Monday, 25 May 2009

Penolong Setiausaha Kehormat MOM

Di sini ingin memaklumkan bahawa saya telah dicalonkan oleh Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) untuk bertanding bagi jawatan Penolong Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan yang akan diadakan pada 30 Mei 2009 di Wisma MOM.

Saya juga telah memutuskan untuk bersedia bertanding bagi merebut jawatan tersebut dan akan saya maklumkan kemudian sebab-sebab saya bertanding. Insyallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 15 May 2009

Squash ke Olimpik?

Pagi tadi saya telah menghantar ucapan tahniah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Dato' A.Sani Karim diatas usaha-usaha yang beliau lakukan bagi memastikan Sukan Squash dimasukkan didalam acara di Sukan Olimpik 2016. Saya telah dihubungi oleh Dato' A. Sani petang tadi bagi mengucapkan terima kasih atas ucapan yang dikirimkan dan beliau memaklumkan ianya sebahagian dari usaha gigih seluruh pasukan dalam Squash bagi memastikan ia berjaya di pentas dunia.

Saya dimaklumkan Dato' A. Sani Karim kini memegang jawatan Presiden, Asian Squash Federation sejak Januari 2009 dan akan memegang jawatan tersebut untuk tempoh 4 tahun. Beliau masih memegang jawatan Presiden, Squash Racket Association Malaysia pada ketika ini dan sudah pasti beban yang dipikul adalah berat untuk memastikan sukan squash asia berada dibarisan hadapan. Ianya merupakan penghormatan buat Malaysia dan saya yakin dengan kepimpinan Dato A. Sani Karim yang memimpin SRAM sejak 2004 telah membawa banyak kejayaan dalam dunia squash hingga melahirkan pemain wanita nombor 1 dunia.

SRAM akan menganjurkan beberapa aktiviti dan promosi menjelang pemilihan acara sukan ke Olimpik 2016. Saya mengucapkan syabas dan semoga sukan squash akan dipertandingkan di Olimpik 2016, Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 9 May 2009

Hari Wesak

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak kepada semua rakan-rakan yang beragama Buddha, baik di Malaysia atau dimana jua di seluruh pelusok dunia. Semoga melalui perayaan ini akan mengikat persahabatan muhibbah antara kaum di Malaysia. Kebetulan Hari Wesak jatuh pada hari Sabtu yang mana tiada cuti gantian untuk hari perayaan ini.

Mohd Hihsm Mohd Nor.

Wednesday, 6 May 2009

Sukan Wilayah Persekutuan Ke-2

Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sukan Wilayah Persekutuan ke-2 (SWiP) pada bulan Jun ini. Sukan ini di adakan setiap 2 tahun sekali dan kali pertama dianjurkan pada tahun 2007. Tujuan serta matlamat sukan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain di Wilayah Persekutuan untuk bertanding di dalam satu kejohanan yang besar dimana lebih daripada 20 acara akan dipertandingkan. Ianya juga menggabungkan 3 wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Disamping itu juga ia dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan pemain di Wilayah Persekutuan.

Acara Tenpin Bowling tidak ketinggalan di dalam sukan ini dan ianya akan berlangsung pada 10 - 13 Jun 2009. Sebanyak 18 pasukan akan mengambil bahagian iaitu pemain Kuala Lumpur yang kini mewakili Remaja Kebangsaan, Program USPTN MSN, Program Pembangunan USPTN MSWP, Megalanes Junior dan pasukan dari Labuan.

Program yang saya kendalikan iaitu Program Pembangunan USPTN MSWP akan menghantar 2 pasukan lelaki dan 2 pasukan wanita. Saya berharap sukan ini nanti akan berjalan dengan penuh semangat kesukanan dan prestasi yang ditunjukkan pemain adalah lebih baik dari Sukan Wilayah yang lalu serta pemain dapat memecahkan beberapa rekod kejohanan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 3 May 2009

Tahniah buat Siti Safiyah

Tahniah di atas kejayaan yang besar buat Siti Safiyah setelah berjaya menjadi Juara Wanita pada Kejohanan Bowling Ranking Masters Dunia di Naples, Itali. Beliau mengatasi pemain dari Jerman, Tina Hutch dengan jatuhan pin 215-199, 175-166.

Dengan kemenangan tersebut, beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000.00 (RM36,000.00). Semoga dengan kejayaan besar tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk mengharungi kejohanan-kejohanan yang lain pada tahun ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 25 April 2009

JTi Walk A Hunt 2009




Pagi tadi saya bersama rakan-rakan iaitu Haizam dan Razif telah berkesempatan untuk menyertai JTi Walk A Hunt 2009 yang diadakan di Le Meridien, KL Sentral. Ramai rakan-rakan dari agensi lain seperti Bomba, Agensi Atom, MITI, MIDA dan Polis turut serta menjayakan aktiviti ini. Ianya merupakan kali kedua aktiviti ini diadakan dan jika anda semua ingat, saya ada melaporkan aktiviti ini pada 5 April 2008 yang mana ianya diadakan di KLCC.

Kali ini ianya berbeza sedikit di mana para peserta bersarapan seawal jam 7.30 pagi di Le Meridien dan mula bergerak dengan menaiki LRT KL Sentral menuju ke stesen Masjid Jamek. Starting Point bermula di OCBC Stesen Masjid Jamek dan para peserta berjalan sehingga ke Mid Point iaitu di Stesen Monorail Medan Tuanku yang bersebelahan dengan Hotel Sheraton. Dari sana peserta dibekalkan dengan soalan pusingan kedua dan berjalan sehingga ke Stesen LRT Masjid Jamek melalui sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari jawapan. Keseluruhannya mengambil masa 3 jam dan perlu sampai semula ke Le Meridien pada atau sebelum 12.15 tgh.

Secara keseluruhannya saya bersama ahli pasukan yang terdiri dari Haizam dan Razif merasakan cabaran yang amat hebat pada tahun ini kerana soalan yang dikemukakan amat mengelirukan dan kami terpaksa mengambil masa yang agak lama. Perjalanan agak jauh dan sangat letih. Saya merasakan ianya sangat letih dari bermain golf 9 lubang dengan berjalan kaki. Namun segalanya dapat diatasi dengan kerjasama dan semangat berpasukan dikalangan kami semua. Soalan yang dikemukakan pada tahun lalu agak mudah dan mengambil masa yang singkat untuk dihabiskan. Namun ini yang dinamakan cabaran dan ianya menguji ketahan mental dan fizikal.

Diakhir pertandingan semuanya menikmati jamuan makan tengahhari di Le Meridien. Tiada satu pun pasukan dari KDRM yang menduduki 3 tempat teratas. Namun masing-masing telah menanamkan azam untuk mencuba lagi di tahun akan datang. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Thursday, 23 April 2009

Sukan Wilayah Persekutuan

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sukan Wilayah Persekutuan (SWiP) pada bulan Jun ini. Beberapa sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma 2010 dijangka akan dipertandingkan pada SWiP nanti. Ini merupakan kali kedua SWiP dianjurkan dan kali pertama adalah pada tahun 2007.

Acara Tenpin Bowling tidak ketinggalan dalam Sukan SWiP pada kali ini dan ianya bakal akan dilangsungkan pada 10-13 Jun di Megalanes Endah Parade. Sebanyak lebih 15 pasukan akan bertanding pada pertandingan kali ini dan ianya terdiri dari pasukan Remaja Kebangsaan yang terdiri dari pemain asal Kuala Lumpur, pemain program sukan prestasi tinggi MSN dan MSWP serta pemain dari program Megalanes Kuala Lumpur. Pasukan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah mengesahkan untuk turut serta pada kejohanan kali ini.

Saya juga turut mempersiapkan 2 pasukan lelaki dan 1 pasukan wanita dari program sukan prestasi tinggi Wilayah Persekutuan. SWiP adalah merupakan landasan bagi menyaksikan serta menilai tahap prestasi pemain sebelum mereka terpilih untuk menyertai sesi latihan Sukma 2010. Secara peribadi saya merasakan prestasi pemain Wilayah Persekutuan semakin matang dan mereka semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan. Ini adalah kerana banyak pendedahan yang telah diberikan kepada pemain termasuk menyertai kejohanan yang bertaraf kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 2 April 2009

Sesi Latihan USPTN

Malam tadi saya memulakan sesi latihan yang pertama bagi pelatih-pelatih Sukan Prestasi Tinggi Negeri (dahulunya dikenali sebagai Sukan Teras). Saya rasa bersyukur kerana pada kali ini saya mengendalikan pelatih-pelatih di dalam kumpulan yang lebih kecil dari sebelumnya. Seramai 10 orang pelatih dari 12 orang kesemuanya telah melaporkan diri semalam di Pusat Latihan di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade.

Sesi dimulakan dengan sesi pengenalan para pelatih yang mana ianya adalah gabungan pemain baru dan lama. Ada diantaranya pernah mendapat bimbingan dari saya sewaktu mereka di dalam program Sukan Teras bawah 12 tahun dan mereka ialah Atiq Bazil, Siti Zulaikha dan Amirul Radzi.

Program ini tidak berbeza dengan program AA dan AAA yang telah bermula pada bulan Mac. Kedua-duanya dikendalikan secara bersama oleh KLTBA dan MSWP dan yang bezanya program yang dikendalikan oleh saya dibiayai oleh MSWP dan AA dan AAA dibiayai oleh MSN. Sesi latihan ini diadakan 2 kali seminggu iaitu pada hari Rabu jam 8.00 malam dan Ahad 6.00 petang. Program ini akan berjalan sehingga bulan November 2009.

Modul dan corak latihan adalah sama dan mengikut kehendak atau ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara dan yang bezanya adalah pendekatan yang akan saya ketengahkan pada musim ini. Saya cuba membuat beberapa perubahan dan ianya perlu dilakukan pada peringkat awal ini bagi mendisiplinkan para pelatih. Jika dulu tumpuan hanya pada skill pemain tetapi kini saya cuba memberi pendedahan kepada pemain dalam aspek persediaan mental. Saya akan cuba memberi input serta teknik ketahanan mental kepada pemain pada musim ini dan diharap dengan gabungan skill, teknik serta mental, para pelatih akan lebih bersedia menghadapi sebarang kejohanan.

Perbincangan dengan ibu-bapa turut diadakan semalam bagi mendapat maklumbalas berhung dengan program ini dan saya turut menjelaskan tentang modul yang akan saya ketengahkan dan rata-rata memberi sokongan. Saya berharap agar sokongan dari ibu-bapa serta pelatih-pelatih akan memberi satu suntikan baru kepada saya untuk bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan kecemerlangan pemain. Saya juga menasihat pemain agar memanafaatkan tempoh 6 bulan ini untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya nanti kan dapat mengembirakan semua pihak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 29 March 2009

Unit Sukan Prestasi Tinggi Wilayah Persekutuan

Baru-baru ini, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) telah pun meluluskan peruntukan untuk menambah program latihan tenpin bowling seramai 12 orang untuk kategori A dan AA. Tapisan untuk memilih pemain sedang dilakukan dan beberapa nama telah pun dikemukakan kepada MSWP untuk kelulusan. Insyaallah sekiranya tiada halangan, pemain-pemain ini akan memulakan latihan pada 2 April ini (Khamis) dan venue bagi sesi latihan adalah di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade, Sri Petaling.

Sesi latihan ini akan dikendalikan oleh saya sendiri dan modul untuk sesi latihan berada pada fasa terakhir untuk disiapkan. Pada kali ini saya akan lebih menumpukan pada kemahiran pemain dan juga ketahanan mental bagi memastikan pemain bersedia menghadapi sebarang cabaran. Kebanyakkan pemain pada kali ini adalah gandingan pemain baru dan lama dan purata umur pemain adalah diantara 11 hingga 15 tahun.

Sebelum ini program latihan Unit Sukan Prestasi Tinggi Majlis Sukan Negara telahpun memulakan latihan pada bulan Mac dan seramai 38 orang pemain telah terpilih masing-masing kategori AA dan AAA. Bagi katgori AA, pemain dibimbing oleh Saudara Y.K. Choo manakala AAA dibimbing oleh Dzulkarnain Sapian.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 28 March 2009

Kejohanan Bowling Jemputan KBKPj






Pagi tadi telah berlangsungnya Kejohanan Jemputan Kelab Bowling Kastam Putrajaya di Ampang Superbowl, IOI Mall, Puchong. Seramai 40 orang ahli kelab dan 8 pasukan jemputan telah mengambil bahagian serta memberi sokong kepada program ini. Kejohanan in telah dirancang beberapa ketika dahulu tetapi tertangguh atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya bersyukur ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berakhir dengan jayanya. 3 kategori dipertandingkan iaitu individu lelaki dan wanita (ahli kelab) dan jemputan. Saya beserta Nazri Che Ani dan Hamidah bertanding sebagai pasukan Trio jemputan manakala ahli jawatankuasa yang lain bertanding dalam kategori individu.

Juara bagi kategori Individu lelaki adalah Saudara Sobri dari pencegahan dan kategori Individu wanita ialah Rosmanorazlia dari Cukai Dalaman. Pasukan jemputan pula dimenangi oleh pasukan dari Telekom Malaysia TM. Hadiah bagi kategori Individu lelaki telah disampaikan oleh Saudara Nazri Che Ani, Timbalan Presiden KBKPj dan Saudari Hanizah Zainal, Setiausaha Kelab telah menyampaikan hadiah untuk kategori wanita. Hadiah bagi kategori jemputan telah disampaikan oleh saya sendiri.

Insyaallah, jawatankuasa akan bersidang pada Isnin ini untuk melakukan post-mortem bagi mengenal pasti beberapa kelemahan serta penambahbaikan. Saya akan mengumumkan satu lagi projek besar KBKPj dalam masa terdekat ini dan beberapa siri perbincangan telah pun diadakan untuk menjayakannya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 26 March 2009

Lama Menyepi

Sudah agak sekian lama saya menyepi dari menulis terutama di dalam blog ini. Saya agak sibuk beberapa ketika ini sehingga menghadkan waktu saya untuk menulis blog serta memberi pandangan berhibung dengan sukan terutama di peringkat kebangsaan. 2 minggu kebelakangan saya sibuk menguruskan perjalanan pemain luar negara yang menyertai 32nd Canon Malaysian International Open 2009 yang berlangsung di Megalanes Sunway, Petaling Jaya. Ianya merupakan acara tahunan anjuran Kongress Tenpin Bowling Malaysia. Ramai pemain-pemain profesional dari Amerika Syarikat telah mengambil bahagian dan ini telah memeriahkan lagi kejohanan tersebut. Diantara pemain tersebut Bill Hoffman, Lucas Wiseman, Cassidy, Linda Barnes, Carolyn Ballad yang sebelum ini saya hanya mengenali melalui kaca TV. Pemain-pemain Thailand, Singapura, UAE, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, India juga tidak ketinggalan menyertai kejohanan pada kali ini.

Projek seterusnya adalah kejohanan bowling jemputan Kelab Bowling Kastam Putrajaya yang akan diadakan pada 28 Mac 2009. Diharap ahli-ahli kelab sama-sama memeriahkan lagi kejohanan pada kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.