Wednesday 27 May 2009

Menjelang Pemilihan Jawatan Kuasa MOM

Pada 30 Mei 2009, bersamaan hari Sabtu ini merupakan tarikh penting di dalam kalender Majlis Olimpik Malaysia kerana pemilihan Jawatankuasa MOM 2009/2011 akan diadakan di Wisma OCM. Saya turut merasakan bahang pemilihan kerana turut tidak ketinggalan untuk bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat MOM. Dato Sieh Kok Chi sudah pasti berasa lega dan boleh terus memikir apakah yang perlu dilakukan dalam tempoh dua tahun akan datang apabila menang tanpa bertanding.

Bagi diri saya ini merupakan satu pengiktirafan kerana ia merupakan jawatan yang tertinggi ditandingi di dalam badan sukan yang bertaraf dunia. Saya berjanji tidak akan mensia-siakan amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh Kongress Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) apabila mencalonkan saya bertanding untuk jawatan Penolong Setiausaha.

Kepercayaan serta sokongan semua pihak termasuk rakan-rakan telah menguatkan semangat saya untuk bertanding dan sekiranya saya diberi peluang untuk menyertai jawatankuasa MOM, saya berjanji akan terus komited dalam memajukan sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sudah pasti, OCM memerlukan suntikan idea-idea baru serta tenaga yang agresif dalam menjayakan agenda sukan negara. Sukan Malaysia kini berada di tahap yang sangat membanggakan dan ianya memerlukan komitmen yang cukup mantap bagi memastikan ianya terus cemerlang di persada antarabangsa.

Saya yakin dengan berbekalkan pengalaman diperingkat jabatan, badan sukan negeri serta kebangsaan, saya mampu untuk memikul tugas dan tanggungjawab selaku Penolong Setiausaha Kehormat MOM. Pengalaman di dalam pengurusan seperti mengendalikan majlis rasmi, menganjurkan persidangan, menguruskan sukan serta mentadbir badan sukan akan menjadi kekuatan buat saya untuk terus menyumbang tenaga ke peringkat yang lebih tinggi. Saya akan berkerjasama erat dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang lain bagi memastikan kecemerlangan sukan negara terus berkembang.

Saya berharap agar mendapat sokongan dari perwakilan-perwakilan yang akan mengundi supaya memberi peluang kepada saya untuk menyumbangkan tenaga sebagai Penolong Setiausaha MOM. Insyallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 25 May 2009

Penolong Setiausaha Kehormat MOM

Di sini ingin memaklumkan bahawa saya telah dicalonkan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) untuk bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan yang akan diadakan pada 30 Mei 2009 di Wisma MOM.

Saya juga telah memutuskan untuk bersedia bertanding bagi merebut jawatan tersebut dan akan saya maklumkan kemudian sebab-sebab saya bertanding. Insyallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday 15 May 2009

Squash ke Olimpik?

Pagi tadi saya telah menghantar ucapan tahniah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Dato' A.Sani Karim diatas usaha-usaha yang beliau lakukan bagi memastikan Sukan Squash dimasukkan didalam acara di Sukan Olimpik 2016. Saya telah dihubungi oleh Dato' A. Sani petang tadi bagi mengucapkan terima kasih atas ucapan yang dikirimkan dan beliau memaklumkan ianya sebahagian dari usaha gigih seluruh pasukan dalam Squash bagi memastikan ia berjaya di pentas dunia.

Saya dimaklumkan Dato' A. Sani Karim kini memegang jawatan Presiden, Asian Squash Federation sejak Januari 2009 dan akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh 4 tahun. Beliau masih memegang jawatan Presiden, Squash Racket Association Malaysia pada ketika ini dan sudah pasti beban yang dipikul adalah berat untuk memastikan sukan squash asia berada dibarisan hadapan. Ianya merupakan penghormatan buat Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Dato A. Sani Karim yang memimpin SRAM sejak 2004 telah membawa banyak kejayaan dalam dunia squash hingga melahirkan pemain wanita nombor 1 dunia.

SRAM akan menganjurkan beberapa aktiviti dan promosi menjelang pemilihan acara sukan ke Olimpik 2016. Saya mengucapkan syabas dan semoga sukan squash akan dipertandingkan di Olimpik 2016, Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday 9 May 2009

Hari Wesak

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada semua rakan-rakan yang beragama Buddha, baik di Malaysia atau dimana jua di seluruh pelusok dunia. Semoga melalui perayaan ini akan mengikat persahabatan muhibbah antara kaum di Malaysia. Kebetulan Hari Wesak jatuh pada hari Sabtu yang mana tiada cuti gantian untuk hari perayaan ini.

Mohd Hihsm Mohd Nor.

Wednesday 6 May 2009

Sukan Wilayah Persekutuan Ke-2

Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sukan Wilayah Persekutuan ke-2 (SWiP) pada bulan Jun ini. Sukan ini di adakan setiap 2 tahun sekali dan kali pertama dianjurkan pada tahun 2007. Tujuan serta matlamat sukan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain di Wilayah Persekutuan untuk bertanding di dalam satu kejohanan yang besar dimana lebih daripada 20 acara akan dipertandingkan. Ianya juga menggabungkan 3 wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Disamping itu juga ia dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan pemain di Wilayah Persekutuan.

Acara Tenpin Bowling tidak ketinggalan di dalam sukan ini dan ianya akan berlangsung pada 10 - 13 Jun 2009. Sebanyak 18 pasukan akan mengambil bahagian iaitu pemain Kuala Lumpur yang kini mewakili Remaja Kebangsaan, Program USPTN MSN, Program Pembangunan USPTN MSWP, Megalanes Junior dan pasukan dari Labuan.

Program yang saya kendalikan iaitu Program Pembangunan USPTN MSWP akan menghantar 2 pasukan lelaki dan 2 pasukan wanita. Saya berharap sukan ini nanti akan berjalan dengan penuh semangat kesukanan dan prestasi yang ditunjukkan pemain adalah lebih baik dari Sukan Wilayah yang lalu serta pemain dapat memecahkan beberapa rekod kejohanan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday 3 May 2009

Tahniah buat Siti Safiyah

Tahniah di atas kejayaan yang besar buat Siti Safiyah setelah berjaya menjadi Juara Wanita pada Kejohanan Bowling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali. Beliau mengatasi pemain dari Jerman, Tina Hutch dengan jatuhan pin 215-199, 175-166.

Dengan kemenangan tersebut, beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000.00 (RM36,000.00). Semoga dengan kejayaan besar tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk mengharungi kejohanan-kejohanan yang lain pada tahun ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.