Pengenalan
Cukai Barang dan Perkhidmatan atau di kenali
sebagai GST telah lama menjadi tajuk perbualan di kalangan masyarakat negara
ini. Ianya bermula sejak tahun 2004 apabila Y.A.B. Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badwi
pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan mengumumkan
pelaksanaan GST pada pembentangan Belanjawan Negara 2005 di parlimen. Kerajaan
telah mencadangkan GST di laksanakan
pada 1 Januari 2007 dan segala persiapan dari aspek dasar, perundangan dan
perkomputeran perlulah disiapkan dalam tempoh tersebut.
Kajian yang mendalam dan terperinci telah di
lakukan oleh Panel Kajian Semula Cukai, Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan
Kastam Diraja Malaysia melalui pasukan kerja yang dibentuk dan beberapa negara
yang telah melaksanakan GST dijadikan model untuk merangka model GST Malaysia.
Beberapa siri lawatan ke luar negara juga telah dilakukan untuk mengkaji dan
melihat dengan lebih dekat pelaksanaan di negara yang telah berjaya dalam
pelaksanaan GST.
Persatuan di kalangan industri juga turut
melibatkan diri dalam dialog dan konsultasi anjuran Panel Kajian Semula Cukai
bagi memastikan dasar yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan industri.
Pihak industri telah diberi peluang untuk memberi pandangan dan komen tentang
deraf perundangan dan polisi yang dirangka bagi model GST Malaysia.
Namun begitu, pada Januari 2006 Y.B Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop selaku Menteri Kewangan II telah mengumumkan pelaksanaan GST
pada 1 Jan 2007 ditangguhkan. Penangguhan ini adalah untuk memberi peluang
kepada peniaga supaya memahami dan lebih bersedia untuk menghadapi GST.
Setelah pelbagai usaha dilaksanakan untuk
memberi kesedaran dan pendidikan kegada golongan peniaga, akhirnya pada 25
Oktober 2013, Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia
merangkap Menteri Kewangan Malaysia melalui pembentangan bajet 2014, telah
mengumumkan pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
Pengumuman tersebut sememangnya di nantikan oleh
rakyat khususnya komuniti perniagaan. Saban tahun, setiap kali pembentangan
bajet pelbagai spekulasi wujud di kalangan peniaga yang ingin mengetahui samada
pengumuman tentang pelaksanaan GST ini akan buat oleh Perdana Menteri.
Segalanya terjawab pada pembentangan bajet 2014 dan rakyat serta komuniti perniagaan
perlu melakukan persediaan bagi menghadapi pelaksanaan GST kelak.
Reaksi rakyat
tentang pelaksanaan GST
Pengumuman kerajaan untuk melaksanakan GST telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan
rakyat dan peniaga. Golongan peniaga tidak mempunyai banyak masalah dengan
pelaksanaan GST kerana mereka boleh menuntut semula GST yang telah dibayar
untuk pembelian barang dan perkhidmatan bagi tujuan perniagaan dan ini secara
langsungnya akan mengurangkan kos perniagaan mereka.
Reaksi yang bercampur pula timbul dikalangan
masyarakat umum khususnya pengguna. Mereka adalah golongan yang akan menanggung
serta membayar GST kepada kerajaan. Pemahaman yang jelas perlu diberikan kepada
rakyat dan pengguna bagi memastikan mereka faham tentang konsep GST. Pada
umumnya, rakyat telah mendapat maklumat tentang GST melalui ceramah dan dialog
yang dianjurkan oleh kementerian kewangan dan Jabatan Kastam. Sebahagian dari
mereka dapat memahami konsep cukai kepenggunaan dan GST khususnya.
Ada dikalangan pengguna yang keliru dengan
pelaksanaan GST kerana mereka telah disajikan dengan pelbagai maklumat yang
tidak tepat hingga menyebabkan mereka marah dan menentang pelaksanaan GST. Dalam
era teknologi maklumat, pengguna boleh mengakses maklumat melalui internet dan
mereka boleh membuat perbandingan melalui maklumat yang disebarkan. Penerangan
yang jelas dan tepat adalah perlu memandang GST ini merupakan sistem percukaian
yang unik. Program ceramah dan taklimat perlu sampai hingga ke peringkat akar
umbi iaitu bandar, daerah, mukim, kampung hingga ke kawasan pedalaman.
GST adalah merupakan salah satu instrument
persediaan ke arah negara maju pada tahun 2020. Sebahagian besar negara maju di
dunia ini telah melaksanakan sistem percukaian GST.
Mengapa GST
penting kepada negara
GST adalah merupakan Cukai Kepenggunaan yang
akan menggantikan cukai semasa iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Cukai
Jualan telah dilaksanakan sejak tahun 1972 manakala Cukai Perkhidmatan telah
dilaksanakan sejak 1975.
Kedua-dua cukai ini didapati tidak lagi relevan dengan
keadaan semasa kerana ianya mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai
berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang
dieksport dan isu pindahan harga atau transfer
pricing. Ianya perlu digantikan dengan satu sistem percukaian yang
menyeluruh dan saksama bagi memanfaatkan seluruh rakyat.
Pada ketika ini Cukai Jualan adalah pada kadar 5%
dan 10% manakala Cukai Perkhidmatan adalah sebanyak 6%. Kerajaan telah
mencadangkan GST yang akan dilaksanakan adalah pada kadar 6% dan ianya adalah
yang terendah di kalangan negara ASEAN yang puratanya adalah 7% hingga 10%.
Sehingga hari ini sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST
dengan jayanya.
GST merupakan satu sistem percukaian yang lebih
efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan
ekonomi domestik serta meningkatkan daya saing kepada pelaburan global. Ianya merupakan
sistem percukaian yang dikenakan di setiap peringkat pengedaran dari
pengilangan, pemborong, peruncit hingga pengguna. Peniaga boleh menuntut
kembali cukai yang telah dibayar untuk tujuan perniagaan melalui sistem kredit
cukai input.
GST adalah merupakan cukai tidak langsung dan
ianya satu sistem percukaian yang stabil dan mampu menjana pendapatan yang
konsisten kepada negara. Pada ketika ini, negara terlalu bergantung kepada
hasil petroleum dan gas di mana ianya menyumbangkan hampir sepertiga dari
pendapatan negara. Memandangkan simpanan minyak negara semakin berkurangan,
maka kerajaan
perlu mencari sumber baru bagi pendapatan negara
dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada minyak dan gas yang
mempunyai jangka hayat yang terhad.
Pendapatan dari cukai langsung seperti cukai
pendapatan dan cukai korporat memberi pendapatan yang lumayan untuk negara.
Namun begitu ianya bukanlah pendapatan yang stabil kerana apabila ekonomi
merudum, keuntungan yang yang diperolehi oleh syarikat akan berkurangan dan
jumlah cukai korporat yang dibayar berkurangan. Senario yang sama juga dengan
pendapatan petroleum, apabila harga minyak melambung sehingga USD100 dollar
setong, Petronas akan meraih keuntungan yang besar dan memberi sumbangan yang
tinggi dalam bentuk cukai kepada kerajaan.
Oleh itu, GST adalah merupakan satu sistem
percukaian yang lebih stabil dan ia merupakan broadbased tax dan berdasarkan kepenggunaan.
Bagaimana GST
memberi manafaat kepada rakyat
GST adalah merupakan cukai penggunaan yang mana
ia dapat mengawal perbelanjaan seseorang individu tersebut. Sekiranya seseorang
itu suka berbelanja maka lebih banyak GST yang akan dibayar. Melalui sistem
percukaian ini, golongan yang berpendapatan tinggi ini akan membayar GST yang
banyak berbanding golongan berpendapatan rendah.
Sistem yang lebih telus pula memberi manfaat
yang besar kepada pengguna kerana mereka tahu berapa jumlah cukai yang dibayar
berbanding dengan sistem sekarang. Setiap resit yang di cetak akan tertera jumlah
cukai yang telah dibayar dan pengguna dapat mengetahui jumlah cukai yang
dibayar. Pengguna boleh menyimpan data peribadi tentang perbelanjaan harian
serta jumlah cukai yang telah dibayar atau di sumbangkan kepada kerajaan. Dalam
situasi ini, pengguna boleh mengawal perbelanjaan mereka dengan memantau jumlah
perbelanjaan harian dan bulanan. Lebih banyak mereka berbelanja maka lebih
banyak cukai yang perlu mereka bayar.
Cukai yang dikutip akan disalurkan kembali
kepada rakyat melalui pembangunan seperti jalanraya, sekolah, perkhidmatan
kesihatan dan juga keselamatan. Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif
cukai dan galakan pelaburan kepada sektor swasta bagi menggalakkan pertumbuhan
ekonomi yang pesat dan ianya secara tidak langsung meningkatkan peluang
pekerjaan rakyat.
Usaha kerajaan
memberi kesedaran kepada rakyat
Kerajaan telah mengadakan program kesedaran
tentang GST khususnya kepada komuniti perniagaan sejak tahun 2005. Program
konsultasi dan kesedaran telah diadakan dengan tujuan untuk memberi kefahaman
kepada peniaga tentang konsep dan mekanisme gst kepada komuniti perniagaan.
Program bersama rakyat juga telah diadakan
melalui program bersama penduduk atau masyarakat setempat yang dianjurkan oleh
pemimpin setempat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dan Ahli Parlimen.
Rakyat telah diberi penjelasan tentang konsep GST dan yang lebih penting ialah
ianya tidak membebankan rakyat. Rakyat perlu faham tentang konsep cukai
khususnya mengapa cukai dikutip, bagaimana ianya dikutip dan ke manakah kutipan
itu akan disalurkan.
Secara keseluruhannya, GST adalah merupakan sistem
percukaian yang adil, telus dan menyeluruh yang memanfaatkan semua rakyat
Malaysia. Ianya mengurangkan karenah birokrasi dan kebergantungan kepada cukai
pendapatan dan petroleum. Ianya menjadikan negara lebih berdaya saing serta
dapat menggalakkan kemasukan pelaburan asing.
Semua pihak perlu memberi sokongan serta
membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang tepat bekaitan GST. Kerjasama
dari badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan-persatuan Pengguna
Malaysia(FOMCA), Persatuan Pengguna Islam(PPIM) dan Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) amat penting bagi membantu
memberi penerangan kepada pengguna dan peniaga.
No comments:
Post a Comment