Monday 27 April 2020

PERJUANGAN BELUM BERAKHIR


Setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan itu pula memerlukan masa untuk mencapai sesuatu kejayaan. Sesuatu musibah atau kecelakaan itu boleh berlaku dalam sekelip mata tetapi untuk pulih seperti sediakala perlu mengambil masa yang agak lama. Situasi sebegini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat.

Susulan dari wabak pandemic Coronavirus 19 (COVID 19), YAB Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah memngumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir pada 28 April 2020 dilanjutkan ke fasa empat yang akan bermula pada 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020. Ianya disambut baik oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia yang ingin melihat Malaysia bebas dari wabak COVID 19 sepenuhnya.

Wabak yang telah menular ke 213 buah negara di seluruh dunia ini telah menjangkiti 2.7 juta orang dan lebih 180,000 kematian telah direkodkan. Masih belum ada tanda-tanda wabak ini akan pulih sepenuhnya dalam masa yang terdekat walaupun ada sesetengah negara telah merekodkan penurunan jangkitan wabak ini. Namun ada juga negara yang masih di peringkat pengawalan yang ketat susulan peningkatan jangkitan yang mendadak.

Pada minggu lalu, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyatakan sebahagian besar wabak di Eropah Barat kelihatan stabil atau menurun. Walaupun jumlahnya rendah WHO melihat trend kenaikan yang membimbangkan di Afrika, Amerika tengah dan selatan serta Eropah Timur.

Beliau menasihatkan kepada negara yang terbabit dengan wabak ini agar terus berusaha menangani penularan wabak ini dengan serius dan tidak membuat kesilapan. Kita mempunyai perjalanan yang jauh lagi dan virus ini akan lama bersama kita dan ia tetap berbahaya, tambah beliau.

Jika dilihat senario di kalangan negara ASEAN, Singapura, Indonesia dan Filipina adalah negara yang tertinggi mencatatkan jumlah pesakit baharu. Data yang dikeluarkan oleh WHO sehingga 26 April 2020 menunjukkan Singapura telah mencatatkan 897 kes baru dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 12,075, manakala Indonesia mencatatkan 396 kes baru dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,607. Filipina pula mencatatkan 211 kes baru dengan jumlah keseluruhan 7,192 kes.

Di Malaysia pula, usaha gigih yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak awal tahun telah menampakkan hasil. Sehingga 25 April 2020, terdapat 51 kes baharu manakala 99 kes sembuh baharu dilaporkan. Jumlah yang tinggi untuk kes sembuh berbanding dengan kes baharu ini telah dicatatkan sejak seminggu yang lalu. Jumlah kes yang aktif dan masih dirawat pula telah menurun sejak beberapa hari yang lalu. Sehingga 25 April 2020, jumlah kes aktif adalah sebanyak 1,882 kes. Apa yang diharapkan adalah jumlah kes aktif dan masih dirawat ini akan menurun lagi hingga ke angka tunggal.

Namun, seluruh rakyat Malaysia tidak boleh berasa selesa dengan situasi ketika ini. Pertambahan tempoh dua minggu lagi PKP fasa keempat disifatkan sebagai peluang untuk membudayakan corak kehidupan mengikut kebiasaan baharu bagi memastikan penjarakan sosial dan kepentingan menjaga kebersihan terus dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat.

Dr. Li Jun dari China berkata memang ada kebiasaan baharu yang berlaku di kalangan masyarakat di China sejak tercetusnya wabak COVID 19 ini. Rakyat China kini lebih mementingkan kesihatan sendiri dengan memakai topeng muka setiap kali keluar rumah, mengamalkan penjarakkan sosial, lebih kerap membeli barang keperluan secara dalam talian dan penghantaran barangan ke rumah. Rentak kehidupan tidak nampak secara ketara, namun mereka lebih mengutamakan kehidupan berkeluarga dan lebih kerap bersenam serta memastikan badan sentiasa cergas.

Dr. Li Jun yang juga Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong bersama tujuh orang pakar perubatan dari China kini berada di Malaysia untuk membantu memerangi pandemik COVID 19. Kehadiran pasukan dari China itu telah diselaraskan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China terdiri daripada pakar dalam pelbagai bidang seperti pernafasan, rawatan rapi, psikiatri, penyakit berjangkit, analisis data, virology dan perubatan tradisional Cina.

Penulis menjangkakan kerajaan sedang berusaha untuk memastikan wabak COVID 19 ini benar-benar terkawal dan jumlah jangkitan atau pun kes baharu mencapai ke angka tunggal. Ini bukan sesuatu yang mudah, namun ianya berupaya untuk dicapai. Sokongan dari seluruh rakyat amatlah diperlukan pada ketika ini. Sekiranya rakyat leka semula dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan maka tidak mustahil wabak COVID 19 ini akan menular semula. Barangkali ada kluster baru akan wujud kerana kemungkinan ada individu yang dijangkiti dan berada dalam komuniti, tetapi tidak mempunyai gejala.

Saringan besar-besaran perlu diteruskan untuk menangani wabak COVID 19 ini di peringkat awal kerana dibimbangi ada lokasi-lokasi yang tidak diketahui dan didiami oleh pekerja warga asing. Kemasukan warga dari luar negara juga perlu diperketatkan kerana ianya bakal mengundang kes-kes import dari negara yang dilawati.

Dalam usaha kerajaan yang berterusan dalam memerangi wabak COVID 19 ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi amaran supaya semua rakyat Malaysia tidak kira di mana-mana zon di negara ini perlu mematuhi PKP kerana ia belum berakhir. Pematuhan terhadap perintah tersebut masih terpakai kepada mereka yang tinggal di zon hijau walaupun kawasan itu tidak merekodkan kes positif COVID 19. Ini jelas menunjukkan kerajaan serius dalam menangani wabak ini dan beliau mengingatkan pihak polis tetap akan mengambil tindakan keras terhadap sesiapa sahaja yang ingkar.

Sewajarnya PKP ini dilanjutkan ke fasa empat dan mungkin ke fasa lima atau enam hingga melewati ke bulan Jun 2020. Ianya bagi memastikan wabak COVID 19 ini betul-betul tiada dalam masyarakat Malaysia. Walaupun Malaysia berada dalam keadaan baik dan menunjukkan penurunan pada jangkitan wabak ini, namun kita harus berwaspada kerana negara-negara jiran masih lagi bergelut untuk menangani wabak ini. Sehingga WHO mengisytiharkan wabak ini telah hapus dan pulih, maka barulah kita boleh menarik nafas lega dan selesa.

Perjalanan masih lagi jauh untuk dilalui dan perjuangan belum berakhir. Kita belum menang dan kita pasti akan menang.

Hisham Nor
Putrajaya







No comments: