Thursday 17 June 2010

Tahniah…

Tahniah buat seluruh pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan kerana menyapu bersih pingat emas acara mesters lelaki dan wanita menerusi Nur Umirah dan Syimir Razak.

Wilayah Persekutuan menduduki tangga ke-2 dibelakang Sarawak yang muncul sebagai juara keseluruhan bagi acara tenpin bowling. WP mendapat 4 emas, 5 Perak dan 1 gangsa.

Semoga kejayaan ini dapat dipertingkatkan pada Sukma akan datang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday 16 June 2010

Tahniah Emas Kedua Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan

Syabas dan tahniah kepada pasukan berlima  Wanita Wilayah Persekutuan yang terdiri dari  Cheryl Cheong, Hee Kar Yen, Raden Nur Najwa, Nur Umirah dan Nur Diana Hussin kerana berjaya merangkul pingat emas yang kedua buat Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday 15 June 2010

Pingat emas pertama Negeri Sembilan

Beregu campuran dari Negeri Sembilan iaitu Nur Hidayah dan Ros Qusyairi telah berjaya merangkul pingat emas pertama buat Negeri Sembilan dengan catatan jatuhan pin 2623 ave 218.

Pasukan Wilayah Persekutuan dengan gandingan Syimir dan Nur Najwa sekadar menduduki tempat ke-11 dengan 2491 jatuhan pin ave 207.6.

Selangor pula mengutip pingat perak melalui gandingan Dina Nurnadia dan Mohd Hafiz Fikri dengan 2610 jatuhan pin. Muhd Hafiz Fikri berjaya melakukan jatuhan sempurna atau perfect game 300 pada game ke-4.

Esok acara trio lelaki dan wanita akan berlangsung. Marilah kita sama-sama memberi sokongan kepada pasukan Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

MIBC

Monday 14 June 2010

Perak buat Cheryl Cheong dan Nur Umirah

Petang kelmarin menyaksikan gandingan beregu wanita Wilayah Persekutuan, Cheryl Cheong dan Nur Umirah sekadar mendapat pingat perak manakala pingat emas dimenangi oleh Jacqueline J.C dan Dyg Khairuniza dari Sarawak.

Kedudukan terkini tenpin bowling Wilayah Persekutuan adalah 1 emas dan 3 perak seterusnya menduduki tempat ke-2 dalam pungutan pingat bagi acara tenpin bowling. Sarawak menduduki tempat pertama dengan 2 emas 1 perak dan 1 gangsa.

Hari ini akan berlangsung acara beregu campuran dan percaturan pemain akan menjadi kebimbangan buat jurulatih. Saya percaya jurulatih akan meletakkan gandingan Nur Najwa dan Yusof Abdul Raof iaitu gandingan yang sama sewaktu di Sukma Terengganu di mana mereka mendapat pingat perak.

Berdasarkan pencapaian baik serta peningkatan permainan Nur Najwa, gandingan ini merupakan harapan buat pasukan Wilayah Persekutuan. Sama-sama kita saksikan aksi mereka di Melaka International Bowling Centre(MIBC).

Mohd Hisham Mohd Nor

MIBC

Sunday 13 June 2010

Emas pertama dari tenpin bowling oleh Najwa

Sekalung tahniah kepada Nur Najwa kerana berjaya merangkul emas pertama untuk tenpin bowling Wilayah Persekutuan apabila memenangi acara Girls Single pada hari pertama cabaran tenpin bowling di Sukma ke XIII di Melaka kelmarin.

Bukan setakat merangkul emas, malah beliau berjaya melakukan balingan sempurna atau perfect game 300 pada game keempat serta melakarkan rekod baru sukma dalam tenpin bowling. Beliau juga telah memecahkan rekod jatuhan pin keseluruhan tertinggi iaitu 1499 jatuhan pin sekaligus meleburkan rekod yang dipegang oleh Sharon Chai dari Johor dengan jatuhan pin 1315 yang dibuat pada tahun 2000 di Pulau Pinang.

Tahniah juga buat Hee Kar Yen kerana mendapat pingat perak dengan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 1430. Pada hari ini acara begeru lelaki dan wanita berlangsung dan gandingan Syimir dan Yusof sekadar mendapat pingat perak dibelakang pemain Sarawak, Chong Jun Foo dan Bong Khiow yang meraih pingat emas.

Kedudukan pingat Wilayah Persekutuan untuk tenpin Bowling setakat catatan ini dibuat adalah 1 emas dan 2 perak. Saya masih menanti keputusan beregu wanita yang sedang berlangsung ketika ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Melaka.

Saturday 12 June 2010

Perjuangan Bermula…

Saya ingin mengucapkan Selamat Berjuang kepada semua pemain tenpin bowling Wilayah Persekutuan yang akan beraksi pada temasya Sukma ke-XIII di Melaka.

Kejohanan berlangsung di Mallaca International Bowling Centre(MIBC), venue yang menyediakan 52 lorong dan merupakan yang terbesar di Malaysia. Sandaran kepada pemain yang berpengalaman seperti Radin Nur Najwa, Hee Kar Yen dan Cheryl Cheong. Pemenang pingat emas individu lelaki pada Sukma di Terengganu, Yusof Abd. Rauf mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kejuaraan.

Saya berharap pemain dapat bermain dengan tenang kerana suasana temasya Sukma ini berbeza dengan kejohanan yang lain seperti Sirkit Remaja Kebangsaan dan sebagainya. Pemain perlu memberi tumpuan yang konsisten untuk mencapai kejayaan.

Insyaallah saya akan berada di venue pada hari ahad ini bagi menyaksikan pemain-pemain beraksi dalam acara doubles. Perlawanan pertama esok adalah perseorangan lelaki dan wanita. Saya akan membuat catatan sepanjang berada di Melaka selama 3 hari nanti serta melawat ke beberapa venue sukan yang lain.

Mohd Hisham Mohd Nor .