Saturday 1 August 2015

SEMBANG RAYA

1.  Hari ini masuk hari ke 16 bulan Syawal dan Hari Raya Aidil Fitri masih disambut dengan meriahnya di seluruh pelusuk negeri. Belum terlewat juga untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pembaca yang saya sayangi dan hormati. Sudah pasti di hujung minggu ini dipenuhi dengan jemputan rumah terbuka dari sahabat handai hingga lah ke kaum kerabat.

2.  Jalanraya di ibukota tidak seperti biasa dihujung minggu pada bulan Syawal ini. Laluan sesak di merata tempat kerana hendak memenuhi jemputan raya. Peningkatan kenderaan dan kesesakan trafik ini memerlukan kita untuk merancang perjalanan agar tidak lewat sampai ke destinasi yang hendak dituju.

3.  Apa yang menarik di Hari Raya ini adalah tentang sembang-sembang raya. Setiap kali tibanya Syawal pasti ada cerita-cerita menarik yang hendak di sembang dan adakalanya seperti dibahaskan dikalangan rakan-rakan dan saudara mara. 

4.  Ini menariknya Hari Raya kerana sanak saudara berkumpul yang mungkin telah lama tidak bertemu dan berbual bertanya khabar. Sembang-sembang kadang kala bukan hanya tentang perkembangan diri atau keluarga, malah ia hingga ke isu-isu semasa negara.

5.  Apakah isu-isu yang lazimnya disembang agaknya je? Sudah pasti isu 1MDB dan kepimpinan negara menjadi tajuk perbualan. Kadang kala ada yang sealiran dan ada yang bertentangan. Pelbagai hujah dikemukakan dan pandangan disudut masing-masing. Masing-masing mepunyai sumber-sumber yang kadang kala tidak pasti kesahihannya.

6.  Perbahasan kadangkala boleh mengakibatkan perbalahan apabila ada perbezaan pendapat. Sebaiknya hindarkan dari membahaskan isu-isu yang sensitif di bulan yang mulia ini. 

7. Lebih baik kita bicarakan isu-isu keluarga dan bagaimana untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Ianya lebih bermanfaat kerana di kala negara mengalami pelbagai isu seperti kenaikan harga barang dan sebagainya, kita perlu fikir tentang bagaimana untuk keluar dari kemelut ini dan mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.

8.  Biarlah apa yang hendak berlaku dan biarlah mereka mencari jalan penyelesaian. Kita fokus kepada kehidupan kita dan mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup. Apa yang kita bahas dan tentang tidak dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi.

Hisham Nor
Petaling Jaya.