Wednesday, 18 June 2008

Keahlian 69

Khamis yang lalu saya telah menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kelab Bowling Kastam Putrajaya dan Saudari Ruhana selaku Ketua Biro Keahlian dan Data telah memaklumkan keahlian KBKPj telah mencecah ke angka 69 orang. Ianya satu perkembangan yang positif dalam sukan ini dan ramai ramai dikalangan warga ibu pejabat meminati sukan ini. Satu cabaran buat jawatankuasa untuk memastikan aktiviti-aktiviti kelab berjalan secara konsisten. Keputusan telah dicapai untuk meneruskan aktiviti sesi latihan siri ke-4 yang akan di adakan di ARL Powerbowl, Alamanda pada 20 Jun 2008 jam 5.30 petang. Insyaallah saya bersama Sobri akan membantu ahli-ahli dari segi teknik yang betul di dalam sesi ini.

Disamping itu juga, jawatankuasa juga telah membuat keputusan untuk mengadakan perlawanan bulanan atau 'monthly medal' yang pertama pada 19 Julai 2008 di Warta Bangi. Setiap ahli akan diundi bagi menentukan kumpulan atau pasukan masing-masing untuk memastikan keseimbangan setiap pasukan. Ahli-ahli yang berminat boleh menghubungi Zulkifli Abdul Rahim 03-88822274.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Mini Pesta Antara Stesen

Majlis Sukan dan Kebudayaan Kastam (MSKK) akan menganjurkan Mini Pesta antara Stesen (Ibu Pejabat, KLIA dan Kuala Lumpur) bermula pertengahan Jun dan berakhir pada petengahan Julai 2008. sebanyak 9 acara akan di pertandingkan iaitu Bola Jaring, Bola Tampar(lelaki & wanita), Bolasepak, Dart, Sepak Takraw, Badminton, Ping Pong, Tenis dan Bowling. Objektif utama mini pesta ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan diantara ahli-ahli di ketiga-tiga stesen dan juga untuk membuat pemilihan pemain yang akan mewakili Kuala Lumpur ke Pesta Sukan Kastam yang akan diadakan pada pertengahan bulan Oktober di Kuala Lumpur.

Acara Tenpin Bowling akan di adakan pada 4 & 5 Julai 2008 jam 8.00 malam di Ampang Superbowl, IOI Mall, Puchong. Setiap pemain akan bermain 10 game ( 5 game hari pertama & 5 game hari kedua) dan pemenang akan ditentukan melalui jumlah jatuhan pin keseluruhan. Bayaran adalah sebanyak RM50.00 seorang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 14 June 2008

Berakhirnya SUKMA edisi ke-12



Sukma edisi ke 12 telah pun berakhir Isnin yang lalu. Mungkin tidak terlewat untuk saya membuat rumusan berhubung dengan kejohanan dwi tahunan tersebut kerana masa yang agak terhad. Secara keseluruhannya pemain-pemain bowling Wilayah Persekutuan telah mempamerkan persembahan yang baik. Namun begitu banyak ruang yang perlu di perbaiki di masa akan datang. Isu ketahanan mental masih lagi menghantui di pemikiran pemain. Persediaan mental yang saya sediakan selama 2 minggu adalah tidak mencukupi untuk pemain-pemain. Masih ada pemain yang mengadu kepada saya yang mereka berasa takut dan tiba-tiba hilang keyakinan terutama sebelum pertandingan bermula. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana sewaktu tiba di arena bowling, pemain-pemain seharusnya telah bersiap sedia seolah-olah untuk pergi berperang dengan segala kelengkapan yang ada dan telah dibekalkan. Ada juga pemain yang berjumpa selepas permainan untuk mendapatkan nasihat. Insyaallah saya akan merangka beberapa program yang berkaitan dengan persediaan mental dikalangan pemain dalam masa yang terdekat ini.

Pasukan Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua secara keseluruhan selepas Selangor. Ini merupakan pencapaian yang terbaik setakat ini dimana Sukma ke 11 di Kedah hanya sekadar mengutip 1 emas sahaja. Persediaan awal akan dilakukan untuk menghadapi Sukma ke 13 di Melaka pada tahun 2010. Tuan rumah Melaka seharusnya mengambilkira aspek penginapan agar ianya dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk bagi memastikan keselesaan kepada pemain. Tuan rumah Terengganu secara keseluruhan telah menganjurkan Sukma ke 12 ini dengan jayanya. Makanan-makanan yang disediakan juga baik serta bermutu dan juga venue yang selesa di sepanjang kejohanan. Saya memuji langkah penganjur apabila menyediakan 'Wi-Fi' percuma di hari kedua kejohanan. Masa agak terhad bagi saya untuk menulis blog di venue kerana banyak menghabiskan masa untuk persediaan bersama pemain-pemain. Kerajaan Negeri Terengganu telah membelanjakan billion ringgit dalam menyediakan insfrastruktur sukan. Stadium Sultan Mizan adalah merupakan stadium negeri yang terindah dan terbesar di Malaysia dengan kapasiti 55,000 orang pada setiap waktu. Begitu juga dengan stadium tertutup yang bersebelahan dengan Stadium Utama juga tidak kurang hebatnya. Walau apapun, Tahniah kepada Kerajaan Terengganu kerana berjaya menganjurkan Sukma ke 12 dan seterusnya menjadi johan keseluruhan Sukma ke 12 ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 10 June 2008

Cheryl Penyelamat Sasaran

Tahniah kepada Cheryl Cheong kerana berjaya mengutip pingat emas dalam acara Masters Wanita dan sekali gus melengkapkan sasaran 2 emas dari Tenpin Bowling. Kemenangan ini sangat-sangat diperlukan dan seluruh ahli pasukan terpaksa menanti sehingga ke frame yang terakhir di game ke-16 untuk mendapatkan kepastian. Akhirnya Cheryl berjaya menumbangkan Tengku Emima dari kedah dengan kelebihan hanya 2 pin. Cheryl ketinggalan 40 pin di belakang Tg. Emima pada game ke-15. Berkat kesungguhan beliau telah memaksa Tg. Emima mengalah pada frame terakhir yang mana Cheryl hanya memerlukan strike untuk menang. Saya berasa terharu di atas kejayaan ini kerana kami terpaksa menunggu selama 7 hari untuk mendapatkan pingat emas yang kedua selepas Yusof memenangi pingat emas yang pertama dalam kategori lelaki individu di hari kedua. Berkat kesabaran pemain telah membuahkan hasil dan kejayaan ini adalah yang terbaik bagi pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan sepanjang penglibatan di Sukma.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 6 June 2008

Trio sekadar pingat gangsa

Pasukan Trio Wilayah Persekutuan Lelaki dan Wanita sekadar mendapat pingat gangsa walaupun pada blok pertama pasukan lelaki telah mendahului senarai. Trio lelaki terdiri dari Syimir, Amirrul dan Yusof bermula dengan baik pada blok yang pertama tetapi hambar pada blok kedua sehingga memberi laluan mudah kepada pasukan Selangor untuk menjuarai kategori Trio Lelaki. Begitu juga dengan Trio wanita yang terdiri dari Cheryl Cheong, Najwa dan Hee Kar Yen gagal mengutip mata yang tinggi untuk muncul sebagai juara. Harapan seterusnya adalah kategori berpasukan 4 orang Lelaki dan Wanita dan keputusan bakal diketahui esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 5 June 2008

Pingat Perak buat Yusof dan Najwa

Gandingan beregu campuran Yusof dan Najwa sekadar mendapat pingat perak walaupun mendahului senarai pada permainan blok pagi. Walaubagaimanpun pasukan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan telah berjaya mengumpul pingat yang kedua pada hari ketiga. Ada baki 8 pingat yang akan di pertandingkan. Pada hari ini acara Trio sedang berlangsung dan keputusannya akan diketahui pada lewat petang ini. Kedudukan terkini 1 Emas dan 1 Perak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 3 June 2008

Amaran awal Yusof

Semalam menyaksikan pemain Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan, Yusof Abd Raof berjaya menggondol pingat emas untuk tenpin bowling di Arena Bowling. Kejayaan yang sangat di harapkan itu memberi semangat kepada pemain-pemain lain untuk terus berjuang kerana ada 10 pingat lagi yang akan di pertandingkan. Semoga semangat pemain akan terus berada di tahap yang tinggi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 30 May 2008

Selamat Berjuang Wira-wira Wilayah Persekutuan

Pagi tadi jam 9.00 pagi, Wira-wira Wilayah Persekutuan seramai 568 atlit dan 175 pegawai ke Sukma berlepas dari Stadium Badminton Cheras dengan konvoi bas dan van. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyediakan sebanyak 70 buah kenderaan bagi membawa para atlit dan pegawai ke Kuala Terengganu. Konvoi telah diiringi oleh 7 buah motosikal polis trafik dan sebuah kenderaan hingga ke Kuala Terengganu bagi memastikan para atlit selamat sampai ke destinasi. Ini merupakan pertama kali dilakukan oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan pemain-pemain berasa selesa dengan perjalanan yang lancar kerana beberapa laluan dan persimpangan telah ditutup untuk memudahkan perjalanan konvoi. Saya tidak berkesempatan untuk bersama pasukan kerana terpaksa bertugas dan insyaallah akan berlepas petang esok untuk bersama pemain di Majlis Perasmian Sukma yang akan diadakan di Stadium Sultan Mizan malam esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Amanat Presiden



Tengahari Khamis telah di adakan satu majlis makan tengahari bagi meraikan pemain-pemain bowling Sukma Wilayah Persekutuan bertempat di Megalanes, Endah Parade. Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Nor bin Abdul Rahim, Presiden Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluangkan masa untuk bersama-sama pemain serta memberi amanat serta semangat untuk di jadikan bekalan ke Terengganu nanti. Beliau menasihati pemain agar memberi tumpuan di sepanjang kejohanan dan membawa kejayaan kepada Wilayah Persekutuan. Pada keseluruhannya semangat pemain berada di tahap yang tinggi dan saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik. Persiapan pada kali adalah lebih baik jika dibandingkan pada Sukma 2006 di Kedah dan pemain dapat menjalani latihan secukupnya malah sempat mencuba 'Lane' di Terengganu di Pra-Sukma pada April yang lalu.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 28 May 2008

Selamat Hari Jadi Amirrul Afif

Tengahari tadi sebelum saya memulakan sesi 'Mental Class' kepada pemain Sukma Wilayah Persekutuan, Pemain-pemain telah membuat kejutan kepada Amirrul Afif yang menyambut hari jadinya pada hari ini. Hari Jadinya pada tahun ini adalah sungguh bermakna baginya dan beliau berharap agar ianya akan membawa tuah buat dirinya dan juga seluruh pasukan bagi mengharungi Sukma ke-XII. Esok, Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Nor Abdul Rahim, Presiden Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan hadir ke pusat latihan bagi memberi kata-kata semangat sebelum pemain-pemain berlepas pada hari jumaat ini.


Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 25 May 2008

Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan



Petang tadi telah disempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan oleh Y.B Dato Seri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan kepada Y.Bhg. Dato' Badaruddin selaku Chief de Mission Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA ke-XII. Hampir kesemua atlit telah hadir pada majlis tersebut yang diadakan di Dewan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Para atlit telah berada di dewan tersebut seawal 9.00 pagi kerana pelbagai program telah diadakan termasuk 'ice breaking' kepada semua atlit bagi memupuk semangat di dalam satu pasukan. Sasaran 40 pingat emas adalah sesuatu yang boleh dicapai dan persediaan kali adalah lebih baik dari SUKMA 2006 di Kedah. Y.B Dato' Seri Zulhasnan juga turut mengumumkan insentif kepada para atlit yang berjaya mendapat pingat emas dengan ganjaran yang di janjikan sebanyak RM2500.00 bagi setiap emas yang di perolehi. Pasukan Tenpin Bowling mensasarkan 2 emas dan 2 perak untuk temasya SUKMA pada kali ini dan ianya merupakan satu sasaran yang realistik dan mampu dicapai pemain berdasarkan prestasi semasa para pemain. Apapun kita nantikan keputusannya apabila acara pertama bermula pada hari Ahad ini. Kesemua atlit akan berlepas ke Terengganu pada hari Jumaat ini dan mesyuarat pengurus pasukan untuk tenpin bowling bakal diadakan pada sebelah malam.

Mohd Hisham Mohd Nor.