalui blog. Pastikan bahan-bahan yang dibicarakan itu tidak sensitif serta boleh menggangu ketenteraman orang lain. Tulislah dengan tertib mengikut adat dan kesusilaan bangsa kita.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday 26 June 2008

Ganjaran RM1 juta

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan untuk memberi insentif RM1 juta kepada pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik adalah wajar. Saya berpandangan sedemikian kerana para atlet telah banyak melakukan pengorbanan demi untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia. Sukan Olimpik adalah merupakan temasya sukan dunia yang utama. Ianya menjadi idaman kepada para atlet untuk bertanding pada sukan Olimpik dan tidak semua sukan di pertandingkan di Olimpik. Sehingga hari ini sukan Tenpin Bowling masih tidak di pertandingkan. Pihak World Tenpin Bowling Association (WTBA) masih berusaha untuk memasukkan sukan bowling ke Olimpik. Apa yang lebih mencabar adalah apabila atlet-atlet yang berstatus professional dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik.Apabila sukan badminton di pertandingkan di Olimpik pada tahun 1992, Malaysia hanya mendapat gangsa menerusi pasangan Razif dan Jailani. Bukan mudah untuk menggapai kilauan emas pada temasya sukan Olimpik.

Apabila saya ke sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006, banyak maklumat di terima berhubung dengan insentif atlet. Sukan Asia adalah merupakan sukan yang kedua terbesar selepas Olimpik. Atlet dari Singapura menerima sehingga S$250,00.00 (RM560,000.00) bagi setiap pingat emas yang di perolehi. Indonesia turut menawarkan ganjaran yang besar sehingga RM200,00.00 termasuk tanah dan sebagainya. Malaysia pula menawarkan ganjaran RM80,000.00 untuk setiap pingat emas yang dimenangi. Oleh yang demikian adalah wajar kerajaan menawarkan ganjaran RM1 juta kerana cabaran sukar yang di lalui oleh atlet untuk mencapai kejayaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 23 June 2008

Persembahan Cemerlang Kuala Lumpur



Pemain-pemain remaja Kuala Lumpur telah mempamerkan aksi cemerlang di Sirkit Remaja Kebangsaan peringkat negeri Johor yang berakhir semalam. Dalam kategori graded (15 tahun kebawah) Ikmal Hisham dan Shamira Manaf telah membolot tempat pertama bagi boys graded dan girls graded. Manakala bagi kategori girls open pula menyaksikan pertembungan pemain Kuala Lumpur di acara akhir stepladder iaitu Cheryl Cheong dan Nastasya Adam. Nastasya selaku naib juara sirkit Johor pada tahun lepas berjaya menumbangkan Cheryl Cheong. Walau apapun keputusan, tempat pertama dan kedua dimiliki oleh pemain Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun pemain lelaki dalam kategori open masih tercari-cari rentak dan gagal membawa kejayaan.

Kejayaan ini turut dikongsi oleh Encik Ali Hanapiah selaku pengurus dan jurulatih. Ianya merupakan pertama kali memimpin pemain-pemain ke Sirkit Remaja Kebangsaan. Di harap pemain-pemain tidak leka dan terus memberi tumpuan untuk sirkit seterusnya dan bermain dengan cemerlang lagi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday 18 June 2008

Keahlian 69

Khamis yang lalu saya telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kelab Bowling Kastam Putrajaya dan Saudari Ruhana selaku Ketua Biro Keahlian dan Data telah memaklumkan keahlian KBKPj telah mencecah ke angka 69 orang. Ianya satu perkembangan yang positif dalam sukan ini dan ramai ramai dikalangan warga ibu pejabat meminati sukan ini. Satu cabaran buat jawatankuasa untuk memastikan aktiviti-aktiviti kelab berjalan secara konsisten. Keputusan telah dicapai untuk meneruskan aktiviti sesi latihan siri ke-4 yang akan di adakan di ARL Powerbowl, Alamanda pada 20 Jun 2008 jam 5.30 petang. Insyaallah saya bersama Sobri akan membantu ahli-ahli dari segi teknik yang betul di dalam sesi ini.

Disamping itu juga, jawatankuasa juga telah membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan bulanan atau 'monthly medal' yang pertama pada 19 Julai 2008 di Warta Bangi. Setiap ahli akan diundi bagi menentukan kumpulan atau pasukan masing-masing untuk memastikan keseimbangan setiap pasukan. Ahli-ahli yang berminat boleh menghubungi Zulkifli Abdul Rahim 03-88822274.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Mini Pesta Antara Stesen

Majlis Sukan dan Kebudayaan Kastam (MSKK) akan menganjurkan Mini Pesta antara Stesen (Ibu Pejabat, KLIA dan Kuala Lumpur) bermula pertengahan Jun dan berakhir pada petengahan Julai 2008. sebanyak 9 acara akan di pertandingkan iaitu Bola Jaring, Bola Tampar(lelaki & wanita), Bolasepak, Dart, Sepak Takraw, Badminton, Ping Pong, Tenis dan Bowling. Objektif utama mini pesta ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan diantara ahli-ahli di ketiga-tiga stesen dan juga untuk membuat pemilihan pemain yang akan mewakili Kuala Lumpur ke Pesta Sukan Kastam yang akan diadakan pada pertengahan bulan Oktober di Kuala Lumpur.

Acara Tenpin Bowling akan di adakan pada 4 & 5 Julai 2008 jam 8.00 malam di Ampang Superbowl, IOI Mall, Puchong. Setiap pemain akan bermain 10 game ( 5 game hari pertama & 5 game hari kedua) dan pemenang akan ditentukan melalui jumlah jatuhan pin keseluruhan. Bayaran adalah sebanyak RM50.00 seorang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday 14 June 2008

Berakhirnya SUKMA edisi ke-12



Sukma edisi ke 12 telah pun berakhir Isnin yang lalu. Mungkin tidak terlewat untuk saya membuat rumusan berhubung dengan kejohanan dwi tahunan tersebut kerana masa yang agak terhad. Secara keseluruhannya pemain-pemain bowling Wilayah Persekutuan telah mempamerkan persembahan yang baik. Namun begitu banyak ruang yang perlu di perbaiki di masa akan datang. Isu ketahanan mental masih lagi menghantui di pemikiran pemain. Persediaan mental yang saya sediakan selama 2 minggu adalah tidak mencukupi untuk pemain-pemain. Masih ada pemain yang mengadu kepada saya yang mereka berasa takut dan tiba-tiba hilang keyakinan terutama sebelum pertandingan bermula. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu tiba di arena bowling, pemain-pemain seharusnya telah bersiap sedia seolah-olah untuk pergi berperang dengan segala kelengkapan yang ada dan telah dibekalkan. Ada juga pemain yang berjumpa selepas permainan untuk mendapatkan nasihat. Insyaallah saya akan merangka beberapa program yang berkaitan dengan persediaan mental dikalangan pemain dalam masa yang terdekat ini.

Pasukan Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua secara keseluruhan selepas Selangor. Ini merupakan pencapaian yang terbaik setakat ini dimana Sukma ke 11 di Kedah hanya sekadar mengutip 1 emas sahaja. Persediaan awal akan dilakukan untuk menghadapi Sukma ke 13 di Melaka pada tahun 2010. Tuan rumah Melaka seharusnya mengambilkira aspek penginapan agar ianya dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk bagi memastikan keselesaan kepada pemain. Tuan rumah Terengganu secara keseluruhan telah menganjurkan Sukma ke 12 ini dengan jayanya. Makanan-makanan yang disediakan juga baik serta bermutu dan juga venue yang selesa di sepanjang kejohanan. Saya memuji langkah penganjur apabila menyediakan 'Wi-Fi' percuma di hari kedua kejohanan. Masa agak terhad bagi saya untuk menulis blog di venue kerana banyak menghabiskan masa untuk persediaan bersama pemain-pemain. Kerajaan Negeri Terengganu telah membelanjakan billion ringgit dalam menyediakan insfrastruktur sukan. Stadium Sultan Mizan adalah merupakan stadium negeri yang terindah dan terbesar di Malaysia dengan kapasiti 55,000 orang pada setiap waktu. Begitu juga dengan stadium tertutup yang bersebelahan dengan Stadium Utama juga tidak kurang hebatnya. Walau apapun, Tahniah kepada Kerajaan Terengganu kerana berjaya menganjurkan Sukma ke 12 dan seterusnya menjadi johan keseluruhan Sukma ke 12 ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday 10 June 2008

Cheryl Penyelamat Sasaran

Tahniah kepada Cheryl Cheong kerana berjaya mengutip pingat emas dalam acara Masters Wanita dan sekali gus melengkapkan sasaran 2 emas dari Tenpin Bowling. Kemenangan ini sangat-sangat diperlukan dan seluruh ahli pasukan terpaksa menanti sehingga ke frame yang terakhir di game ke-16 untuk mendapatkan kepastian. Akhirnya Cheryl berjaya menumbangkan Tengku Emima dari kedah dengan kelebihan hanya 2 pin. Cheryl ketinggalan 40 pin di belakang Tg. Emima pada game ke-15. Berkat kesungguhan beliau telah memaksa Tg. Emima mengalah pada frame terakhir yang mana Cheryl hanya memerlukan strike untuk menang. Saya berasa terharu di atas kejayaan ini kerana kami terpaksa menunggu selama 7 hari untuk mendapatkan pingat emas yang kedua selepas Yusof memenangi pingat emas yang pertama dalam kategori lelaki individu di hari kedua. Berkat kesabaran pemain telah membuahkan hasil dan kejayaan ini adalah yang terbaik bagi pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan sepanjang penglibatan di Sukma.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday 6 June 2008

Trio sekadar pingat gangsa

Pasukan Trio Wilayah Persekutuan Lelaki dan Wanita sekadar mendapat pingat gangsa walaupun pada blok pertama pasukan lelaki telah mendahului senarai. Trio lelaki terdiri dari Syimir, Amirrul dan Yusof bermula dengan baik pada blok yang pertama tetapi hambar pada blok kedua sehingga memberi laluan mudah kepada pasukan Selangor untuk menjuarai kategori Trio Lelaki. Begitu juga dengan Trio wanita yang terdiri dari Cheryl Cheong, Najwa dan Hee Kar Yen gagal mengutip mata yang tinggi untuk muncul sebagai juara. Harapan seterusnya adalah kategori berpasukan 4 orang Lelaki dan Wanita dan keputusan bakal diketahui esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday 5 June 2008

Pingat Perak buat Yusof dan Najwa

Gandingan beregu campuran Yusof dan Najwa sekadar mendapat pingat perak walaupun mendahului senarai pada permainan blok pagi. Walaubagaimanpun pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan telah berjaya mengumpul pingat yang kedua pada hari ketiga. Ada baki 8 pingat yang akan di pertandingkan. Pada hari ini acara Trio sedang berlangsung dan keputusannya akan diketahui pada lewat petang ini. Kedudukan terkini 1 Emas dan 1 Perak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday 3 June 2008

Amaran awal Yusof

Semalam menyaksikan pemain Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan, Yusof Abd Raof berjaya menggondol pingat emas untuk tenpin bowling di Arena Bowling. Kejayaan yang sangat di harapkan itu memberi semangat kepada pemain-pemain lain untuk terus berjuang kerana ada 10 pingat lagi yang akan di pertandingkan. Semoga semangat pemain akan terus berada di tahap yang tinggi.

Mohd Hisham Mohd Nor.