Sunday 3 May 2020

MASA UNTUK MENABUNG


Hari ini 10 Ramadan 1441 Hijrah, menandakan lebih seminggu seluruh umat islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa. Berpuasa di bulan Ramadan pada kali ini berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Malah belum pernah dalam sejarah tanahair, masyarakat islam tidak boleh bersolat tarawih berjemaah di surau ataupun masjid.

Susulan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 bagi membendung penularan wabak COVID 19 dari terus menular, pergerakan adalah terhad dan rakyat dinasihatkan supaya duduk dirumah. Bak kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia just stay at home.

Kemelesetan ekonomi kelihatan tidak dapat dielak di semua negara khususnya yang terjejas akibat penularan wabak ini. Antara negara yang terjejas teruk adalah negara yang bergantung kepada sektor pelancongan dan perdagangan. Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara 0.1 peratus hingga 4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan oleh wabak COVID 19. Bank Dunia turut menjangkakan ekonomi dunia akan pulih seawal tahun 2021.

Maka sebab itulah kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang memberikan moratorium atau penangguhan pinjaman bank selama 6 bulan bagi menghadapi situasi ekonomi ini.

Masyarakat perlu memanfaatkan kemudahan ini dalam memantapkan pengurusan kewangan peribadi, khususnya dalam merancang kewangan diri dan keluarga untuk tempoh ini. Penangguhan bayaran perlu dimanfaatkan oleh semua pihak untuk menyimpan wang mereka bagi mengharungi hari-hari mendatang. Ia sedikit sebanyak telah mengubah gaya hidup seseorang serta kehidupan seharian.

Kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan lebih 75 peratus rakyat negara ini berhadapan dengan masalah menyediakan wang serendah RM1,000 pada masa kecemasan. Rakyat yang bekerja perlu sekurang-kurangnya mempunyai simpanan 6 bulan gaji bagi memastikan apabila berlaku kecemasan, mereka boleh survive atau bergantung hidup untuk tempoh 6 bulan akan datang.

Dengan pelaksanaan moratorium, kini adalah masanya untuk meningkatkan simpanan tunai serta berbelanja secara berhemah kecuali berbelanja untuk keperluan penting seperti makan dan minuman serta perbelanjaan lain seperti elektrik, air, bayaran sewa beli dan bahan bakar.

Perbelanjaan perlu dibuat secara teliti agar pendapatan atau wang yang ada digunakan sebaiknya. Jangan leka dengan lebihan tunai di tangan. Bagi yang belum mempunyai simpanan kecemasan, inilah masanya untuk bermula dan asingkan bayaran atau perbelanjaan keperluan dan simpanan kecemasan.

Apabila kerajaan menasihatkan rakyat untuk tidak keluar rumah dan menggalakkan berbelanja dengan membuat pembelian secara atas talian atau online. Belanjalah secara berhemah dan membeli barang yang perlu sahaja kerana pembelian secara atas talian ini juga boleh menggalakkan seseorang itu berbelanja lebih dari sepatutnya. Pembeli menjadi rambang mata kerana pelbagai barang ditawarkan oleh platform pembelian atas talian seperti shoppe, lazada dan pelbagai lagi. Oleh itu, pengawalan dan disiplin diri amat penting bagi seseorang untuk berbelanja.

Kejatuhan harga minyak dunia yang membawa kepada penurunan harga minyak petrol memberi isyarat bahawa ekonomi global tidak stabil seterusnya meletakkan Malaysia di kedudukan berbahaya. Permintaan terhadap minyak semakin menurun dan menyebabkan harga minyak semakin merudum. Kebanyakkan negara di dunia mengambil keputusan mengisytiharkan (PKP) dan kesannya, permintaan terhadap petrol terus berkurangan.

Minyak kereta penuh, tetapi kereta tidak boleh bergerak ke mana-mana. Semasa PKP ini, pengguna hanya boleh bergerak dalam lingkungan 10km dari kediaman dan pergerakan yang terhad ini akan mengurangkan penggunaan minyak.

Jika dahulu perbelanjaan minyak kenderaan sebanyak RM400 sebulan, kini mungkin sekitar RM100 sebulan dengan harga RM1.25 seliter. Oleh itu, ianya memberi ruang kepada pengguna untuk membuat simpanan dari lebihan belanjawan bulanan yang diperuntukan untuk petrol. Mungkin ia kelihatan sedikit, tetapi jika disimpan selama 6 bulan nilainya menjadi besar.

Disamping masyarakat digalakkan menabung, bersempena dengan bulan Ramadan ini, masyarakat islam juga adalah digalakkan untuk bersedekah. Bersedekah adalah amalan yang mulia serta mendapat ganjaran dan pahala yang tinggi. Ambil kesempatan ini untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kerana tidak semua dikalangan masyarakat yang mampu untuk menabung.

Ada yang diarah cuti tanpa gaji malah ada yang diberhentikan kerja. Masyarakat yang berkemampuan adalah digalakkan untuk membantu dan boleh disalurkan kepada badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang yang menjalankan aktiviti kebajikan. Sebagaimana hadis riwayat Bukhari, Rasullulah SAW bersabda, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Masih belum terlewat untuk menyegarkan kembali budaya menabung, walaupun ada yang beranggapan ekonomi sudah di ambang tahap gawat dengan bisnes kecil-kecilan pun berada dalam keadaan sukar.

Hisham Nor
Putrajaya.


Friday 1 May 2020

SELAMAT HARI PEKERJA 2020



1 Mei merupakan Hari Pekerja yang disambut pada setiap tahun dan merupakan cuti umum di seluruh negara. Pada tahun ini sambutannya agak berbeza dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Ini adalah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak COVID 19 masih berkuatkuasa sehingga 12 Mei 2020.

Pada tahun ini Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mengambil inisiatif untuk menyambut Hari Pekerja 2020 dengan tema Pekerja Tunjang Kelestarian Negara. Tema ini dipilih kerana pekerja adalah tulang belakang atau tunjang kepada kerajaan hari ini yang menjayakan program-program kerajaan selain memacu kembali ekonomi tatkala negara dilanda COVID 19.

Sambutan tanpa perhimpunan pada tahun ini akan digantikan dengan siaran secara langsung melalui facebook pada jumaat ini mulai jam 900 pagi. Dua anugerah akan disampaikan iaitu Tokoh Hari Pekerja dan Anugerah Majikan Prihatin pada sambutan tahun ini.

Hisham Nor.