Sunday, 21 December 2008

36th Penang Pesta International Open

Zulmazran dan Sharon Koh masing-masing menjuarai kategori Lelaki dan Wanita pada Pesta Penang International Championship yang berakhir semalam. Zulmazran membawa pulang hadiah sebanyak RM10,000.00 manakala Sharon Koh mengutip sebanyak RM8,000.00. Ini merupakan kejuaraan antarabangsa yang kedua buat Zul pada tahun ini selepas menjuarai Terbuka Malaysia pada awal tahun ini. Zul dan Sharon pernah memenangi kejohanan antarabangsa bersama pada tahun lepas iaitu di kejohanan Terbuka Antarabangsa Taiwan.

Syabas buat Persatuan Tenpin Bowling Pulau Pinang yang telah menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya dan telah menganjurkan secara konsisten sejak 36 tahun yang lalu. Pulau Pinang merupakan negeri yang telah melahirkan bakat-bakat dalam bowling seperti Aaron Kong, Adrian Ang, Esther Cheah dan lain-lain lagi.

Bagi Sharon Koh, ini merupakan kejayaan kedua setelah beliau berjaya menjadi juara Chinese Taipei International Open pada bulan Oktober yang lalu. Cabaran beliau masih belum selesai dan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadapi saingan di 9th Milo International Junior All-Stars yang berlangsung pada 19 hingga 28 Disember di Megalanes, Sunway Pyramid.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Saturday, 20 December 2008

Sasaran Tercapai

Syabas kepada kontinjen Malaysia dan seluruh pasukan yang beraksi pada Sukan Universiti Asean kerana berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas. Setakat malam ini Kontinjen Malaysia berjaya mengutip 90 emas 78 perak 47 gangsa. Ianya memberi kelegaan kepada Chef de mission Datuk Prof Dr. Alias Mohd Noor kerana berbaki 2 hari sahaja lagi Kontinjen Malaysia telah berjaya melepasi sasaran. Acara renang muncul sebagai penyumbang terbanyak pingat emas iaitu 23 pingat diikuti menembak yang menyumbangkan 13 pingat emas. Olahraga pula menyumbangkan 9 pingat emas. Masih ada beberapa acara lagi yang mampu untuk menyumbangkan kilauan emas buat negara dan harapan untuk mencapai ke angka 100 agak cerah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Selamat Pengantin Baru buat Noor Hafidzah

Saya ingin mengucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada Noor Hafidzah Binti Hj. Bakar yang akan melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya Noorazman Bin Hj. Sudin pada 20 Disember 2008. Majlis perkahwinan diadakan di rumah keluarganya di Taman Air Molek, Melaka. Saudari Noor Hafidzah adalah merupakan ahli Kelab Bowling Kastam Putrajaya dan beliau adalah ahli yang aktif dan tidak ketinggalan pada setiap program kelab terutamanya sesi latihan mingguan yang diadakan tidak lama dulu. Saya mendoakan kebahagian rumahtangga buat Hadfizah dan suami hingga ke anak cucu.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 19 December 2008

Sebutir pingat emas di penghujung

Acara tenpin bowling Sukan Universiti Asean yang berlangsung sejak jumaat yang lalu berakhir semalam dengan menyaksikan Singapura menguasai keseluruhan dengan 6 emas 3 perak dan 3 gangsa. Thailand berada ditempat kedua dengan pungutan 5 emas 3 perak 4 gangsa. Malaysia hanya mampu berada di tempat ketiga dengan 2 emas 7 perak 6 gangsa. Zatil Iman menutup tirai pungutan emas Malaysia apabila beliau memenangi acara Master's Women. Acara Master's Men pula dimenangi oleh Sithiphol Kunaksorn dari Thailand. Zatil Iman gagal untuk memunggut satu lagi pingat emas menerusi acara All-event di mana beliau mendapat pingat perak. Pingat emas dimenangi oleh Cherie Tan dari Singapura. Sithiphol dari Tahiland sekali lagi naik ke podium untuk pingat emas kedua beliau di hari terakhir bagi acara Men's All-event.

Apa pun tahniah buat Shafiq dan Zatil kerana mengutip pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean pada kali ini. Jika dilihat dari pungutan, Malaysia mempunyai banyak peluang dan berakhir dengan pingat perak. Jumlah pungutan pingat yang tidak memberangsangkan ini perlu menjadi perhatian pengurusan pasukan bowling Malaysia. Ditambah dengan kehadiran hanya 3 pasukan sahaja yang menyertai acara ini (tidak termasuk tuan rumah), ianya dianggap dibawah pencapaian yang sebenar. Namun jurulatih pasukan mempunyai alasan yang tersendiri mengapa skuad kali ini gagal menyengat walaupun di hari pertama ia kelihatan seperti bakal menguasai kejohanan. Pingat emas pertama yang dikutip oleh Shafiq di hari pertama diibarat sebagai amaran awal kepada semua pasukan yang lain bahawa Malaysia bakal mengegarkan arena bowling Sunway. Semangat pasukan yang membara itu tidak berpanjangan dan Malaysia gagal untuk mengutip pingat emas sehingga ke hari terakhir apabila Zatil Iman menjuarai acara Master's.

Saya berharap agar lebih banyak negara akan menyertai acara tenpin bowling pada temasya sukan yang akan datang. Kita tidak dapat menyaksikan kemeriahan acara sukan tersebut dengan hanya empat pasukan. Penganjur perlu menetapkan bilangan minimum pasukan samada ianya perlu diteruskan atau tidak. Jika sekadar 2 pasukan bermain untuk sesuatu acara, sebagai contohnya silat, maka ianya tidak memberi saingan yang sebenar. Oleh itu perlu di wujudkan bilangan minimum pasukan untuk sesuatu acara itu sebelum ianya di pertandingkan.

Kepada pasukan Malaysia, syabas di atas usaha dan keringat yang telah dilakukan dan cuba lagi di masa atau di temasya yang akan datang.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 17 December 2008

Kemarau Kilauan Emas

Apa dah jadi kepada pasukan bowling Malaysia yang sedang beraksi di Sukan Universiti Asean setelah Shafiq Ridhwan mendapat emas pertama hingga ke hari ini kilauan emas kedua masih belum menjelma. Pasukan Malaysia kempunan emas lagi pada hari ini apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita gagal mendapat emas bagi acara berpasukan. Pasukan lelaki sekadar mendapat pingat gangsa manakala pasukan wanita mendapat pingat perak. Pingat emas pasukan lelaki dimenangi oleh pasukan dari Thailand dan pingat emas pasukan wanita dimenangi oleh Singapura.

Saya di fahamkan sasaran adalah 4 pingat emas dan acara masih berbaki 4 acara lagi iaitu Men's & Women's Masters dan Men's & Women's All Event. Mampukah pasukan negara menyapu kesemua pingat yang ada untuk mencapai sasaran. Segalanya mungkin berlaku dan kesungguhan pemain menjadi penentu samada ianya dapat dilakukan atau tidak.

Kedudukan pingat setakat ini menyaksikan Singapura masih berada diatas selaku pendahulu dengan 5 emas 3 perak dan 1 gangsa dan diikuti Thailand 3 emas 2 perak 3 gangsa. Malaysia berada di tangga ketiga dengan 1 emas 4 perak dan 5 gangsa. Filipina satu-satunya negara yang masih belum memiliki sebarang pingat di dalam acara tenpin bowling ini.

Malaysia berada di tangga teratas bagi pungutan pingat untuk kesemua acara yang dipertandingkan dengan 32 emas 30 perak 26 gangsa diikuti Vietnam 23 emas 17 perak 9 gangsa dan tempat ketiga Indonesia 12 emas 21 perak 18 gangsa. Masih jauh lagi perjalanan kerana Kontinjen Malaysia mensasarkan 80 pingat emas pada temasya kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tahniah Shalin

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ratu Bowling Negara, Shalin Zulkifli kerana telah di anugerahkan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) sempena ulangtahun Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhun Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang ke-63. Semoga dengan penganugerahan ini memberi dorongan serta semangat yang lebih kental buat Shalin dalam mengharungi cabaran yang mendatang setelah bergelar pemain profesional. Harapan juga agar banyak kejayaan-kejayaan di peringkat antarabangsa dikecapi demi untuk menyemarakkan lagi semangat Malaysia Boleh.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tahniah Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim


Malam tadi telah berlangsungnya Malam Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2007 di Nirwana Ballroom, Crowne Plaza Hotel Kuala Lumpur. Sekalung tahniah diucapkan kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim, Presiden Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan kerana memenangi Anugerah Khas diatas sumbangan beliau di dalam bidang sukan sejak awal tahun 1980an. Wendy Chai, pemain dari Kuala Lumpur yang kini bersama pasukan elit Malaysia turut menjadi calon untuk Anugerah Olahragawati. Namun Anugerah tersebut telah dimenangi oleh Yamini a/p Gopalasamy dari sukan Karate. manakala Olahragawan dimenangi oleh Yeoh Ken Nee dari sukan Akuatik-Terjun. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dato Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 16 December 2008

Sesi Pemilihan Pemain ke Kejohanan Antara Negeri

Pada hari Ahad yang seramai 40 pemain telah hadir di Megalanes, Endah Parade untuk menjalani sesi pemilihan mewakili Kuala Lumpur ke Kejohanan Antara Negeri yang di jadualkan akan berlangsung pada bulan Januari 2009.

Berikut adalah yang terpilih bagi kategori Boy's and Girl's:

Boy's
  1. Qusyairi Roslan
  2. Faliq Aimran
  3. Yusof Abd Raof
  4. Muhd Firdaus Idris

Girl's
  1. Nur Diana Husin
  2. Nur Shamira
  3. Nur Shahira
  4. Nastasya Adam
Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 15 December 2008

Terlepas lagi

Pasukan Malaysia yang memerlukan pingat emas kedua, gagal sekali lagi apabila pasangan campuran Muhd Zaim dan Zatil Iman hanya mampu meraih pingat gangsa semalam. Pasangan Shafiq dan Shakirah pula menduduki tempat yang ke 6. Pasangan dari Singapura memenangi pingat emas dan perak melalui Kristel Oh dan Jamie Liew serta Geraldine Ng dan Lionel Lim. emas.

Singapura mendahului senarai pingat bagi acara tenpin bowling dengan 3 emas dan 1 perak, diikuti Malaysia dengan 1 emas 2 perak dan 4 gangsa. Tempat ketiga pula adalah Thailand dengan 1 emas 2 perak dan 1 gangsa.

Esok acara Men's and Women's Trio akan bermula. Pasukan Malaysia masih lagi menaruh harapan untuk mengutip pingat emas. Mereka akan bermain 2 blok dalam 2 keadaan lorong yang berbeza iaitu Long Oil dan Short oil. Pasukan harus mengutip pingat emas bagi kedua-dua acara ini kerana akan dapat memberi semangat kepada pemain untuk acara yang seterusnya. Disamping itu untuk membantu pasukan negara mencapai sasaran pingat seperti yang di impikan oleh Chef-de-mission.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 14 December 2008

Pingat Perak buat kedua-dua pasangan Malaysia

Sufri Hasan dan Tan Teck Jin serta Nur Syakirah dan Zatil Iman masing-masing mendapat pingat perak pada acara beregu lelaki dan wanita tenpin bowling di Sukan Universiti Asean petang tadi. Pingat emas beregu lelaki dimenangi oleh pemain dari Thailand iaitu Somjed dan Sithiphol manakala pingat emas wanita dimenangi oleh pasangan dari Singapura, Cherie Tan dan Geraldine Ng. Pemain harapan Shafiq Ridhwan yang memenangi pingat emas perseorangan hanya sekadar menduduki tempat ke empat apabila beliau digandingkan dengan Muhd Zaim.

Setakat ini Singapura mendahului pungutan pingat bagi acara tenpin bowling dengan 2 emas manakala Malaysia di tempat kedua dengan 1 emas 2 perak dan 3 gangsa. Esok acara mixed doubles akan berlangsung dan sama-sama kita nantikan peluang pemain Malaysia untuk merebut pingat emas. Pada pandangan saya sekiranya Shafiq digandingkan dengan Zatil Iman, Malaysia mempunyai peluang yang agak cerah untuk mendapat pingat emas. Walau apapun kita saksikan esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 13 December 2008

Sesi Pemilihan Remaja Kebangsaan

Kongres Tenpin Bowling Malaysia akan mengadakan sesi pemilihan pemain untuk mewakili skuad Remaja Kebangsaan 2009(National Youth). Sesi pemilihan akan diadakan sebanyak 8 pusingan iaitu sebanyak 48 games kesemuanya. Empat pusingan pertama akan diadakan pada 29 Disember dan 30Disember di Megalanes, Sunway Pyramid dan baki 4 pusingan lagi akan diadakan pada 31 Disember dan 1 Januari 2009 di Megalanes, Endah Parade. Kelayakan untuk terpilih adalah purata jatuhan pin sebanyak 185 untuk wanita dan 195 untuk lelaki.

Banyak faedah yang akan dinikmati oleh pemain sekiranya terpilih mewakili skuad Remaja Kebangsaan diantaranya ialah kemudakan latihan selama 5 hari seminggu dibawah kendalian jurulatih kebangsaan, Pakaian sukan, Peralatan Sukan, Elaun, serta menyertai negara kejohanan antarabangsa (terpilih).

Beberapa pemain telahpun diserapkan ke skuad remaja kebangsaan berdasarkan kepada pencapaian pemain untuk tahun 2009. Diantaranya Muhd Amsyar dan Cheryl Cheong selaku Johan GP Final 2008 dan beberapa pemain lagi. Diharap lebih ramai pemain Kuala Lumpur akan mencuba nasib pada pemilihan kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.