Monday 27 April 2020

PENJENAMAAN HISHAMBOWLING



hishambowling.blogspot.com telah diwujudkan pada tahun 2007 dan kini telah menjangkau usia 13 tahun. Posting yang pertama adalah pada 24 November 2007 merupakan sekeping gambar yang dirakamkan di Doha, Qatar pada Sukan Asia 2006 bertajuk The Spirit of Asian Games 2006, Doha, Qatar.

Gambar tersebut merakamkan kejayaan Team Bowling Malaysia yang telah mencapai sasaran pingat emas di Sukan Asia 2006. Pada ketika itu saya bertindak sebagai Penolong Pengurus Pasukan Tenpin Bowling Malaysia dan merupakan pengalaman pertama bersama pasukan kebangsaan yang menyertai di peringkat Asia.

Matlamat utama blog ini diwujudkan pada ketika itu adalah untuk berkongsi pengalaman bersama pembaca perjalanan bersama Team Malaysia. Saya tidak pernah mengimpikan untuk menyertai pasukan kebangsaan. Namun semuanya berlaku secara kebetulan dan barangkali juga rezeki untuk menaburkan bakti dalam bidang sukan di peringkat yang lebih tinggi.

Bermula dengan posting sekeping gambar di Sukan Asia, Doha, Qatar, saya meneruskan penulisan melalui pengalaman bersama Team Malaysia ke Sukan Sea XXIV 2007 di Thailand. Pengalaman kedua ini juga penulis memainkan peranan yang sama selaku Penolong Pengurus Pasukan Tenpin Bowling Malaysia. Setiap catatan mempunyai cerita yang tersendiri dan ianya memberi seribu satu makna dalam perjalanan hidup ini.

Namun ada beberapa ketika penulisan ini terhenti buat seketika kerana sibuk dengan tugasan hakiki. Ada kalanya terhenti beberapa bulan malah bertahun lamanya.

Sempena dengan arahan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani penularan wabak COVID 19 ini, penulis terpanggil untuk menulis kembali. Tetapi pada kali ini, blog hishambowling.blogspot telah dijenamakan semula kepada catatanhishamnor.blogspot.com dengan Tema Hisham Nor, A new beginning. Paparan pada kali ini lebih meluas dan tidak tertumpu kepada bidang sukan sahaja. Penulis berharap dapat berkongsi secara positif pelbagai pandangan dalam pelbagai topik semasa.

Semoga perkongsian ilmu ini dapat dimanfaatkan kita bersama.

Hisham Nor
Putrajaya.

PERJUANGAN BELUM BERAKHIR


Setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan itu pula memerlukan masa untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sesuatu musibah atau kecelakaan itu boleh berlaku dalam sekelip mata tetapi untuk pulih seperti sediakala perlu mengambil masa yang agak lama. Situasi sebegini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Susulan dari wabak pandemic Coronavirus 19 (COVID 19), YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah memngumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir pada 28 April 2020 dilanjutkan ke fasa empat yang akan bermula pada 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020. Ianya disambut baik oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia yang ingin melihat Malaysia bebas dari wabak COVID 19 sepenuhnya.

Wabak yang telah menular ke 213 buah negara di seluruh dunia ini telah menjangkiti 2.7 juta orang dan lebih 180,000 kematian telah direkodkan. Masih belum ada tanda-tanda wabak ini akan pulih sepenuhnya dalam masa yang terdekat walaupun ada sesetengah negara telah merekodkan penurunan jangkitan wabak ini. Namun ada juga negara yang masih di peringkat pengawalan yang ketat susulan peningkatan jangkitan yang mendadak.

Pada minggu lalu, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyatakan sebahagian besar wabak di Eropah Barat kelihatan stabil atau menurun. Walaupun jumlahnya rendah WHO melihat trend kenaikan yang membimbangkan di Afrika, Amerika tengah dan selatan serta Eropah Timur.

Beliau menasihatkan kepada negara yang terbabit dengan wabak ini agar terus berusaha menangani penularan wabak ini dengan serius dan tidak membuat kesilapan. Kita mempunyai perjalanan yang jauh lagi dan virus ini akan lama bersama kita dan ia tetap berbahaya, tambah beliau.

Jika dilihat senario di kalangan negara ASEAN, Singapura, Indonesia dan Filipina adalah negara yang tertinggi mencatatkan jumlah pesakit baharu. Data yang dikeluarkan oleh WHO sehingga 26 April 2020 menunjukkan Singapura telah mencatatkan 897 kes baru dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 12,075, manakala Indonesia mencatatkan 396 kes baru dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,607. Filipina pula mencatatkan 211 kes baru dengan jumlah keseluruhan 7,192 kes.

Di Malaysia pula, usaha gigih yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak awal tahun telah menampakkan hasil. Sehingga 25 April 2020, terdapat 51 kes baharu manakala 99 kes sembuh baharu dilaporkan. Jumlah yang tinggi untuk kes sembuh berbanding dengan kes baharu ini telah dicatatkan sejak seminggu yang lalu. Jumlah kes yang aktif dan masih dirawat pula telah menurun sejak beberapa hari yang lalu. Sehingga 25 April 2020, jumlah kes aktif adalah sebanyak 1,882 kes. Apa yang diharapkan adalah jumlah kes aktif dan masih dirawat ini akan menurun lagi hingga ke angka tunggal.

Namun, seluruh rakyat Malaysia tidak boleh berasa selesa dengan situasi ketika ini. Pertambahan tempoh dua minggu lagi PKP fasa keempat disifatkan sebagai peluang untuk membudayakan corak kehidupan mengikut kebiasaan baharu bagi memastikan penjarakan sosial dan kepentingan menjaga kebersihan terus dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat.

Dr. Li Jun dari China berkata memang ada kebiasaan baharu yang berlaku di kalangan masyarakat di China sejak tercetusnya wabak COVID 19 ini. Rakyat China kini lebih mementingkan kesihatan sendiri dengan memakai topeng muka setiap kali keluar rumah, mengamalkan penjarakkan sosial, lebih kerap membeli barang keperluan secara dalam talian dan penghantaran barangan ke rumah. Rentak kehidupan tidak nampak secara ketara, namun mereka lebih mengutamakan kehidupan berkeluarga dan lebih kerap bersenam serta memastikan badan sentiasa cergas.

Dr. Li Jun yang juga Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong bersama tujuh orang pakar perubatan dari China kini berada di Malaysia untuk membantu memerangi pandemik COVID 19. Kehadiran pasukan dari China itu telah diselaraskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virology dan perubatan tradisional Cina.

Penulis menjangkakan kerajaan sedang berusaha untuk memastikan wabak COVID 19 ini benar-benar terkawal dan jumlah jangkitan atau pun kes baharu mencapai ke angka tunggal. Ini bukan sesuatu yang mudah, namun ianya berupaya untuk dicapai. Sokongan dari seluruh rakyat amatlah diperlukan pada ketika ini. Sekiranya rakyat leka semula dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan maka tidak mustahil wabak COVID 19 ini akan menular semula. Barangkali ada kluster baru akan wujud kerana kemungkinan ada individu yang dijangkiti dan berada dalam komuniti, tetapi tidak mempunyai gejala.

Saringan besar-besaran perlu diteruskan untuk menangani wabak COVID 19 ini di peringkat awal kerana dibimbangi ada lokasi-lokasi yang tidak diketahui dan didiami oleh pekerja warga asing. Kemasukan warga dari luar negara juga perlu diperketatkan kerana ianya bakal mengundang kes-kes import dari negara yang dilawati.

Dalam usaha kerajaan yang berterusan dalam memerangi wabak COVID 19 ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi amaran supaya semua rakyat Malaysia tidak kira di mana-mana zon di negara ini perlu mematuhi PKP kerana ia belum berakhir. Pematuhan terhadap perintah tersebut masih terpakai kepada mereka yang tinggal di zon hijau walaupun kawasan itu tidak merekodkan kes positif COVID 19. Ini jelas menunjukkan kerajaan serius dalam menangani wabak ini dan beliau mengingatkan pihak polis tetap akan mengambil tindakan keras terhadap sesiapa sahaja yang ingkar.

Sewajarnya PKP ini dilanjutkan ke fasa empat dan mungkin ke fasa lima atau enam hingga melewati ke bulan Jun 2020. Ianya bagi memastikan wabak COVID 19 ini betul-betul tiada dalam masyarakat Malaysia. Walaupun Malaysia berada dalam keadaan baik dan menunjukkan penurunan pada jangkitan wabak ini, namun kita harus berwaspada kerana negara-negara jiran masih lagi bergelut untuk menangani wabak ini. Sehingga WHO mengisytiharkan wabak ini telah hapus dan pulih, maka barulah kita boleh menarik nafas lega dan selesa.

Perjalanan masih lagi jauh untuk dilalui dan perjuangan belum berakhir. Kita belum menang dan kita pasti akan menang.

Hisham Nor
Putrajaya







Friday 24 April 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN FASA IV


Salam Ramadan

Hari ini adalah hari pertama seluruh umat islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak. Ibadah puasa adalah satu ibadah yang mulia dan istimewa. Hanya diri kita dan Allah sahaja mengetahui yang kita sebenarnya sedang berpuasa. Kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Pada tahun ini, Ramadan disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa III yang akan berakhir pada 28 April 2020. Malam tadi melalui perutusan khas sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan Al- Mubarak, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia menyebut, kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19. Beliau menambah, yang penting adalah jihad serta istiqamah dan beliau mengajak seluruh umat islam di Malaysia tingkatkan jihad memerangi COVID 19 sempena bulan Ramadan ini yang mulia ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka berakhir pada 28 April 2020 akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei 2020. Walaupun data dan angka wabak COVID 19 menunjukkan perkembangan yang positif, usaha-usaha untuk membendung wabak ini masih perlu diteruskan sehingga kerajaan yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.

Malaysia tidak bersendirian dalam menangani wabak COVID 19 ini, kerana 121 negara di seluruh dunia terjebak dengan wabak ini. Singapura sebuah negara kecil juga telah memperketatkan kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan sehingga 4 Mei 2020. Bilangan kes COVID 19 di Singapura kini meningkat melepasi Indonesia, sekali gus muncul yang tertinggi di Asia Tenggara.

Penulis berpandangan, tempoh PKP fasa IV yang bakal berakhir pada 12 Mei 2020 ini kemungkinan akan dilanjutkan lagi sehingga selepas Hari Raya Aidil Fitri. Walaupun kes baharu harian mencatatkan angka dua digit, ianya masih statik dan belum menunjukkan penurunan yang yang begitu ketara. Jumlah kes yang masih di rawat dan keboleh jangkitan pula menurun dibawah paras dua ribu kes kelmarin dengan catatan 1966 kes. Jumlah ini masih ramai dan berharap dengan rawatan yang diberi, lebih ramai pesakit COVID 19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah berusaha siang dan malam untuk menangani penularan wabak COVID 19 ini. Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan yang tertinggi di dunia.

Sekiranya tempoh PKP ini ditamatkan sebelum Hari Raya Aidil Fitri, ianya berisiko dan bakal mengundang gelombang baru kerana masyarakat akan mula keluar berpusu-pusu untuk membeli belah bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri. Ianya sudah pasti akan mewujudkan satu perhimpunan atau berkumpulan samada di pusat membeli belah, restoran atau dimana jua. Dalam situasi ini sudah pastinya penjarakkan sosial tidak boleh diamalkan. Situasi ini yang akan menjadi kebimbangan kerajaan kerana ia bakal mengundang gelombang COVID 19 yang berikutnya.

Sebelum ini Datuk Seri Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan telah membayangkan sekiranya tempoh PKP ini ditamatkan, beberapa perkara perlu diberi perhatian iaitu tiada sebarang bentuk perhimpunan dibenarkan untuk tempoh enam bulan hingga setahun. Inilah yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu a new normal atau membiasakan diri dengan kebiasaan kehidupan baru. Tiada rumah terbuka Aidil Fitri, kunjung mengunjung rakan taulan dan lain-lain bentuk perjumpaan dan perhimpunan.

Saya pasti kerajaan telah melihat jauh situasi ini dan dari awal lagi telah merangka dan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat(PRIHATIN). Pakej yang diperkenalkan adalah untuk satu tempoh yang difikirkan wajar dalam menangani isu COVID 19 yang berlarutan ini. Sebagai contoh, moratorium pinjaman, yang mana penangguhan bayaran pinjaman diberi untuk enam bulan. Dengan tempoh moratorium selama enam bulan ini, kita dapat lihat bahawa kerajaan telah membayangkan proses pemulihan akan mengambil masa yang lama.

Kerajaan tidak akan menamatkan PKP ini secara tergesa-gesa atau dalam erti kata yang lain dalam tempoh terdekat dan telah membayangkan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP. Pihak kerajaan juga telah bercadang untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial. Begitu juga dengan sektor ekonomi, kajian sedang dijalankan tentang kaedah untuk memulihkan ekonomi secara bertahap bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

Saya kagum dan menghargai peranan yang dimainkan oleh frontliners dalam menangani COVID 19 ini. Warga KKM, petugas hospital, Polis, Tentera dan Rela telah mengharungi situasi ini selama lebih 40 hari bermula 18 Mac yang lalu. Kini mereka berdepan dengan suasana yang lebih mencabar iaitu berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas. Insyaallah pengorbanan mereka semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.

Biarlah masa yang menentukan segalanya dan beri ruang kepada kerajaan menentukan masa yang terbaik untuk kita semua kembali seperti sediakala. Wabak ini perlu dihapuskan sepenuhnya dan kerajaan pasti akan membuat keputusan bila tiba masanya untuk menamatkan PKP ini. Ia bagi memastikan wabak COVID 19 ini benar-benar tidak akan kembali lagi.

Hisham Nor
Putrajaya.


Thursday 23 April 2020

SALAM RAMADAN 1441 HIJRAH


Alhamdullilah, seluruh masyarakat dunia yang beragama islam akan menyambut puasa di bulan Ramadan Al Mubarak. Bezanya pada kali ini kita akan berpuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa III. Seperti yang dijangka, keadaan masih belum pulih sepenuhnya walaupun kes-kes baharu COVID-19 telah berkurang dengan ketara.

Tiada siapa yang pernah menyangka kita akan menempuh bulan Ramadan dalam tempoh PKP yang penuh cabaran. Tiada bazaar ramadan, tiada solat tarawih berjemaah di surau dan masjid, tiada moree di surau dan masjid, tiada majlis berbuka puasa anjuran kerajaan atau badan korporat dan lain-lain lagi. Semuanya kerana penularan Koronavirus atau dikenali COVID-19 yang melanda bukan sahaja di negara kita malah di serata dunia.

Menurut sumber jangkitan COVID-19 didakwa dikenalpasti buat pertama kali di China pada 17 November 2019. Akhbar South China Morning Post melaporkan, pihak berkuasa China telah mengenal pasti kira-kira 266 individu yang dijangkiti virus tersebut seawal bulan November iaitu beberapa minggu sebelum pengumuman rasmi tentang wabak baharu itu dibuat.

Sehingga kini, virus tersebut telah menjangkiti lebih 130,000 individu di 121 buah negara di seluruh dunia manakala jumlah kematian telah mencecah lebih 5000 orang.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini adalah, seluruh umat di Malaysia mengalami satu pengalaman baru. Seperti yang disebut oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin Perdana Menteri Malaysia, beliau meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan kebiasaan kehidupan baru atau a new normal. Apa yang biasa dibuat dahulu tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian COVID-19. Semua dari kita terpaksa melalui sesuatu yang baru dalam menjalani kehidupan ini.

Ianya seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua dalam menempuh hari-hari yang berikutnya. Dalam menghadapi tempoh yang sukar ini, kita seharusnya bersyukur kerana ada kebaikan yang ALLAH S.W.T kurniakan kepada kita sebagai mahluknya di mukabumi ini. Saya percaya Ramadan pada tahun ini lebih istimewa dari tahun-tahun yang sebelumnya buat kita semua. Selama sebulan yang lalu yakni tempoh PKP fasa I dan fasa II, kita telah mengharungi tempoh tersebut dengan penuh kesabaran dan mungkin ada dikalangan kita yang telah terbiasa dengan situasi ketika ini.

Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita. Saya berpandangan berpuasa semasa tempoh fasa III PKP ini memberi kelebihan kepada kita semua sebagai umat islam.

Pertamanya perbelanjaan terkawal di mana kita akan berbelanja mengikut keperluan sahaja. Samada masak di rumah atau membeli makanan di restoran atau membeli makanan melalui penghantaran ke rumah. Jika dulu ada bazar Ramadan yang mana pada waktu petang menjelang waktu berbuka puasa kita berpusu-pusu membeli juadah. Pelbagai juadah dan aneka kuih muih dijual di bazar Ramadan yang kadangkala menjadi rambang mata untuk membeli makanan. Ketika perut menahan lapar, semua juadah kelihatan enak dan sedap. Lantas pelbagai makanan di borong yang mana akhirnya makanan yang dibeli terlalu banyak tidak dapat dihabiskan. Situasi ini secara langsung melihatkan pembaziran dilakukan.

Keduanya tempoh PKP ini memberi ruang dan masa kepada kita untuk mengurangkan pergerakan. Work from home atau bekerja dari rumah memberi kelebihan atau kelonggaran kepada kita untuk menjalankan tugas. Selepas waktu sahur dan subuh, kita tidak perlu bergegas ke pejabat mengharungi laluan yang sesak untuk sampai ke pejabat. Begitu juga pada waktu pulang bekerja kerana pada kebiasaannya warga kerja akan keluar awal dan serentak sama ada pulang ke rumah, mengambil anak di sekolah  atau ke bazar Ramadan. Keadaan jalanraya akan menjadi sesak dengan pertambahan kenderaan. Dengan itu fikiran akan lebih tenang dan badan pula tidak merasa penat.

Ketiganya pula adalah ruang untuk melakukan ibadah pula terbuka luas dan boleh mengambil sedikit masa selepas melakukan tugas bekerja dari rumah. Bulan Ramadan adalah satu bulan yang mulia bagi umat islam. Di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan dari azab neraka. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

Amalan berpuasa mengkehendaki kita berjihad melawan hawa nafsu yang mana kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita. Begitu juga dengan amalan dan aktiviti kita sepanjang sebulan yang lalu. Kita juga berjihad melawan COVID-19 dengan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang kita suka.

Kesimpulannya, Ramadan pada tahun ini amat istimewa dan yang tidak dirasai ole generasi sebelum ini. Malah generasi yang akan datang juga belum tentu dapat menempuh pengalaman ini. Tanamkan sikap positif dalam diri dan sesuatu yang dikurniakan itu ada kebaikan di sebaliknya yang kita tidak ketahui. Marilah kita sama-sama banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT, mohon pertolongan untuk melawan COVID-19, insyaAllah semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin

Hisham Nor
Putrajaya.