Saya mendoakan semoga mereka berjaya ke peringkat separuh akhir. Insyaallah.
Mohd Hisham Mohd Nor.
Walau apapun, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Bowling JKDM ke Sukan Kewangan kerana menduduki tempat kedua di kejohanan bowling Pesta Sukan Kewangan yang berlangsung di ARL Powerbowl, Alamanda.
Pasukan JKDM dibawah pimpinan Saudara Nadzri Che Ani sekali lagi gagal mengekang penguasaan KWSP yang rata-rata dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman seperti Rosli Malek, Amir, Yusri dan beberapa pemain yang aktif dalam sukan tenpin bowling sejak tahun 2000 lagi.
Pada satu ketika LHDN merupakan saingan buat KWSP dan dua pasukan ini sering berentap merebut tempat pertama. Namun apa yang dilihat, pasukan LHDN agak merudum sejak kebelakangan ini dan mungkin disebabkan ketandusan pemain-pemain senior di dalam pasukan mereka.
Namun begitu, tempat kedua adalah merupakan pencapaian yang terbaik dan sewaktu saya memimpin pasukan pada tahun 2002, JKDM mendapat tempat kedua dibelakang KWSP dengan perbezaan hanya 50 pin. Apa pun cuba lagi ditahun hadapan, moga-moga mendapat kejuaraan sulung buat JKDM.
Mohd Hisham Mohd Nor.
Sekalung tahniah buat Siti Nurzulaikha Ismail kerana menerima bantuan RM1000 dari SportExcel diatas kecemerlangan yang telah dipamerkan sepanjang penglibatan beliau dalam sukan tenpin bowling. Bantuan atau geran tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar pada hari Selasa yang lalu. Siti yang baru berusia 11 tahun telah mengecapi banyak kejuaraan tempatan dan merupakan harapan negara pada masa depan.
Saya secara peribadi amat berbangga dengan pencapaian tersebut kerana pernah melatih Siti ketika berusia 8 tahun apabila beliau mengikuti program Sukan Teras bawah 12 tahun pada tahun 2006. Pada tahun ini saya berpeluang untuk melatih beliau semula di dalam program pembangunan remaja tajaan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Beliau mempunyai perjalanan yang jauh lagi serta mampu menjadi permata bowling negara pada satu hari nanti. Banyak aspek yang perlu dipelajari dan pengalaman yang perlu ditimba oleh Siti untuk menggapai kecemerlangan dan sukan bowling.
Mohd Hisham Mohd Nor


KBKPj mengalu-alukan kunjungan Pasukan Bowling PKN Terengganu ke Putrajaya pada 30 Oktober yang lalu. Sehubungan dengan itu satu perlawanan persahabatan telah diadakan pada 30 Oktober 2009 bertempat di ARL Powerbowl, Alamanda. Turut memeriahkan pertandingan ialah Y.Bhg. Dato' Hassan Ibrahim, Penasihat KBKPj, Y.Bhg. Dato' Azis Yacub, Presiden Kehormat KBKPj yang juga PKN Terengganu serta Datin Rosaini, Penasihat KBKPj.Insyaallah pada 30 Oktober 2009 (Jumaat) ini akan berlangsung perlawanan Persahabatan KBKPj vs. Pasukan PKN Terengganu. Ianya merupakan kunjungan balas pasukan PKN Terengganu ke Putrajaya selepas KBKPj melakukakan lawatan ke Terengganu pada bulan Ogos yang lalu.
Persiapan bagi menyambut tetamu telah dibuat sejak awal bulan Oktober dan kini KBKPj telah bersedia untuk menerima kunjungan Pasukan PKN Terengganu.
Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa KBKPj yang telah bertungkus lumus bagi memastikan perlawanan persahabatan ini menjadi kenyataan.
Mohd Hisham Mohd Nor.
Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara diatas pemilihan beliau sebagai Chef-de-mission ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou. Keputusan tersebut telah diumumkankan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) kelmarin.
Dengan pemilihan tersebut, beliau telah mengambil tindakan pantas dan proaktif dengan mengarahkan persatuan sukan kebangsaan untuk menamakan pengurus pasukan masing-masing selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Sasaran beliau adalah mengatasi pencapaian Sukan Asia di Doha, Qatar pada tahun 2006. Pada ketika itu saya turut bersama kontijen bowling selaku Penolong Pengurus pasukan tenpin bowling dan berjaya meraih 3 pingat emas selaku penyumbang terbesar untuk pingat negara. Saya percaya dengan ketegasan Dato’ Zolkples, kontijen mampu meraih keputusan yang lebih baik berbanding di Doha dan tugas berat ini perlu dipikul bersama oleh setiap pasukan yang mengambil bahagian.
MOM turut mengumumkan perlantikan Dato’ Mohd Nadzmi Salleh, Presiden BAM sebagai Ketua Kontijen Sukan Komanwel di New Delhi tahun depan.
Mohd Hisham Mohd Nor.
Pagi tadi saya menghadiri jamuan Hari Raya Aidil Fitri peringkat Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya. Sambutan agak meriah dan di serikan dengan kehadiran tetamu jemputan seperti Menteri Kewangan II, mantan KP serta warga jabatan. Saya sempat merakamkan foto-foto menarik di sepanjang majlis tersebut.
Pada sebelah petangnya saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa KBKPj Bil. 8/2009 dan mesyuarat telah memutuskan untuk membuat persiapan bagi Perlawanan Persahabatan dengan JKDM Terengganu pada 30 Oktober ini.
Mohd Hisham Mohd Nor
Sebentar tadi saya meluangkan masa untuk menghadiri Majlis Rumah terbuka Hari Raya Aidil Fitri anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Majlis tersebut diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil bermula seawal jam 11.00 pagi lagi.
Berbagai juadah berkonsepkan gerai-gerai disediakan bagi memenuhi keperluan tetamu yang hadir. Para tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan yang mengasyikkan dari Hattan, Stacy, Man Kidal serta beberapa artis popular.
Acara ini merupakan acara tahunan dan ianya dapat merapatkan hubungan dikalangan atlet dalam semua lapangan atau bidang sukan dan pada waktu inilah mereka dapat bersua pada suatu masa yang sama. Diharap juga agar persatuan-persatuan sukan dapat menganjurkan rumah terbuka masing-masing agar persahabatan serta semangat kesukanan dapat dieratkan.
Mohd Hisham Mohd Nor.
Syabas kepada Bandaraya Rio De Janeiro kerana dipilih buat pertama kalinya sebagai tuanrumah Olimpik 2016. Ianya juga merupakan penghormatan buat bumi Amerika Latin kerana pertama kalinya diadakan di di Amerika Selatan. Seluruh warga Brazil bersorak apabila diumumkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) di Copenhagen, Denmark.
Rio De Janeiro berjaya menewaskan Madrid dalam pusingan akhir undian dan ianya merupakan kejayaan yang amat bermakna buat Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula Da Silva. Bandaraya Chicago turut membida untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan terbesar dunia itu dan wanita pertama Amerika, Michelle Obama telah berada 2 hari awal di Copenhagen untuk melobi Bandaraya Chicago sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2016.
Ramai yang berpendapat ianya merupakan pemilihan yang tepat dan ianya memberi peluang kepada Brazil yang terkenal dengan sukan bolasepak untuk menimba pengalaman dalam menganjurkan sukan terbesar dunia ini. Rio De Janeiro mempunyai tempoh yang lama iaitu lebih kurang 7 tahun dari sekarang untuk membuat persiapan dan saya pasti mereka akan lebih bersedia dan tidak mensia-siakan peluang yang telah diberikan ini.
Mohd Hisham Mohd Nor.