Saturday 22 August 2009

Salam Ramadhan

Saya mengambil kesempatan untuk mencucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada semua rakan-rakan beragama Islam yang berada dimana jua. Semoga di bulan yang mulia ini, sama-sama kita melipat gandakan ibadah semoga ianya diberkati Allah S.W.T. Insyaallah. Semua aktiviti-aktiviti latihan sukan ditangguhkan buat seketika dan akan bersambung semula pada akhir bulan September nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday 19 August 2009

Penguasaan Team Malaysia

Pasukan Elit Malaysia terus menguasai arena bowling Senayan apabila Zulmazran Zulkifli muncul sebagai juara pada 7th Indonesia International Open, Senayan Bowling Centre Sabtu yang lalu. Beliau menewaskan rakan sepasukan Syafiq Ridhwan pada perlawanan akhir 227-221.

Tahniah diucapkan kepada kedua-dua mereka yang berjaya mengekalkan kejuaraan Individu. Tahun lalu Alex Liew muncul sebagai juara buat kali ketiga untuk diri beliau.

Zulmazran membawa pulang jutaan rupiah apabila hadiah yang ditawarkan pada kejohanan ini meningkat 20 juta rupiah. Tahun lalu ketika Alex muncul sebagai juara beliau membawa pulang 100 juta rupiah (RM35,000.00) dan pada tahun ini Zulmazran meraih hadiah sebanyak 120 juta rupiah (RM42,000.00). Syafiq yang menduduki tempat kedua membawa pulang 60 juta rupiah (RM21,000.00).

Mohd Hisham Mohd Nor.

Manusia Terpantas

Pelari terpantas dunia, Usain Bolt dari Jamaica, sekali lagi menggegarkan dunia apabila beliau mencipta rekod dunia buat kali ketiga pada acara 100meter dengan catatan 9.58 saat pada satu kejohanan dunia di Berlin, Jerman hari Ahad yang lalu. Beliau telah memecah rekod yang dicipta oleh beliau sendiri pada Sukan Olimpik di Beijing tahun lalu iaitu 9.69 saat.

Beberapa pengkaji sukan telah membuat beberapa kajian berhubung dengan kepantasan manusia. Terbaru adalah hasil kajian dari Universiti Tilburg, Netherland menjangka seseorang pelari pecut mampu mencatatkan rekod sehingga 9.51 saat.

Tetapi lain pula dengan cita-cita Bolt dimana beliau memberi amaran bahawa rekod dunia bagi acara 100 meter yang berikutnya adalah 9.4 saat yang bakal dilakukan oleh beliau dan rekod tersebut akan terhenti disitu untuk satu ketika.

Gelaran manusia terpantas di dunia mula diberikan kepada pelari Amerika iaitu Donald Lippiincott yang mencatatkan kepantasan 10.6 saat pada tahun 1912. Selepas itu banyak rekod telah dicipta sehingga kepantasan dibawah 10 saat dicpta oleh Jim Hines dengan kepantasan 9.9 saat. Beberapa bulan berikutnya beliau mencatatkan 9.95 saat dan ianya bertahan selama 23 tahun sebelum Carl Lewis melakar catatan baru iaitu 9.86 saat pada tahun 1991.

Kemajuan serta perkembangan sains dalam sukan telah menggalakkan atlet-atlet mencipta rekod baru. Dengan bersandarkan beberapa teori dan kajian, mampukah Bolt mencatatkan masa 9.4 saat untuk misi beliau yang seterusnya. Sama-samalah kita ikuti perkembangan beliau untuk mencapai misi tersebut.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Saturday 15 August 2009

Squash diketepikan

Melalui Buletin Utama, segmen sukan malam tadi telah menyiarkan keputusan IOC berhubung penerimaan squash ke Olimpik. Ini kekecewaan kali kedua rakan sukan dan peminat squash untuk melihat sukan itu beraksi ke Sukan Olimpik 2016. Squash telah gagal ke Sukan Olimpik 2012 di London, namun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Badan Dunia Squash untuk melihat ia sampai ke peringkat Sukan yang tertinggi di dunia.

Saya pasti sahabat saya iaitu Datuk A. Sani Karim, Presiden SRAM dan juga Presiden Persekutuan Squash Asia merasa hampa dengan keputusan ini. Begitu juga dengan pemain nombor satu wanita dunia, Datuk Nicole David yang pasti kecewa kerana beliau juga terlibat secara langsung dalam kempen melobi sukan ini ke Olimpik.

Bagi IOC, sukan squash masih belum popular dikalangan peminat sukan dunia untuk dipertandingkan di Olimpik. Namum saya mengucapkan syabas kepada SRAM diatas usaha bersama badan dunia melobi bagi memastikan sukan squash ke Olimpik. Saya berharap supaya usaha-usaha ini diteruskan lagi di masa-masa hadapan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday 6 August 2009

KBKPj Friendly Match Tour 2009


KBKPj telah mengadakan lawatan ke Terengganu serta mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan PKN Terengganu pada 2 Ogos yang lalu. Perlawanan persahabatan tersebut telah diadakan di KT Bowl, Astaka Shopping Centre, Kuala Terengganu.

Seramai 40 orang pemain dari kedua-dua pasukan menyertai pertandingan tersebut dan ianya merupakan perlawanan persahabatan yang pertama buat KBKPj dan aktiviti diluar Wilayah Persekutuan yang pertama.

Selain dari aktiviti bowling, pemain turut mengadakan lawatan serta menjadi tetamu Taman Tamadun Islam, Pulau Duyung. Mereka telah diberi taklimat oleh Pengurus Besar TTI sendiri serta diberi layan istimewa.

Pemain-pemain sempat menikmati Keropok lekor goreng dan rebus serta minum petang di Losong sebelum meneruskan acara pertandingan Karoeke pada waktu malam. Acara karoeke telah diadakan di pejabat kastam dan hadiah-hadiah ditaja oleh PKN sendiri.

Dihari terakhir lawatan para pemain mengambil kesempatan untuk membeli belah di Pasar Payang, Kuala Terengganu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya. Saya sungguh bersyukur kerana projek yang telah lama dirancang telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Ini memberi semangat kepada seluruh Jawatankuasa untuk bekerja dengan lebih gigih untuk merancang serta melaksanakan aktiviti-aktiviti yang akan datang.

Kelmarin, saya telah mempengerusi mesyuarat Jawatankuasa KBKPj dan beberapa tindakan proaktif telah diambil untuk menggerakkan aktiviti sebelum ramadhan menjelang tiba. Aktiviti sesi latihan kelab akan diadakan pada 10 Ogos dan perlawanan persahabatan dengan KBKWPKL akan diadakan pada 19 Ogos di IOI Mall, Puchong.

Jawatankuasa juga telah memutuskan untuk mengadakan beberapa aktiviti mega selepas Hari Raya nanti dan ianya akan diumumkan pada bulan Oktober nanti. Beberapa perlawanan persahabatan juga turut diatur bagi merancakkan aktiviti-aktiviti kelab.

Terima kasih kepada semua ahli-ahli yang telah banyak memberi sokongan padu kepada Kelab dan saya berharap agar sokongan yang berterusan ini akan menjadikan KBKPj terus maju dalam menaikkan imej bowling jabatan.

Mohd Hisham Mohd Nor.