Wednesday, 20 August 2008

Lagenda Bowling

Pada 15 Ogos yang lalu lagenda Bowling negara, Micheal Cheah telah meninggal dunia di Pulau Pinang pada usia 68 tahun. Saya percaya ramai yang tidak mengenali Micheal Chuah, bekas pemain bowling negara di sekitar tahun tahun 1973. Mendiang telah bersara dari sukan Bowling pada tahun 1999, setelah 35 tahun mengharungi pahit manis berkecimpung dalam sukan ini. Banyak pengorbanan dari aspek masa dan kewangan telah di laburkan di sepanjang penglibatan beliau dan telah mewakili negara di Kejohanan AMF World Cup di Jackie Bowl, Singapura pada tahun 1973 dan Kejohanan AMF World Cup di Prados Del Este Bowl, Caracas, Venezuela, Amerika Selatan. Mendiang juga turut menyertai Sukan Sea pada tahun 1975, 1977 dan 1985.

Saya menyanjungi kesungguhan beliau apabila terpaksa berkorban wang dan masa serta menempuh pelbagai cabaran termasuk berlatih sendiri tanpa bimbingan jurulatih. Beliau hanya belajar cara dan teknik Bowling melalui buku-buku dan video tape sahaja. Dengan kesungguhan ini beliau berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Atas jasa-jasa yang telah disumbangkan, beliau telah menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1984. Semoga semangat dan kesungguhan beliau ini menjadi contoh kepada atlet-atlet pada masa kini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 19 August 2008

Sesi Latihan Siri 7


Sesi Latihan Siri 7 telah di adakan petang tadi di ARL Powerbowl, Alamanda. Latihan ini merupakan siri terakhir kerana bulan ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Pada pemerhatian saya, ahli-ahli perlu di terapkan sesi balancing drill, one step drill dan 5 step drill. Insyallah program latihan akan dirombak selepas bulan ramadhan nanti dan program latihan yang lebih tersusun akan dirangka dan diedarkan kepada ahli-ahli. Ada beberapa pemain masih gagal melakukan 'follow-through' pada setiap balingan yang mana ianya menjadi antara perkara asas dalam permainan bowling.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 18 August 2008

Pegawai lebih daripada atlit

Tadi saya terbaca kenyataan pemimpin politik yang meminta kerajaan memberi jawapan segera mengapa kerajaan menghantar pegawai melebihi atlit yang menyertai Sukan Olimpik di Beijing. Di sini suka saya berkongsi pengalaman sebagai pegawai ketika bersama pasukan Bowling Kebangsaan ke Sukan Asia di Doha, Qatar dan Sukan Sea di Bangkok, Thailand. Peranan setiap pegawai adalah amat pentingnya dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan itu dan tidak dinafikan ianya membabitkan wang kerajaan atau wang rakyat. Di fahamkan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik , Beijing adalah terdiri daripada 33 atlit dan 39 pegawai dan ianya cuma membabitkan lebihan 6 orang sahaja.

Sebagai contoh pasukan bowling ke Sukan Sea terdiri dari 12 orang pemain, 1 orang pengurus dan 2 orang penolong serta 2 orang jurulatih. Manakala 1 orang psychologist dan 1 orang messeur pula terpaksa dikongsi dengan beberapa sukan yang lain. Pegawai-pegawai telah dibahagikan tugas untuk memastikan jadual perjalanan atlet berjalan dengan lancar. Sekiranya terdapat 2 sesi yang membabitkan pagi untuk wanita dan petang untuk lelaki, tugasan pegawai terpaksa diagih untuk memastikan ada pegawai menunggu serta mengiringi pemain-pemain dan sebagainya. Makan dan minum para atlet mesti tiba mengikut jadual agar mereka tidak tertunggu-tunggu.

Tugasan pegawai bukanlah mudah seperti yang disangkakan kerana pegawai terpaksa bangun awal pagi dan mereka jugalah orang yang paling lewat tidur. Saya amat tidak setuju jika ada yang mengatakan pegawai pergi melancong kerana waktu begitu terhad. Pernah satu ketika di Sukan Asia di mana blok terakhir yang dijadualkan bermula pada pukul 10.00 malam tertangguh sehingga jam 1.00 pagi dan perlawanan berakhir pada jam 3.30 pagi. Petugas dan wartawan RTM masih sanggup menunggu untuk mewawancara saya pada jam 3.30 pagi. Sewaktu perjalanan pulang ke perkampungan sukan, dalam hati saya berkata, Bowling sukan yang aneh, dikala atlet lain sedang tidur nyenyak merehatkan diri, atlet bowling masih lagi bertarung di gelanggang. Namum inilah pengorbanan pegawai yang ada sesetengah pihak tidak berpeluang melihatnya atau mengetahuinya. Bagi pandangan saya, bilangan pegawai ke Sukan Olimpik Beijing adalah kecil dan kita perlu melihat dari peranan yang dimainkan oleh mereka.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 17 August 2008

Sekadar Perak

Impian negara untuk mencipta sejarah mengutip pingat emas yang pertama di Sukan Olimpik punah apabila Lee Chong Wei ditewaskan mudah oleh Lin Dan dari China, 21-12, 21-8 dalam tempoh 39 minit. Namun ianya adalah pencapaian yang terbaik negara selepas Rashid Sidek yang memenangi pingat gangsa bagi acara perseorangan di Sukan Olimpik di Atlanta 1996. Terdahulu bagi acara menentukan pingat gangsa, Chen Jin dari China telah menewaskan Hyunil dari Korea, 21-16,12-21,21-14 dalam tempoh 79 minit.

Peluang hanya sekali dalam tempoh 4 tahun dan persiapan serta perancangan yang teliti perlu dilakukan dari sekarang samada dari segi teknikal, fizikal mahupun mental. Bermain di peringkat Olimpik bukan sesuatu yang mudah walaupun kita merasakan sudah bersedia untuk berjuang. Suasana di Sukan Olimpik amat berbeza dan sungguh mencabar dan tuan rumah mempunyai kelebihan apabila berhadapan dengan penyokong sendiri. Saya berpendapat sukan-sukan yang berjaya ke peringkat suku akhir perlu diambil perhatian agar persiapan ke Olimpik di London 2012 dapat di perkemaskan lagi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Menuju ke GP Final

Sirkit Remaja Sport-Excel peringkat akhir di Melaka telah berakhir petang tadi. Namun sedikit kekecewaan dengan prestasi pemain Kuala Lumpur yang gagal merangkul tempat pertama bagi semua kategori. Namun demikian, samada keputusan yang telah diambil atau ura-ura pihak penganjur untuk tidak mengambilkira mata yang dipungut sebelum ini untuk Piala Tunku Imran mungkin menjejaskan prestasi pemain-pemain. Secara peribadi saya sangat kecewa dengan tindakan pihak yang tertentu bertindak sedemikian di kala pemain sedang berhempas pulas di pusingan akhir. Di fahamkan pungutan mata akan dikira sewaktu di GP final nanti yang melibatkan Sabah dan Sarawak. Mengapa perkara ini tidak di maklumkan kepada pasukan seawal yang mungkin dan senario inilah yang akan merosakkan sukan negara.

Walaubagaimanapun, pemain yang layak harus memberi tumpuan di peringkat akhir iaitu GP Final nanti dan masalah tersebut akan saya selesaikan dalam masa terdekat ini bersama penganjur. Buktikan yang kecemerlangan Kuala Lumpur.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 16 August 2008

Chong Wei Mara

Syukur alhamdullilah, Perseorangan badminton negara Lee Chong Wei telah melangkah ke perlawanan akhir dengan menewaskan Hyunil dari Korea 21-18, 13-21, 21-13 dalam perlawanan yang mengambil masa 62 minit. Chong Wei akan bertemu Lin Dan dari China, pemain nombor satu dunia di perlawanan akhir nanti yang dijadualkan berlangsung pada 17 Ogos 2008 (Ahad) jam 20:48 waktu tempatan.

Cuma selangkah lagi untuk Malaysia menggapai pingat emas yang pertama di Sukan Olimpik dan kita mengharapkan agar lagu negaraku akan berkumandang dan jalur gemilang berkibaran di Beijing University Technology Gymnasium di mana berlangsungnya acara akhir badminton perseorangan lelaki pada hari ahad ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Majlis Sepetang Bersama Penasihat







Petang kelmarin Kelab Bowling Kastam Putrajaya telah menganjurkan sesi Sepetang Bersama Penasihat. Walaupun Penasihat Kelab, Tuan Azis Yacub tidak dapat hadir kerana ada urusan rasmi, majlis tetap diadakan dan Penasihat Biro Ekonomi, Puan Rosaini Mohamad telah meluangkan masa untuk hadir pada majlis tersebut. Tujuan majlis tersebut adalah untuk mengenali ahli-ahli dengan lebih dekat serta menggalakkan ahli untuk terus menglibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti kelab. Pada majlis yang tersebut telah disampaikan kad keahlian kepada Puan Rosaini dan juga ahli-ahli. Di dalam ucapan saya telah menerangkan maksud serta halatuju kelab serta perancangan 6 bulan kehadapan. Sokongan ahli-ahli amat diperlukan untuk menggerakkan aktiviti kelab.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 15 August 2008

Harapan pada Chong Wei

Harapan Negara untuk meraih pingat emas pertama negara masih terbuka apabila Lee Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir kelmarin menewaskan Sonny Dwi Koncoro dari Indonesia. Kekalahan beregu Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong di tangan Kido Markis dan Setiawan Hendra dari Indonesia sedikit memberi kekecewaan buat pasukan badminton negara. Perjuangan tetap diteruskan dan Chong Wei terpaksa memerah keringat yang ada demi untuk merealisasikan impian negara untuk mencapai pingat emas yang pertama.

Sama-samalah kita memberi sokongan kepada Chong Wei dan perlawanan separuh akhir kedua itu menyaksikan Lee Chong Wei akan menentang Lee Hyunil dari Korea. Perlawanan dijangka bermula pada jam 1830 waktu tempatan. Perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Lin Dan dari China menentang rakan senegaranya Chen Jin.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Peringkat Akhir Memanah Wanita

Memanah sering dikaitkan dengan aktiviti memburu pada zaman silam. Ini dapat kita lihat di dalam cerita-cerita lama di Eropah dan England khususnya pada zaman Robin Hood. Ianya juga digunakan sebagai senjata di dalam peperangan sewaktu zaman tersebut. Kini memanah telah menjadi sukan yang diiktiraf di peringkat dunia.

Semalam saya sempat menyaksikan perlawanan akhir memanah wanita. Ini merupakan pertama kali bagi saya menyaksikan perlawanan akhir sukan memanah dan tertarik dengan permainan tersebut. Perlawanan adalah di antara Park Sung-Hyun dari Korea dengan Zhang Juan Juan dari China (Gambar atas). Pengiraan dalam sukan ini adalah mudah apabila peserta di beri 12 arrow untuk mengutip mata. Peserta yang mengutip mata tertinggi akan dikira sebagai pemenang. Di dalam pertemuan tersebut persaingan amat sengit apabila Park Sung-Hyun telah mendahului Zhang pada 6 arrow yang pertama dan akhirnya Zhang Juan Juan berjaya menewaskan Park Sung-Hyun 110-109 dan seterusnya merangkul pingat emas. Terdahulu di peringkat separuh akhir, Zhang telah menewaskan pemain nombor satu dunia Yun Ok-hee dari Korea 115-109.

Sukan ini mempunyai potensi yang baik untuk atlet di negara kita kerana ianya tidak memerlukan fizikal yang besar atau bertubuh sasa seperti sesetengah sukan . Kekuatan mental memainkan peranan yang penting bagi menentukan kejayaan. Saya fikir kita mampu pergi jauh sekiranya tumpuan khusus dari aspek pembangunan di peringkat akar umbi lagi serta menggalakkan ramai pelajar-pelajar menceburi sukan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 13 August 2008

Masih Menanti

Malaysia masih menanti kilauan emas yang pertama di Sukan Olimpik. Bukan mudah untuk menggapai kilauan emas terutama di peringkat Sukan Olimpik ini. Esok perseorangan lelaki badminton negara Lee Chong Wei akan menentang Sony Dwi Koncoro dari Indonesia pada jam 11.30 di peringkat suku akhir. Harapan yang diletakkan dibahu Chong Wei memanglah tinggi dan di harap beliau mampu untuk melakukan yang terbaik. Skuad Trio memanah negara hanya mampu ke peringkat separuh akhir sahaja. Pemain Korea mendominasi bagi acara memanah dan permainan ini memerlukan tumpuan atau fokus yang tinggi.

Kedudukan pingat memperlihatkan China menguasai pungutan emas iaitu 17 pingat diikuti Amerika Syarikat 10 pingat. Kedudukan mungkin akan berubah apabila acara olahraga bermula pada hari jumaat ini di National Stadium (Stadium Sarang Burung).

Sekiranya acara tenpin bowling, bowling padang dan squash dipertandingkan di Sukan Olimpik, saya berpendapat Malaysia mempunyai peluang yang amat cerah untuk meraih pingat emas berdasarkan pencapaiannya di peringkat antarabangsa. Tidak dinafikan lagi Malaysia memiliki pemain nombor satu dunia bagi squash wanita dan pemain-pemain bowling yang telah mengegarkan dunia. Kita tetap berusaha dan menanti sukan-sukan ini akan dipertandingan di temasya olimpik pada satu hari nanti, insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 9 August 2008

Pasukan Memanah Kebangsaan

Pasukan Memanah Kebangsaan ke Sukan Olimpik di ketuai oleh Pengurus Pasukan Yg. Bhg. Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalib yang juga merupakan Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia. Sesungguhnya pasukan memanah Malaysia amat bertuah kerana memiliki pengurus yang berwawasan serta berpandangan jauh. Kali terakhir saya bertemu Yg. Bhg Tan Sri Halil adalah sewaktu majlis penyerahan bendera kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Thailand tahun lepas. Beliau merupakan bekas Ketua Pengarah Kastam Malaysia 2000 sehingga 2005.

Tiga atlet memanah Malaysia Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Khalmizan Wan Abd Aziz, akan menjadi peserta Malaysia yang paling awal membuka cabaran di Sukan Olimpik Beijing yang dibuka dengan rasminya, malam tadi.

Mohd Hisham Mohd Nor.