Salam Ramadan
Hari ini adalah hari pertama
seluruh umat islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan Al
Mubarak. Ibadah puasa adalah satu ibadah yang mulia dan istimewa. Hanya diri
kita dan Allah sahaja mengetahui yang kita sebenarnya sedang berpuasa. Kita
sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan
perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.
Pada tahun ini, Ramadan
disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa III yang akan
berakhir pada 28 April 2020. Malam tadi melalui perutusan khas sempena
menyambut kedatangan bulan Ramadan Al- Mubarak, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia menyebut, kita masih belum menang dalam perang
menentang COVID 19. Beliau menambah, yang penting adalah jihad serta istiqamah
dan beliau mengajak seluruh umat islam di Malaysia tingkatkan jihad memerangi
COVID 19 sempena bulan Ramadan ini yang mulia ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka berakhir pada 28
April 2020 akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei
2020. Walaupun data dan angka wabak COVID 19 menunjukkan perkembangan yang
positif, usaha-usaha untuk membendung wabak ini masih perlu diteruskan sehingga
kerajaan yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.
Malaysia tidak bersendirian
dalam menangani wabak COVID 19 ini, kerana 121 negara di seluruh dunia terjebak
dengan wabak ini. Singapura sebuah negara kecil juga telah memperketatkan
kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan sehingga 4 Mei 2020. Bilangan
kes COVID 19 di Singapura kini meningkat melepasi Indonesia, sekali gus muncul
yang tertinggi di Asia Tenggara.
Penulis berpandangan, tempoh
PKP fasa IV yang bakal berakhir pada 12 Mei 2020 ini kemungkinan akan
dilanjutkan lagi sehingga selepas Hari Raya Aidil Fitri. Walaupun kes baharu
harian mencatatkan angka dua digit, ianya masih statik dan belum menunjukkan
penurunan yang yang begitu ketara. Jumlah kes yang masih di rawat dan keboleh
jangkitan pula menurun dibawah paras dua ribu kes kelmarin dengan catatan 1966
kes. Jumlah ini masih ramai dan berharap dengan rawatan yang diberi, lebih
ramai pesakit COVID 19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti
sediakala.
Tahniah kepada Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah berusaha siang dan malam untuk menangani
penularan wabak COVID 19 ini. Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan
kadar kesembuhan yang tertinggi di dunia.
Sekiranya tempoh PKP ini
ditamatkan sebelum Hari Raya Aidil Fitri, ianya berisiko dan bakal mengundang
gelombang baru kerana masyarakat akan mula keluar berpusu-pusu untuk membeli
belah bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri. Ianya sudah pasti akan mewujudkan
satu perhimpunan atau berkumpulan samada di pusat membeli belah, restoran atau
dimana jua. Dalam situasi ini sudah pastinya penjarakkan sosial tidak boleh
diamalkan. Situasi ini yang akan menjadi kebimbangan kerajaan kerana ia bakal
mengundang gelombang COVID 19 yang berikutnya.
Sebelum ini Datuk Seri Noor
Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan telah membayangkan sekiranya tempoh
PKP ini ditamatkan, beberapa perkara perlu diberi perhatian iaitu tiada
sebarang bentuk perhimpunan dibenarkan untuk tempoh enam bulan hingga setahun.
Inilah yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu a new normal atau membiasakan diri dengan kebiasaan kehidupan baru.
Tiada rumah terbuka Aidil Fitri, kunjung mengunjung rakan taulan dan lain-lain
bentuk perjumpaan dan perhimpunan.
Saya pasti kerajaan telah
melihat jauh situasi ini dan dari awal lagi telah merangka dan melancarkan
Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat(PRIHATIN). Pakej yang diperkenalkan
adalah untuk satu tempoh yang difikirkan wajar dalam menangani isu COVID 19
yang berlarutan ini. Sebagai contoh, moratorium pinjaman, yang mana penangguhan
bayaran pinjaman diberi untuk enam bulan. Dengan tempoh moratorium selama enam
bulan ini, kita dapat lihat bahawa kerajaan telah membayangkan proses pemulihan
akan mengambil masa yang lama.
Kerajaan tidak akan
menamatkan PKP ini secara tergesa-gesa atau dalam erti kata yang lain dalam
tempoh terdekat dan telah membayangkan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP. Pihak
kerajaan juga telah bercadang untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara
bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial. Begitu juga dengan
sektor ekonomi, kajian sedang dijalankan tentang kaedah untuk memulihkan
ekonomi secara bertahap bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan
semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.
Saya kagum dan menghargai
peranan yang dimainkan oleh frontliners
dalam menangani COVID 19 ini. Warga KKM, petugas hospital, Polis, Tentera dan
Rela telah mengharungi situasi ini selama lebih 40 hari bermula 18 Mac yang
lalu. Kini mereka berdepan dengan suasana yang lebih mencabar iaitu berpuasa
dalam keadaan menjalankan tugas. Insyaallah pengorbanan mereka semua akan
diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.
Biarlah masa yang menentukan
segalanya dan beri ruang kepada kerajaan menentukan masa yang terbaik untuk
kita semua kembali seperti sediakala. Wabak ini perlu dihapuskan sepenuhnya dan
kerajaan pasti akan membuat keputusan bila tiba masanya untuk menamatkan PKP
ini. Ia bagi memastikan wabak COVID 19 ini benar-benar tidak akan kembali lagi.
Hisham Nor
Putrajaya.
No comments:
Post a Comment