Sunday 14 February 2010

Sang pepatung …

IMG_8541

IMG_8571

IMG_8681

Saya tertarik melihat hiasan di Centre Court, Midvalley Megamall bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina. Kelihatan seolah-olah sang pepatung berterbangan di sekitar Centre Court serta dihiasi menara purba cina abad ke 16.

Saya tertanya-tanya juga, mengapa pepatung dipaparkan dan tidak kelihatan sang harimau sebagai hiasan simbolik tahun harimau pada tahun ini. Jawapannya mungkin ada pada pengurusan Midvalley atau pembaca blog ini yang telah ke Midvalley mungkin dapat memberi jawapan atau kesimpulannya.

Turut mengamit perhatian pengunjung adalah persembahan akrobatik guangxi yang dipersembahkan kepada pengunjung. Aksi-aksi yang cukup merbahaya ini telah memukau perhatian pengunjung ke Midvalley pada siang tadi.

Saya turut teruja dengan persembahan tersebut kerana mereka melakukan aksi tersebut dengan penuh konsentrasi serta mendapat tepukan yang gemuruh dari pengunjung-pengunjung. Semangat 1 Malaysia menjadi teras kepada persembahan tersebut apabila semua bangsa menyaksikan persembahan tersebut.

Semoga tahun harimau ini membawa kemakmuran kepada kita semua rakyat di Malaysia ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Gong Xi Fa Chai

Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan-rakan berbangsa Tionghua yang menyambutnya pada hari ini. Semoga tahun harimau ini memberi rezeki yang melimpah serta kejayaan dicipta dalam apa jua bidang yang diceburi.

Semangat 1Malaysia dalam rakyat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia ini disemarakkan lagi dengan aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan-rakan. Semoga masyarakat majmuk di Malaysia terus makmur selamanya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday 7 February 2010

Tahniah USPTN MSWP

Saya mengucapkan tahniah kepada pelatih-pelatih dibawah kendalian saya pada tahun 2009 kerana telah terpilih untuk mengikuti latihan Sukan Prestasi Tinggi Negeri 2010.

Mereka terdiri dari Amirul, Syafiq Ikhwan, Nur Shafiq, Atiq, Nadzrin, Siti dan Syazana. Semoga dengan ‘kenaikan pangkat’ ke tahap latihan yang lebih tinggi ini akan memberi cabaran serta pengalaman baru kepada mereka untuk lebih berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai cita-cita yang mereka idamkan.

Pelatih dibawah kendalian saya seramai 12 orang, dan hanya 9 orang sahaja yang hadir untuk sesi penilaian 2009. Daripada 9 orang, hanya 7 orang terpilih manakala 2 lagi iaitu Amirul Fahmi dan Syakeira tidak terpilih untuk mengikuti latihan USPTN.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 1 February 2010

Selamat Hari Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meraikan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2010. Sambutan ini diadakan pada setiap tahun bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan pada ketika itu hanya merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkembang dengan pesat dan maju dari pelbagai sudut. Saya melihat dari sudut sukan serta pencapaiannya dan dalam tempoh 36 tahun, banyak kejayaan di gapai dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Sukan Bowling Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan dalam usaha memajukan sukan bowling di Wilayah Persekutuan. Sepanjang tempoh saya memegang jawatan Setiausaha Kehormat, Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2004, memperlihatkan banyak kemajuan yang dicapai di peringkat kebangsaan.

Ramai pemain-pemain dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diserapkan ke dalam skuad remaja kebangsaan dan ada di antaranya menempatkan diri di dalam skuad elit kebangsaan. Penyertaan mereka diperingkat kebangsaan menyaksikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak pernah sepi berada di podium dalam setiap acara yang disertainya.

Kini pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempersiapkan diri untuk berdepan dengan temasya terbesar negara iaitu Sukan Malaysia atau SUKMA 2010 yang akan berlangsung di Melaka pada bulan Mei nanti. Pada Sukma 2008 di Terengganu, pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan berjaya mendapat 2 pingat emas, 3 perak. Sudah pasti harapan yang menggunung disandarkan kepada kepada pemain-pemain yang bakal beraksi nanti.

Harapan serta azam saya pada Hari Wilayah Persekutuan adalah untuk memastikan lebih ramai pemain-pemain remaja atau pelapis berjaya di peringkat kebangsaan dan seterus mewakili negara. Semoga usaha yang berterusan oleh barisan kepimpinan Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan ini akan melahirkan lebih ramai bintang-bintang sukan bowling. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.