Saturday, 13 December 2008

Emas Pertama Buat Malaysia

Saya ingin merakam ucapan tahniah kepada pemain kebangsaan Shafiq Ridhwan Malik di atas kejayaan beliau mengutip emas pertama buat negara melalui acara perseorangan tenpin bowling di Sukan Universiti Asean yang berlangsung di Megalanes, Sunway Pyramid petang tadi. Pingat perak di menangi oleh pemain dari Thailand, Badin Lerdpiriyasakulkit dan Johan Jamaludin dari Malaysia memenangi pingat gangsa.

Seorang lagi pemain kebangsaan Nur Syakirah Yeoh hanya sekadar mendapat pingat gangsa bagi acara perseorangan wanita. Pingat emas dimenangi oleh Cherie Tan dari Singapura dan Perak oleh Saowapha Kunaksorn dari Thailand. Zatil Iman yang juga pemain Kebangsaan sekadar menduduki tempat ke tujuh.

Esok acara beregu lelaki dan wanita akan berlangsung dan keadaan lorong adalah 'Long Oil'. Kedudukan pingat setakat ini 1 emas dan 2 perak yang mana kesemuanya dari tenpin bowling. Kita mengharapkan agar pasukan Universiti Malaysia akan mendapat sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas melalui acara beregu. Saya menjangka Nur Syakirah akan di gandingkan dengan Zatil Iman dan Shafiq akan digandingkan dengan Johan Jamaludin. Apa pun terpulang kepada jurulatih untuk menentukan gandingan yang mantap bagi memastikan kejayaan Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 10 December 2008

Sukan Universiti Asean ke-14

Malaysia menjadi hos untuk Sukan Universiti Asean ke-14 yang akan berlangsung pada 11-21 Disember 2008. Sebanyak 22 acara sukan dipertandingkan dengan menawarkan 222 pingat. 10 buah negara Asean yang terdiri dari Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Vietnam Brunei, Timor Leste, Laos, Kemboja dan tuan rumah Malaysia akan bertarung menghadapi cabaran sukan ini. Peserta adalah terdiri dari pelajar universiti-universiti negara yang berkenaan dan mereka ini akan diberi pendedahan di peringkat antarabangsa. Semalam Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan sewaktu melakukan pelancaran perkampungan sukan IOI Resort berkata Sukan ini memberi peluang untuk ahli sukan universiti Asean untuk bersama-sama mencabar antara satu sama laian dalam semangat Asean dan semangat itu selaras dengan slogan sukan tersebut " Bersama-sama kita mencapai bintang". Semangat Asean ini harus dipupuk sejak dari awal lagi agar ianya dapat berkembang dengan lebih erat lagi di masa akan datang. Para peserta juga dapat merasakan semangat ini seperti mereka menyertai Sukan Sea.

Malaysia telah menjadi hos buat kali yang ketiga dan tugas selaku Chef de Mission telah di amanahkan kepada Datuk Prof Dr. Alias Mohd Noor yang juga merupakan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran 80 pingat emas pada kejohanan kali ini dan pada Sukan Universiti Asean di Vietnam pada tahun 2006, Malaysia memperoleh 7 emas 19 Perak dan 37 gangsa.

Pasukan Bowling akan memulakan sesi latihan rasmi (official practice) esok dan saya difahamkan hanya 4 buah negara sahaja yang mengambil bahagian bagi acara bowling ini iaitu Singapura, Thailand, Filipina dan Malaysia. 3 orang pemain negara menyertai pasukan universiti ini iaitu Shafiq Redhwan Malik, Mohd Noer dan Zatil Iman. Bowling menawarkan 13 pingat dan acara pertama akan berlangsung pada hari Sabtu ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Ulangtahun yang pertama

Kesibukan tugas telah menyebabkan saya tidak sedar yang blog ini, http://hishambowling.blogspot.com telah mencecah usia 1 tahun. The Spirit of Asian Games adalah merupakan catatan yang pertama saya iaitu pada 24 November 2007, jam 10:26 am. Catatan tersebut adalah bersempena dengan Sukan Sea 2007 di Thailand apabila saya mengungkap kembali semangat yang telah dipamerkan oleh pemain sewaktu di Doha, Qatar dan saya ingin melihat kesinambungan semangat tersebut apabila di Thailand kerana saya telah diberi peluang kali kedua selaku penolong pengurus untuk bersama pasukan tenpin bowling negara.

Ianya satu pengalaman yang menyeronokkan apabila anda mempunyai blog sendiri dan ianya memberi pengertian yang amat mendalam terhadap diri sendiri. Ianya satu kepuasan apabila ilmu atau maklumat yang ada disampaikan kepada mereka yang mungkin tidak sempat untuk mendapatkan sesuatu maklumat tersebut. Untuk menulis, seseorang itu perlu membuat kajian terlebih dahulu serta mendapat maklumat dari sumber-sumber yang sahih dan tepat agar maklumat yang disampai itu nanti tidak di salah tafsir oleh pembaca. Penelitian amat penting bagi memastikan maklumat benar sahaja di sampaikan kepada pembaca.

Saya amat mengalu-alukan pandangan dari pembaca agar kita dapat berkongsi pengalaman dan pandangan-pandangan yang di beri biarlah secara berhemah serta mengikut etika penulisan. Saya amat gembira apabila melihat rakan-rakan yang seangkatan menerokai alam blogging dan merasakan diri ini tidak keseorangan apabila rakan-rakan lain telah mula menulis. Walaupun kadangkala masa begitu terhad, saya akan cuba mencari ruang-ruang yang kosong untuk menulis kerana tidak mahu blog ini terus kesunyian tanpa catatan. Setakat ini saya telah membuat 150 catatan dan yang paling sepi dapat disaksikan pada bulan september 2008 atau bulan ramadhan al-mubarak hanya 1 catatan sahaja dibuat. Bulan Ogos 2008 merupakan bulan yang paling aktif menulis apabila telah membuat 36 catatan. Namun saya akan terus menulis serta memberi pandangan dan ianya tidak terhad kepada sukan bowling sahaja malah akan diselitkan juga berita-berita dari sukan yang lain. Insyaallah pada tahun 2009 ini, saya akan menulis dengan lebih aktif lagi agar berita serta ilmu itu dapat kita kongsi bersama.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tahniah Aseng

Tahniah kepada sahabat saya Saudara Naising Bega dari Miri, Sarawak menjadi rakan blogger melalui blog http://bowlingmiri.blogspot.com. Semoga kehadiran beliau di alam blogging akan memeriahkan lagi ilmu-ilmu serta pandangan yang membina untuk sukan bowling. Semoga apa yang diutarakan akan memberi manfaat kepada semua. Saya juga mengalu-alukan rakan-rakan yang lain agar menerokai dunia blogging agar kita sama-sama dapat bertukar berita yang dapat menambahkan ilmu semua pihak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 7 December 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua rakan-rakan di Malaysia dan serata pelusuk dunia. Juga tidak ketinggalan kepada sanak saudara dan juga rakan-rakan yang sedang mengerjakan ibadah haji yakni rukun islam yang ke-lima. Semoga ibadah mereka diterima Allah S.W.T serta mendapat Haji Mabrur. Di doakan juga agar mereka selamat pulang ke tanahair ke pangkuan keluarga.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Fun Bowling

Pada Jumaat yang lalu saya telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa KBKPj yang ke-5 untuk tahun ini dan beberapa perkara atau agenda telah dibincang secara serius bagi menggerakkan aktiviti Kelab yang berjalan agak perlahan sejak kebelakangan ini. Acara Monthly Medal akan diadakan pada pertengahan bulan Januari 2009 manakala sesi latihan mingguan akan digantikan dengan program baru yang dinamakan Fun Bowling. Hasil perbincangan bersama jawatankuasa, maklumat yang diterima dari ahli-ahli lebih cenderung untuk bermain secara pertandingan . Sesi latihan mingguan yan diperkenalkan dahulu adalah lebih serius ke arah membentuk pemain agar bermain dengan teknik permainan yang betul dan sambutan yang diterima adalah sederhana berbanding dianjurkan Monthly Medal yang mendapat sambutan hampir 2/3 dari jumlah ahli yang mendaftar. Oleh itu Jawatankuasa membuat keputusan agar dimansuhkan sesi latihan mingguan dan digantikan dengan program baru Fun Bowling.

Fun Bowling mempunyai format yang menarik apabila pemain yang membuat 2 strike berturut (double strike) akan di beri hadiah. Begitu juga dengan balingan spare dimana pemain akan diberikan hadiah apabila berjaya membuat spare tiga kali berturut-turut. Secara tidak langsung format ini akan memberi semangat kepada pemain untuk bermain dengan lebih baik. Tunjuk ajar kepada pemain akan turut diberikan dalam program tersebut.

Turut dibincangkan ialah Projek Hayunan Jakarta Bandung 2009 yang mana ianya akan mengikut jadual. Tarikh akhir pendaftaran kepada ahli yang berminat adalah pada 31 Disember 2008. Perlawanan persahabatan bersama pejabat pajak Indonesia akan diuruskan bagi memeriahkan lagi projek ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sentuhan Sorenstam

Malaysia bakal memiliki lapangan golf terbesar apabila ia dibangunkan oleh The Mines Golf City di Bukit Beruntung. Amat beruntung sekali apabila lapangan golf ini direka bentuk oleh Annika Sorenstam, bekas pemain golf wanita nombor satu dunia. Ini merupaka penampilan beliau yang pertama di Asia Tenggara untuk mereka bentuk lapangan golf. Annika yang akan bersara secara rasminya selepas tamat kejohanan Dubai Masters pada 10 Disember ini pernah datang ke Malaysia kali pertama pada Piala Dunia 2000. Lapangan yang berkeluasan 2,100 hektar itu bakal memiliki 63 lubang dan Sorenstam akan mereka bentuk pada 18 lubang yang pertama.

Sorenstam mula bermain golf sejak berusia 12 tahun lagi dan sebelum itu beliau banyak menghabiskan masa dengan bermain tenis. Beliau bergelar profesional pada tahun 1990 dan pernah memenangi 72 Kejohanan rasmi LPGA termasuk 10 kejohanan utama. Semoga pengalaman luas yang beliau miliki akan dimanafaatkan oleh negara kita untuk memajukan lagi sukan golf Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 6 December 2008

Pemilihan Pemain ke Kejohanan Antara Negeri

Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengadakan sesi pemilihan pemain (roll-off) ke Kejohanan antara negeri kebangsaan yang akan berlangsung di Sunway Pyramid pada bulan Januari 2009. Semua pemain program latihan sukan teras dan ahli-ahli persatuan dibawah umur 21 tahun adalah dipelawa untuk menyertai sesi pemilihan ini. Sesi ini akan diadakan pada 14 Januari 2008 jam 8.00 malam di Megalanes, Endah Parade Sri Petaling.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 5 December 2008

Kehilangan buat negara

Ucapan takziah buat keluarga Datuk Ho Koh Chye, Chef de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik di Beijing yang telah meninggal dunia malam kelmarin di Pusat Perubatan Kelana Jaya. Pergorbanan yang beliau taburkan dalam dunia sukan sememangnya tiada tolok banding dan sumbangan tersebut di curahkan sehingga ke saat akhir hayat beliau. Walaupun telah lama meninggalkan dunia bowling, beliau telah banyak melibatkan diri dalam sukan secara umumnya. Diatas komitmen tersebut beliau telah di amanahkan untuk memimpin kontinjen kebangsaan ke Sukan Sea di Ho Chi Minh di Vietnam dan terbaru Sukan Olimpik di Beijing. Semoga jasa beliau terus dikenang di dalam sejarah sukan negara.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 3 December 2008

Latihan Sukan Teras

Sesi latihan Sukan Teras untuk tahun 2008 telah pun berakhir pada hari Ahad yang lalu. Belum dapat di pastikan bilakah tarikh penilaian serta pemilihan semula pemain untuk tahun 2009 akan di mulakan. Pemain akan berehat selama sekurang-kurangnya 1 bulan dan mereka perlu membuat penilaian sendiri sejauhmanakah pencapaian mereka untuk tahun 2008. Sekiranya berehat tanpa berbuat apa-apa, maka ia akan merugikan pemain itu sendiri. Mereka ini perlu merenung kembali dari aspek manakah perlu di perbaiki dan bagaimana serta apakah strategi yang perlu mereka lakukan untuk menjadi pemain yang cemerlang pada tahun hadapan. Dari pemerhatian yang di lakukan, saya tidak nampak ada di kalangan pemain yang mengambil serious tentang latihan walaupun pada zahirnya ia seperti serious. Tidak dinafikan ada diantaranya yang cuba melakukan sesuatu serta ingin belajar untuk mencapai kejayaan dan ada beberapa pemain yang bersungguh-sungguh semasa berlatih tetapi kurang untuk mengkaji sendiri dalam beberapa aspek.

Ramai diantara pemain yang datang berlatih, atau sekadar berlatih dan selepas itu packing dan pulang. Keesokan harinya mereka datang dan berlatih semula seperti biasa tanpa melihat atau mengkaji kelemahan yang di lakukan kelmarin. Maka kesilapan demi kesilapan di lakukan kerana mereka tidak mengkaji sendiri di mana kesilapan mereka. Berkali-kali saya menerangkan serta menyarankan agar setiap pemain menulis journal sendiri atau dalam erti kata yang lain, memiliki sebuah buku nota dan menulis setiap kali apabila selesai latihan. Perkara di ajar dalam aspek Psikologi di mana pemain perlu meluah apa jua perasaan atau apa jua kelemahan atau apa jua kejayaan pada setiap kali latihan atau kejohanan. Sebagai contoh, apabila selesai latihan mereka perlu menulis apa jua kelemahan yang telah dilakukan dan bagaimana perlu di perbaiki. Ia juga boleh menulis apa yang di sarankan oleh jurulatih untuk memperbaiki kesilapan tersebut. Sebelum pemain memulakan latihan keesokan harinya, mereka buka semula buku tersebut dan lihat apa kelemahan yang di lakukan semalam. Dengan ini mereka dapat memperbaiki kesilapan yang lalu dengan tidak mengulanginya. Apa yang di amalkan sekarang, pemain bermain seperti biasa pada keesokan harinya tanpa mengkaji atau melihat kesilapan yang mereka lakukan kelmarin. Apabila mereka menulis akan menguatkan lagi ingatan mereka tentang apa yang dilakukan.

Tanggungjawab tersebut bukan pada pemain sahaja, malah jurulatih juga perlu mengkaji serta membuat penilaian tentang prestasi pemain serta sejauhmana pencapaian jurulatih tersebut. Saya sendiri dalam proses mengumpul data pemain yang menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan (8 pusingan) dan GP Final di Kuantan pada bulan Ogos yang lalu. Melalui data-data tersebut akan dinilai jumlah purata (average) pemain dan akan dijadikan ukuran dengan prestasi mereka pada tahun hadapan. Mereka dapat melihat turun dan naiknya prestasi pada setiap kejohanan. Saya tidak mengambil data sewaktu latihan serta roll-off di Endah Parade kerana pemain bermain dalam keadaan yang tidak tertekan dan jumlah jatuhan pin adalah tinggi sewaktu di latihan dan ianya sukar untuk di jadikan ukuran. Jurulatih juga perlu memiliki sebuah buku bagi menilai aspek pemain dan juga kejurulatihan.

Mulai tahun hadapan saya akan melakukan perubahan dan pembahagian tugas antara jurulatih akan di buat bagi memantapkan pasukan. Aspek Psikologi akan dititikberatkan kepada semua pemain kerana di sepanjang tahun 2008, kelemahan dari aspek ini amat ketara sekali terutama ketika kejohanan yang besar seperti SUKMA di Terengganu. Insyallah kita akan melakukan beberapa perubahan pada tahun 2009 bagi memantapkan lagi pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Tuesday, 2 December 2008

Tahniah KDRM

Tahniah di ucapkan kepada skuad Bowling KDRM yang bertanding pada Pesta Sukan Kewangan yang berakhir pada hari Ahad yang lalu kerana berjaya menempatkan diri di tempat yang kedua. KWSP di nobatkan selaku juara untuk kejohanan Tenpin Bowling dan sememanganya KWSP sukar untuk digugat sejak 7 tahun yang lalu. Tahniah buat Saudara Nadzri Che Ani yang menerajui pasukan buat pertama kalinya. Saya agak terkilan kerana tidak dapat membantu persiapan pasukan kerana terikat dengan tugasan rasmi yang agak ketat. Namun saya berharap agar dapat membantu pasukan pada Pesta Sukan pada tahun hadapan. Insyallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.