Wednesday 30 July 2014

AIDIFITRI DISAMBUT DENGAN PENUH KEMESRAAN

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua rakan-rakan saya di mana jua anda berada,

Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh rakyat malaysia yang beragama islam. Hari Raya ini juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah dan Hari Lebaran bagi sesetengah masyarakat beragama islam di seluruh dunia. Di Indonesia, saudara kita di sana menyebutnya sebagai Hari Lebaran. 

Hari Raya Aidilfitri ini menandakan berakhirnya bulan ramadhan dan ianya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh seluruh umat islam. Ianya merupakan satu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembangunan kemanusiaan dan sifat bersatu padu.

Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadhan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.

Keterujaan menyambut Aidilfitri bukan sekadar kemenangan selepas Ramadhan. Ianya juga dapat  mengukuhkan semangat persaudaraan dikalangan keluarga dan sahabat handai. Bak kata pepatah melayu yang jauh di dekat-dekatkan, yang dekat di rapat-rapatkan dan yang rapat di mesra-mesrakan.

Mungkin ada di kalangan adik beradik yang lama tidak berjumpa atas sebab-sebab kesibukan tugas atau pekerjaan. Hari Raya Aidifitri ini adalah merupakan platform yang terbaik dan setiap umat islam akan menggunakan masa bercuti panjang bertemu kaum kerabat yang telah lama tidak bertemu dan bertanya khabar. Duduk bersembang hingga ke lewat malam, pelbagai 1001 cerita yang hendak di kongsikan.

Di kampung-kampung, Ibu bapa dan adik-adik menanti kepulangan abang dan kakak untuk menyambut Aidilfitri bersama dan saya melihat aidilfitri sebagai pengukuhan dan penyatuan  tali persaudaraan. Inilah keindahan Hari Raya Aidilfitri. 

Maaf Zahir dan Batin,

Hisham Nor.

Thursday 24 July 2014

CABARAN SUKAN KOMANWEL 2014 BERMULA

Upacara perasmian Sukan Komanwel 2014 edisi ke-20 di Celtic Park, Glasgow, Scotland telah disempurnakan oleh Ratu Elizabeth malam tadi. Penganjuran ini merupakan kali ketiga buat Scotland di mana penganjuran terdahulu adalah pada tahun 1970 dan 1986 di Edinburgh.

Kontinjen Malaysia di wakili 269 orang atlet dan pegawai. Malaysia hanya akan menyertai 14 daripada 17 jenis sukan. acara sukan yang akan disertai Malaysia ialah Akuatik(renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, boling padang, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, judo, menembak, olahraga, ping-pong, ragbi, skuasy dan tinju.

Apa yang menarik perhatian saya pada Sukan Komanwel edisi ke-20 ini adalah maskot Sukan Komanwel. Ianya bukanlah sejenis haiwan seperti yang lazimnya diamalkan di setiap penganjuran, tetapi ianya merupakan pokok bunga Thistle yang menjadi lambang Scotland dan ia dinamakan Clyde. Nama Clyde pula adalah inspirasi daripada nama sungai yang mengalir di sekitar Glasgow.

Pada Sukan Komanwel pada kali ini, Majlis Olimpik Malaysia(MOM) telah menetapkan sasaran tujuh emas dan ianya lebih rendah dari yang disasarkan ketika Sukan Komanwel di New Delhi(12 emas)

Saya tersentuh apabila melihat barisan hadapan kontijen Team Malaysia yang diwakili para atlet dengan memakai pakaian seragam pramugara dan pramugari Penerbangan Malaysia. Ianya sebagai simbolik kepada tragedi MH 17 baru-baru ini manakala bendera yang dibawa pula dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.

Gambar: Institut Sukan Negara
Team Australia dan Great Britain dilihat sebagai kuasa besar dalam Sukan Komanwel ini. Perenang dari Australia, Alicia Coutts bakal mengegarkan pusat akuatik untuk meraih emas. Begitu juga dengan Mo Farah dari Great Britain dalam sukan olahraga perlu diberi perhatian bagi acara jarak jauh.

Saya mensasarkan kilauan emas buat Malaysia dalam acara Squash. Cabaran yang bakal dibawa oleh Datuk Nicol David sebagai status juara dunia sebanyak 7 kali dan pengalaman sebagai pemain nombor satu dunia mampu memberi saingan kepada pemain dari Great Britain.

Marilah kita sama-sama mengikuti perkembangan Sukan Komanwel yang berlangsung selama 11 hari ini. Sokongan kepada Team Malaysia agar mencapai sasaran 7 emas.

Hisham Nor.

Saturday 19 July 2014

BELAJAR MENGHADAPI PERUBAHAN


Salam sejahtera buat rakan-rakan blogger,


Saya baru selesai membaca buku berjudul Who Moved My Cheese edisi Bahasa Melayu karya penulis bestseller Dr. Spencer Johnson. Edisi pertama buku ini dalam Bahasa Inggeris telah diterbitkan pada tahun 1998 dan ianya telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam Bahasa Melayu oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd. 

Saya baru berkesempatan untuk membaca buku ini dan secara keseluruhannya banyak pengajaran yang diperolehi melalui buku ini. Ianya perlu dibaca oleh setiap insan yang percaya dan inginkan kepada perubahan dalam apa jua aspek seperti perubahan dalam kehidupan, pekerjaan dan sebagainya.

Who Moved My Cheese? adalah sebuah perumpamaan yang mendedahkan hakikat kehidupan. Keju adalah metafora bagi apa yang kita mahukan dalam hidup, sama ada berkaitan dengan pekerjaan, perhubungan, wang, kesihatan mahupun ketenangan fikiran.

Beberapa aspek penting yang diketengahkan iaitu supaya kita belajar menghadapi perubahan, supaya kita tidak begitu stress di tempat kerja atau pun dalam kehidupan.

Watak-watak yang di pamerkan pula banyak berkisar kepada kisah kehidupan masyarakat masa kini yang penuh dengan keegoan serta pelbagai kepercayaan dan perasaan. Budaya selesa (comfort zone) telah menjadi sebati dalam kehidupan masa kini dan melalui perumpamaan yang diberi menunjukkan sesiapa yang tidak mahu berubah maka ia akan ketinggalan. Mereka yang cepat bertindak dan melakukan perubahan akan bergerak jauh kehadapan. 

Perubahan dapat membawa kita ke tempat baru dan lebih baik, walaupun kita mungkin waswas ketika itu. Secara kesimpulannya, buku ini mudah untuk di baca dan ianya mampu memberi kesedaran kepada kita semua betapa pentingnya melakukan perubahan dalam diri kita dan tidak statik.

Hisham Nor.

Friday 18 July 2014

PESAWAT MAS TERHEMPAS

Salam kepada semua pembaca,

Awal malam tadi, negara dikejutkan dengan satu lagi insiden yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia apabila CNN melaporkan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeng 777, MH 17 terhempas di Ukraine bersempadan dengan Rusia semasa penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur .

Laporan awal menyebut, kemungkinan pesawat tersebut telah terkena tembakan peluru berpandu dari darat ke udara. Namun begitu belum ada pengesahan secara rasmi dan siasatan sedang dilakukan. Sumber MAS menyebut seramai 283 orang penumpang dan 15 anak kapal berada dalam pesawat tersebut.

Saya percaya kejadian ini amat sukar diterima oleh Penerbangan Malaysia kerana insiden MH 370 masih lagi menjadi tajuk perbualan semasa. 

Dengan itu, saya berasa amat sedih dan simpati dengan kejadian yang berlaku dan menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa. Al-Fatihah kepada ahli keluarga mangsa yang beragama islam. Semoga keluarga mangsa tabah dalam menerima dugaan ini khususnya di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Sekian.Wasallam.