Sunday 31 January 2010

Jurulatih Asing

Saya begitu tertarik dengan catatan atau pandangan Saudara Mirnawan Nawawi, bekas pemain hoki kebangsaan yang menggesa agar Persatuan Hoki Malaysia (PHM) mengambil jurulatih dari luar untuk membimbing skuad kebangsaan.

Sejauhmanakah peranan jurulatih asing dalam membimbing skuad kebangsaan membawa kejayaan? Isu ini begitu subjektif dan ianya sering ditimbulkan apabila sesebuah pasukan yang dibimbing oleh jurulatih asing itu gagal mempamerkan persembahan yang menarik dan gagal dalam sesuatu kejohanan.

Secara peribadi, saya berpandangan jurulatih asing ini perlu bagi sesebuah pasukan yang mempunyai wawasan atau halatuju yang jauh dalam mencapai kejayaan. Seseorang jurulatih yang diambil pula perlulah mempunyai kepakaran yang tertentu dan ianya tidak dimiliki oleh jurulatih tempatan. Selain dari itu, pengalaman membimbing pasukan lain hingga membawa kejayaan juga menjadi kayu pengukur dalam menentukan jurulatih. Sebagai contohnya, jurulatih yang dicadangkan oleh Saudara Minarwan iaitu Roelant Oltmans dari Belanda mempunyai pengalaman membimbing skuad hoki Belanda menjuarai Piala Dunia 1998 serta pingat emas di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Dalam sukan tenpin bowling misalannya, terdapat beberapa jurulatih tempatan tidak bersetuju dengan kehadiran jurulatih dari luar. Alasan yang diberi adalah jurulatih dari luar tidak memberi tumpuan sepenuhnya dan kehadiran mereka lebih kepada memasarkan diri mereka kepada negara-negara lain. Jelas mereka lagi, apabila pasukan kalah, pemain sering dipersalahkan dan jurulatih itu betul tindakannya.

Pada hakikatnya kehadiran beberapa jurulatih luar telah memberi banyak kejayaan kepada pasukan negara. Sebagai contohnya, Sid Allen yang menjadi jurulatih pasukan bowling negara pada tahun 1990an telah banyak melahirkan bintang-bintang dunia seperti Shalin Zulkifli, Alex Liew, Zulmazran serta beberapa pemain lain. Walaupun kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi, hasilnya begitu berbaloi.

Begitu juga dengan Bill Rowe, merupakan pakar dalam bola bowling telah bersama pasukan kebangsaan dalam beberapa siri kejohanan penting seperti World Mens Championship di Korea serta Sukan Asia di Doha. Dalam bidang kejurulatihan juga, tidak ketinggalan bagi saya menyebut Joe Slowinski yang berada di Malaysia selama 2 tahun untuk merangka program pembangunan bowling serta melatih lebih 100 orang jurulatih di Malaysia. Saya merupakan salah seorang yang dapat memanafaatkan dari pengalaman yang beliau miliki.

Jurulatih asing terutama dari barat ini mempunyai kepakaran yang tertentu dalam sukan yang berkaitan. Saya mengatakan begitu kerana hasil dari pandangan serta kajian yang dilakukan, jurulatih dari luar ini banyak melakukan study serta kajian dalam melaksanakan tugas jurulatih. Mereka mempunyai perancangan serta program yang tersusun dalam membentuk pasukan yang mantap. Disamping itu pengambilan data sering dilakukan bagi memantu prestasi para pemain atau pelatih.

Perkara ini tidak begitu kelihatan dikalangan jurulatih tempatan terutama di peringkat negeri atau bawahan. Ada yang saya perhatikan, jurulatih datang melatih dan pulang tanpa mengambil data pemain dan sebagainya.

Oleh itu saya berpandangan pengambilan jurulatih yang berpengalaman adalah penting kerana mereka ini mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa serta pernah mengecapi kejayaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday 15 January 2010

CDM Sukan Komanwel 2010

TanSriHalilSaya ingin mengucapkan tahniah kepada Y.Bhg. Tan Sri Abdul Halil abd. Mutalib, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan diatas perlantikan beliau sebagai Chef-de-Mission ke temasya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi.

Beliau menggantikan Datuk Nadzmi Mohd Salleh yang menarik diri dari jawatan tersebut atas sebab-sebab kesihatan. Difaham Y.Bhg. Tan Sri telah pun dimaklumkan berita tersebut dan beliau telah menerima perlantikan tersebut menurut sumber dari Majlis Olimpik Malaysia.

Y.Bhg. Tan Sri Abdul Halil memang tidak asing bagi saya secara peribadi kerana beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Kastam Malaysia 2000-2005. Saya juga sempat beberapa kali menemui beliau di beberapa majlis anjuran Majlis Sukan Negara.

Saya sangat percaya dengan kebolehan serta sifat kepimpinan yang ada pada beliau mampu memacu pasukan atau kontinjen Malaysia kearah kecemerlangan. Beliau pasti akan lebih sibuk dan tidak duduk diam ketika menjelangnya sukan komanwel nanti kerana ketika memimpin jabatan beliau mengamalkan kepimpinan MBWO atau management by walking around iaitu turun padang bagi melihat sendiri apa yang berlaku.

Saya berharap dengan perlantikan tersebut akan memberi sinar baru kepada kontinjen Malaysia nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tahniah Pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Agak lewat ketika blog ini ditulis untuk saya mengucapkan tahniah. Namun di kala waktu kelapangan ini dapat saya mencuri masa untuk menulis blog yang agak lama tidak dikemaskini.

Tahniah saya ucapkan kepada semua pemain-pemain Wilayah persekutuan Kuala Lumpur yang beraksi pada Kejohanan Tenpin Bowling Antara Negeri di Megalanes, Sunway dua hari yang lalu. Mereka berjaya merangkul 4 pingat emas, 4 perak dan 3 gangsa. Kejayaan ini seterusnya membawa mereka menduduki tempat kedua keseluruhannya.

Juara keseluruhan seperti di duga adalah pasukan Selangor yang telah mengengam kejuaraan keseluruhan sebanyak lebih 20 kali.

Saya berharap prestasi yang lebih cemerlang dapat ditunjukkan oleh pemain pada temasya Sukma yang akan datang ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday 10 January 2010

Perasmian Kejohanan Bowling Interstate dan Malaysia Close 2010

IMG_0887

IMG_0889IMG_0893

Sebentar tadi saya menghadiri majlis perasmian kejohanan tenpin bowling antara negeri dan tertutup kebangsaan yang berlangsung di Megalanes, Sunway Pyramid. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Razali Hj. Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Kejohanan ini berlangsung selama satu minggu dan sebanyak 14 negeri mengambil bahagian termasuk Sabah dan Sarawak. Semasa ucapan Y.B Timbalan Menteri, beliau ada memaklumkan bahawa Sukan Tenpin Bowling adalah yang pertama dianjurkan pada tahun ini. Seperti kelaziman kejohanan ini diadakan pada bulan Januari bagi setiap tahun kalender.

Saya ini mengucapkan syabas kepada semua pasukan yang bertanding dan semoga pertandingan ini bukan sahaja sebagai medan mengukur prestasi tetapi menyemarakkan semangat kesukanan serta persahabatan antara pasukan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 4 January 2010

Hari Tanpa Bag Plastik

Setiap hari apabila kita membeli barang di kedai runcit atau pun di pasaraya, pembeli akan diberi bag plastik untuk diisi barang yang telah dibeli. Setiap hari juga bag plastik bertebaran di merata tempat apabila ianya tidak digunakan lagi. Keadaan ini boleh mengundang kepada pencemaran alam sekitar. Tambah buruk apabila bag plastik itu tadi dibuang kedalam sungai. Ianya akan menyebabkan hidupan seperti ikan tersangkut dan mati di dalamnya. Banyak kesan negatif yang terdapat pada bag plastik ini dan ada kajian membuktikan ianya boleh mengundang pelbagai penyakit kepada manusia.

Beberapa negara maju di dunia telah mengharamkan penggunaan bag plastik sebagai langkah untuk memelihara alam sekitar. China dan Amerika Syarikat merupakan negara yang telah mengharamkan penggunaan bag plastik dan pengguna dikehendaki membawa bag sendiri ke kedai atau pasaraya kerana mereka tidak dibekalkan plastik. Sebaliknya mereka terpaksa membayar sejumlah wang sekiranya ingin dibekalkan plastik.

Saya menyambut baik langkah kerajaan negeri Selangor yang melancarkan ‘Hari Tanpa Bag Plastik’ bermula 1 Januari 2010 untuk tempoh enam bulan. Difahamkan kempen ini mendapat sambutan dari peruncit-peruncit utama di Selangor. Apa tidaknya, situasi ini dapat mengurangkan kos operasi syarikat apabila tidak membekalkan bag plastik kepada pengguna.

Petang tadi saya terlihat notis pada sebuah gedung membeli belah di Selangor, yang tercatat mulai 9 Januari 2010 dan setiap hari Sabtu yang berikutnya, pembeli tidak akan dibekalkan dengan bag plastik. Sebaliknya pembeli akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen sekiranya memerlukan bag plastik. Pembeli-pembeli digalakkan membawa bag ketika membeli belah di pasaraya berkenaan. Ini bagi mendidik pengguna tentang kepentingan untuk mengurangkan penggunaan bag plastik.

Saya masih tertanya-tanya, di peringkat Kementerian Alam Sekitar atau lebih tepatnya kerajaan pusat, bilakah kempen yang agresif hendak dilaksanakan. Walaupun kempen ini dianggap kecil, tetapi ianya mampu memberi kesan yang positif di masa akan datang.

Disamping itu, sebagai pengguna kita juga perlu lebih bertanggungjawab serta bergerak setapak kehadapan untuk melaksanakan kempen ini dan tidak perlu menunggu kerajaan melancarkan kempen kesedaran baru memulakannya.

Kerjasama dari semua pihak akan dapat memastikan kempen ini berjaya dilaksanakan. Kita nantikan bersama selepas enam bulan nanti, apakah kesan yang diperolehi oleh kerajaan negeri Selangor selepas kempen ini dilaksanakan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday 2 January 2010

Penjenamaan Blog

Mulai hari ini saya melakukan perubahan kepada blog ini yang telah mencapai usia 2 tahun kewujudannya. Catatan blog  ketika ini hanya tertumpu kepada isu-isu yang berkaitan dengan sukan serta perkembangannya. Saya akan memperluaskan catatan-catatan kepada isu-isu semasa seperti ekonomi, sosial dan politik. Pandangan-pandangan dari skop tersebut dapat dikongsi bersama serta ilmu-ilmu baru yang dapat dimanafaatkan bersama rakan-rakan.

Insyaallah pengalaman saya dibidang pengurusan dan perundangan umpamanya dapat dikongsi bersama bersama rakan-rakan. Saya sangat mengalu-alukan komen serta pandangan dari pembaca agar blog ini dapat memaparkan catatan yang sihat dan berfaedah. Ada perkara-perkara saya tidak ketahui dan ada perkara-perkara yang pembaca tidak ketahui boleh dikongsi bersama.

Semoga saya diberi kekuatan mental dan fizikal untuk terus memberi sumbangan idea yang bernas untuk kita kongsi bersama. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday 1 January 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakan-rakan di mana jua anda berada. Semoga tahun baru ini akan memberi keazaman yang lebih kuat untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Setiap insan pasti mempunyai azam serta sasaran peribadi yang ingin dicapai. Saya juga tidak ketinggalan untuk memenuhi azam di tahun 2010. Sudah pasti ada beberapa kejayaan yang dikecapi pada tahun 2009 dan yang kemuncaknya ialah tamat pengajian dengan jayanya Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) M.Sc(management). Insyaallah konvokesyen akan berlangsung pada bulan Mac 2010 di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Disamping itu, pada tahun 2009 juga saya mengekalkan jawatan Setiausaha Kehormat Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dan Ahli Majlis Kongres Tenpin Bowling Malaysia(MTBC).

Namun begitu saya tewas pada pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) untuk jawatan Penolong Setiausaha Kehormat. Percubaan yang pertama menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna apabila bertanding diperingkat tertinggi badan sukan yang mentadbir semua badan sukan kebangsaan. Sekiranya diberi peluang, saya akan mempertimbangkan semula untuk bertanding diperingkat OCM.

Saya berazam untuk terus menyumbangkan tenaga dalam aktiviti bowling diperingkat negeri dan juga kebangsaan mahupun diperingkat jabatan yang menjadi majikan saya.

Namun begitu, saya akan membuat satu keputusan dalam masa terdekat ini berhubung dengan tugasan saya sebagai jurulatih remaja Kuala Lumpur. Saya belum dapat memastikan atau membuat keputusan samada untuk meneruskan atau ‘bersara’ dari dari bidang kejurulatihan. Insyaallah saya akan mengumumkan secara rasmi di dalam blog saya apabila tiba masanya nanti.

Saya berharap rakan-rakan saya juga mempunyai azam baru atau perlu dibereskan jika tidak dapat dibereskan pada tahun 2009. Semoga segala usaha yang dilakukan akan diberkati Allah swt.

Mohd Hisham Mohd Nor.