Tuesday 22 February 2011

Emas Kedua Negara

1. Tahniah kepada Siti Safiyah kerana memenangi pingat emas kedua Malaysia pada hari pertama dalam acara perseorangan wanita.

2. Kemenangan berganda ini amat bermakna kerana Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuanrumah untuk kejohanan bowling peringkat komanwel ini.

3. Zandra Aziela pula berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara tersebut. Ianya penting untuk memastikan Malaysia memungut mata untuk mendahului bagi kemenangan keseluruhan.

3. Semoga gandingan Zulmazran-Adrian dan Siti Safiyah-Zandra akan dapat menambah pingat emas buat Malaysia. Perlawanan akan bermula pada jam 10 pagi esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 21 February 2011

Kemenangan pertama negara

1. Tahniah kepada Zulmazran yang telah berjaya mendapat pingat emas bagi acara perseorangan sebentar tadi. Beliau melakukan jatuhan pin 264, 256, 236, 203, 190, 277 manakala tempat kedua pula Neil Sullivan dari Malta. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Guillaume Francois Louw dari Afrika Selatan.

2. Malang buat Adrian Ang yang hanya mampu menduduki tempat keempat walaupun telah mendahului di awal permainan. Beliau bermain 289 jatuhan pin pada game pertama tetapi gagal mendapat jatuhan pin yang tinggi pada game kedua dan kelima iaitu 189 dan 199.

3. Harapan seterusnya pada Zandra Aziela dan Siti Safiyah untuk acara perseorangan wanita pada petang ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saingan Bowling Komanwel bermula

1. Selamat berjuang kepada semua negara yang beraksi pada Kejohanan Tenpin Bowling Komanwel buat kali ke-5 yang berlangsung pada 20 hingga 27 Februari 2011. Hari ini acara perseorangan lelaki dan wanita akan bermula pada jam 10.00pagi di Megalanes Sunway.

2. Pasukan Malaysia akan diwakili oleh Zulmazran, Adrian Ang, Siti Safiyah dan Zandra Aziela.

3. Saya tidak berkesempatan untuk hadir pada majlis perasmian petang semalam kerana masih menunggu pasukan dari Malta yang tiba pada jam 3.00 petang dan seorang pemain England iaitu Matt Chamberlain yang tiba pada jam 6.00 petang.

4. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di KLIA yang membantu dalam menguruskan ketibaan pemain dari luar negara ini.

5. Mens Single akan bermula pada jam 10 pagi ini dengan format 6 game manakala Ladies Single pula akan berlangsung pada jam 2 petang. Lane pattern pada hari ini adalah Long oil.

6. Semoga pemain negara akan mendapat kemenangan pertama hari ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday 7 February 2011

Syabas atas usaha Kerajaan Malaysia

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia yang telah berjaya memindahkan sebahagian besar pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir ke Jeddah, Arab Saudi sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur.

Pergolakan politik serta rusuhan yang kian meruncing di Mesir telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia apabila harga minyak mentah melonjak hingga ke RM380 setong. Dengan mengambil jalan selamat, kerajaan telah membuat satu keputusan yang tepat dengan membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di sana demi menjaga keselamatan mereka.

Kelewatan membawa pulang pelajar ini telah dijadikan isu oleh sesetengah pihak yang mengambil kesempatan. Saya sendiri faham masalah yang dihadapi oleh kerajaan apabila berdepan dengan kerajaan di negara-negara arab yang terlalu banyak karenah birokrasi.

Saya mempunyai pengalaman yang sama apabila berada dibeberapa buah negara Arab yang mana kesemuanya mempunyai budaya yang sama. Sukar bagi kita untuk berdepan atau berurusan dengan mereka kerana mereka mempunyai tahap keegoan yang tinggi. Saya sendiri sering bertengkar dengan mereka kerana bangsa Arab ini sememangnya tidak mahu mengaku kalah  apabila melakukan kesilapan. Sebab itulah negara Arab ini sering bergolak dan bertelagah sesama bangsa sendiri.

Di Malaysia, apabila melihat plat kereta bernombor DC atau kereta diplomat, ianya akan diberi keistimewaan oleh penguatkuasa. Keadaan ini tidak berlaku di sana dan pengalaman saya menaiki kenderaan rasmi diplomat, ia dilayan seperti kenderaan biasa walaupun tertera plat diplomat.

Mereka (Arab) kadangkala mempunyai peraturan yang tidak konsisten, hari ini boleh, besok mereka kata tak boleh dan keadaan ini menyukarkan kita untuk berurusan dengan mereka.

Oleh yang demikian, saya faham akan kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia apabila berdepan dengan negara Arab, apatah lagi dengan kerajaan Mesir yang sedang bergolak.

Walaubagaimanapun, Ibu bapa harus bersyukur kerana anak-anak mereka diberi perhatian oleh kerajaan. Difahamkan segala kos ditanggung oleh kerajaan dan swasta yang mana jumlahnya agak besar. Semoga semuanya selamat pulang ke tanahair.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday 5 February 2011

Berita Harian Online | Belum tentu bagus

Berita Harian Online | Belum tentu bagus

Hasrat Indonesia untuk mengambil pemain import bagi mengharungi Sukan Sea 2011 di Palembang-Jakarta pada bulan November nanti mengambarkan mereka ketandusan atlet. Di manakah program kecemerlangan atau pelapis di negara tersebut. Belum selesai isu jenis sukan yang akan dipertandingkan, isu pemain import pula menjadi perbualan hangat. Namun Indonesia meletakkan syarat kepada atlet luar yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga di Indonesia. Ini berbeza dengan negara jiran yang mengambil pemain dari luar dan kemudian diberi taraf kerakyatan. Malaysia masih bertuah kerana mempunyai barisan pelapis yang berkemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Semoga program pelapis negara diterus dan diperkasakan.

Kebersihan Bandaraya Kuala Lumpur

Saya tertarik pada artikel bertajuk Isu kebersihan, kemudahan asas fokus utama Kuala Lumpur yang ditulis oleh Sdr. Razak Rashid Ghows di Berita Harian pada 1 Februari 2010. Entri saya pada hari sebelumnya bertajuk Salam warga kota ada menyentuh isu berkaitan kebersihan di bandaraya Kuala Lumpur khususnya kebersihan sungai Klang dan sungai Gombak.

Penulis berkenaan telah membincangkan isu kebersihan khususnya di gerai makan di ibukota serta tandas-tandas awam. Begitu juga dengan tahap kebersihan di kawasan perumahan serta jalan-jalan yang berlubang dan tidak diturap hingga mengundang kecelakaan kepada penunggang motosikal.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah disambut pada setiap tahun dan telah mencapai ke 37 tahun. Setiap tahun, isu yang sama iaitu kebersihan bandaraya dibangkitkan oleh penduduk warga kota dan juga pelancong yang mengunjungi Kuala Lumpur.

Tanggungjawab kebersihan ini bukan hanya terletak di bahu penguatkuasa atau dalam situasi ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Penghuni warga kota juga memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga kebersihan di Bandar.

Ketika mengunjungi kebeberapa buah negara yang maju seperti Korea, Australia dan Singapura, saya amat kagum dengan keindahan serta kebersihan bandaraya berkenaan. Sydney, Australia merupakan ibukota terbesar di Australia yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 4 juta orang. Namun kepesatan penduduk bandaraya tersebut tidak menjejaskan tahap kebersihan bandar Sydney yang saya fikir ianya begitu bersih dan selesa sekali.

Kesesakan lalulintas juga amat jarang berlaku terutama di kawasan Bandar yang sempit seperti di sekitar kawasan George Street dan Pitt Street. Kawasan tersebut padat dengan bangunan serta kedai dan juga hotel. Di waktu puncak, perjalanan kenderaan begitu lancar sekali walaupun jumlah kenderaan yang banyak melalui kawasan tersebut. Saya dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa, kadar bayaran letak kereta adalah mahal di Sydney dan ianya mencecah sehingga lebih AUS$10 sehari (RM30.00). Pihak berkuasa telah menyediakan kawasan letak kereta bertingkat yang amat luas di satu kawasan berhampiran Bandar. Keluasannya boleh membuatkan pemandu lupa, dimana kenderaannya diletakkan.

Kawalan yang ketat oleh kerajaan Australia ketika memasuki negara tersebut tidak menghalang pelancong dari luar untuk mengunjung Australia yang menyediakan banyak produk pelancongan. Tahap kebersihan di Bandar begitu diambil perhatian dan kemudahan awam seperti tandas begitu bersih serta menyenangkan. Tandas-tandas disediakan secara percuma untuk kemudahan orang ramai.

Persoalannya, mengapa Kuala Lumpur masih lagi ketinggalan dalam isu kebersihan. Di sini pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan penting serta mengambil tindakan yang tegas keatas warga kota yang mengotori bandaraya ini. Kuala Lumpur perlu mengambil contoh bagaimana bandar-bandar di negara maju seperti Sydney atau Singapura menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga kebersihan. Seperti di Singapura, kerajaannya mengharamkan gula-gula getah kerana ianya akan menyebabkan kotoran kekal di tempat awam dan juga dalam pengangkutan awam. Denda yang tinggi atau hukuman menjalani khidmat masyarakat seperti membersihkan sampah di bandaraya adalah jalan terbaik bagi mendidik warga kota untuk menjaga kebersihan.

Saya amat setuju dengan pandangan penulis yang mana pemimpin atasan perlu meninjau sendiri serta turun padang. Laporan yang diterima dalam mesyuarat tidak mencerminkan keadaan sebenar. Pemimpin perlu turun serta melihat keadaan dan kemudiannya membuat keputusan dengan segera. Kesungguhan pemimpin akan memberi keyakinan kepada rakyat.

Bandaraya Kuala Lumpur akan bersih sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing. Jadilah warga kota yang bertanggungjawab keatas kebersihan di Bandar.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday 1 February 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakan-rakan di Malaysia dan juga di luar negara khususnya mereka yang akan menyambut perayaan yang penuh kemeriahan ini.

Semoga di Tahun Arnab ini, persahabatan yang lebih erat dapat dijalinkan serta dimurahkan rezeki. Buat mereka yang melakukan perjalanan jauh pada cuti panjang ini, berhati-hati di jalanraya semoga selamat sampai ke destinasi.

Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai.

Mohd Hisham Mohd Nor.