Tuesday 13 May 2014

ULANGTAHUN PERTAMA INSPIRASI WAWASAN

Saya amat bersyukur kerana pada hari ini iaitu 13 Mei 2014, genap setahun penubuhan Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur atau di kenali sebagai Inspirasi Wawasan. 

Inspirasi Wawasan yang diasaskan oleh saya bersama rakan seperjuangan yang lain iaitu Sdr. Mohamad Haizam Hashim selaku Timbalan Presiden, Sdr. Nor Amran Abdullah selaku Setiausaha Kehormat serta Sdri. Hanizah Zainal, Sdr. Nur Naaim Ab. Hamid, Sdr. Razif Yahya dan Sdri. Azila Amat telah berjaya memberi satu persekitaran yang baru dalam dunia kerja sukarelawan. 

Inspirasi Wawasan ditubuhkan dibawah Pendaftar Pertubuhan dan di sahkan pendaftarannya pada 13 Mei 2013 di Putrajaya. Matlamat penubuhan adalah memberi inspirasi kepada pelajar peringkat menengah di luar bandar melalui program inspirasi4u. Matlamat kedua pula ialah memberi kesedaran tentang cukai kepada pelajar diperingkat pengajian tinggi atau universiti melalui program cukai4u. Manakala matlamat ketiga pula adalah mengembangkan aktiviti sukan di kalangan remaja agar golongan ini dapat menggunakan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Matlamat keempat pula adalah mengadakan aktiviti kebajikan melalui program charity4u. Program yang diadakan adalah seperti lawatan sambil belajar kepada anak yatim serta program berbuka puasa di bulan Ramadhan.

Di sepanjang satahun yang lalu, kepimpinan Inspirasi Wawasan telah melaksanakan program berbuka puasa dan solat terawih bersama penghuni rumah kasih Nurul Hasanah di Ampang serta mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara dan Putrajaya sambil menaiki Cruise Tasik. Program Cukai4u pula telah diadakan di Kolej Universiti Islam Melaka pada Januari 2014 dan Shah Alam Convention Centre pada April 2014.

Program inspirasi4u pula telah melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba pada bulan Oktober 2013. Program tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya serta mendapat sambutan di kalangan pelajar di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, beberapa perancangan telah di atur bagi merancakkan aktiviti IW dan inspirasi4u akan dikembangkan ke sekolah di kawasan pedalaman. Hasil dari kejayaan Seminar Percukaian IPT melalui program cukai4u, IW telah menerima beberapa pelawaan dari Kolej dan Universiti untuk mengadakan Seminar Percukaian IPT dan insyaallah pihak IW akan mengatur beberapa perbincangan dengan pihak kolej dan universiti bagi merealisasikan hasrat tersebut

Harapan saya adalah untuk melihat ramai pelajar di peringkat sekolah menengah di luar bandar mendapat suntikan semangat melalui program inspirasi4u. Mereka ini tidak mendapat peluang seperti pelajar di bandar-bandar dan melalui program ini sedikit sebanyak akan dapat membantu mereka dalam pelajaran serta mengenalpasti matlamat untuk perjalanan seterusnya.

Begitu juga dengan aktiviti yang lain seperti Seminar Percukaian, matlamat IW adalah supaya lebih ramai golongan pelajar dan belia faham tentang cukai secara amnya serta Cukai Barang dan Perkhidmatan yang akan dilaksanakan nanti.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar, Inspirasi Wawasan di beri kekuatan dan idea bagi membantu anak bangsa.

Sekian, wassalam.

Presiden
Inspirasi Wawasan.