Monday, 14 December 2009

Ahlan Wasahlan…

Syukur Alhamdullilah, saya bersama pemain-pemain negara selamat tiba di Lapangan Terbangan Antarabangsa Doha, Qatar pada jam 3.00 pagi (waktu tempatan) atau sekitar jam 8.00 pagi waktu Malaysia. Cuaca di Doha, Qatar ketika ini pada waktu malam sekitar 18 darjah celcius dan 22 darjah celcius pada waktu siang. Sebaik tiba di kaunter imigresen, kami dikejutkan oleh pihak imigresen Qatar yang meminta visa dari pasukan kami yang mana sepengetahuan kami, visa tidak diperlukan bagi pelawat dari Malaysia. Namun untuk tidak menimbulkan kekalutan, saya akur dengan polisi mereka dan membayar yuran visa sebanyak Qatar Riyal700.00 (RM680.00) untuk 7 orang.

Saya juga bersyukur, semua bagasi dikeluarkan dengan selamat serta mencukupi. Saya amat bimbang dengan penerbangan yang membabitkan transit kerana selalu berlaku bag tidak sampai. Namum, alhamdullilah segalanya selamat dan yang penting dalam keadaan baik. Pengalaman saya yang lalu, Pak Arab ni selalu mencapakkan bag sewenang-wenangnya dan mereka ini kasar orangnya.

Sebaik sahaja keluar dari pintu ketibaan, Saudara Adil dari Qatar Bowling, telah menunggu kami seawal jam 2.00 pagi. Kami terus dibawa ke pengginapan iaitu Reetaj Residence Hotel dengan menaiki coaster. Hotel di Qatar ini agak mahal harganya dan bilik apartment(2 bilik) yang kami duduki berharga QR900.00 semalam (RM870.00). Sebaik sahaja mendaftar masuk ke pengginapan pada jam 4.30pagi , pemain-pemain diarahkan tidur dan berehat secukupnya bagi mengembalikan tahap kecergasan.

Ini adalah kerana mereka akan bermain pada skuad yang pertama malam ini. Pasukan akan bertolak ke venue kejohanan pada jam 3.30 petang ini dengan menaiki kenderaan khas yang disediakan oleh pihak penganjur. Harapan saya moga, seorang daripada mereka layak ke pusingan akhir malam ini. Saya akan menerangkan format perlawanan pada catatan yang akan datang nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Doha, Qatar. 

Kenali Pasukan Bowling Kebangsaan

IMG_0767 Ketika catatan ini dibuat, saya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi. Penerbangan Etihad Airways tiba di LTAAD pada jam 12.15am waktu tempatan (4.15 waktu Malaysia). Pasukan Malaysia transit disini dan akan meneruskan perjalanan ke Doha, Qatar pada jam 3.00am waktu tempatan. Perjalanan ke Doha, Qatar mengambil 1 jam dan perbezaan waktu antara Doha dan Abu Dhabi adalah 1 jam.

Ramai dikalangan peminat tempatan baik sewaktu di KLIA mahupun di dalam pesawat tertanya-tanya tentang ketiadaan pemain wanita di dalam skuad pada kali ini. Seperti yang saya catatkan sebelum ini, pemain-pemain terdiri dari Alex Liew, Daniel Lim, Zulmazran, Aaron Kong dan Shafiq Ridhwan. Ianya merupakan pertama kali bagi saya memimpin pasukan yang terdiri dari pemain lelaki sahaja. Keputusan telah dibuat oleh jawatankuasa pengurusan MTBC untuk menghantar jumlah pemain yang perlu menyertai kejohanan pada kali ini.

Apa yang menarik, perjalanan kali menemukan ramai peminat yang bertanya dengan anak-anak buah yang berpakaian baju sang harimau atau lebih kami kenali sebagai tiger shirt. Dari petugas di kaunter check-in di KLIA, penumpang-penumpang, hinggalah ke peramugari yang bertugas di pesawat. Keadaan ini berlaku kerana tidak ramai yang mengenali pemain-pemain lelaki kebangsaan. Tidak seperti pemain wanita, siapa tak kenal Shalin Zulkifli, Siti Safiyah serta Wendy Chai. Pelancong asing juga tidak ketinggalan bertanyakan kepada kami pasukan apakah ini. Ramai yang meneka kami pasukan bolasepak, mungkin kerana kami terdiri dari skuad lelaki sahaja.

Skuad lelaki ini adalah dari skuad elit dan kesemua dari mereka pernah menjuarai kejohanan terbuka antarabangsa. Mereka juga pernah memenangi pingat pada Sukan Sea, Sukan Asia dan juga Sukan Komanwel.  Kekurangan publisiti mereka diperingkat antarabangsa mungkin membuatkan ramai yang tidak mengenali mereka.

Saya berharap pemain bowling ini mendapat liputan yang meluas pada masa hadapan kerana mereka juga berjuang untuk mengharumkan nama negara. Ada sukan-sukan yang tidak menyerlah, tetapi pemainnya mendapat publisiti yang hangat. Saya juga mencadangkan agar website Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) menyediakan satu halaman untuk pengenalan pemain-pemain bowling negara. Ini akan dapat memberi ruang kepada peminat mengenali pemain-pemain kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Abu Dhabi, UAE

Friday, 11 December 2009

9th Qatar International Open Bowling Tournament

image

Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) telah mengambil keputusan untuk menghantar pemainnya beraksi  di 9th Qatar International Open Bowling Tournament yang akan berlangsung dari 12-19 Disember 2009.

Sekali lagi saya diberi kepercayaan oleh pengurusan MTBC untuk memimpin  selaku pengurus pasukan  kebangsaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan MTBC diatas kepercayaan yang diberikan dan insyaallah saya akan memikul tugasan ini dengan penuh tanggungjawab.

Skuad Elit pada kali ini terdiri dari pasukan lelaki sahaja dan jurulatih yang turut serta adalah Ben Heng, bekas pemain Kebangsaan. Pemain yang  akan beraksi pada kejohanan ini adalah Zulmazran, Alex Liew, Daniel Lim, Aaron Kong dan Shafiq Ridhwan Malek.

Kejohanan ini menawarkan hadiah yang lumayan dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai 120,000  Euro (RM602,658.00). Juara akan membawa pulang hadiah bernilai 30,000 Euro (RM150,664.00). Pasukan Kebangsaan akan berlepas ke Doha, Qatar pada hari Ahad ini.

Saya berharap para peminat tenpin bowling mendoakan kejayaan pasukan negara dan ikuti catatan saya di sepanjang kejohanan berlangsung melalui blog ini dan juga facebook.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 10 December 2009

Emas Pertama Negara

Tahniah saya ucapkan kepada atlit wanita Taekwando kategori heavyweight, Chew Chan kerana berjaya merangkul pingat emas pertama buat negara. Berita yang diterima melalui Facebook Pelapis Majlis Sukan Negara petang tadi mengembirakan kem Malaysia.

Kedudukan terkini 1 pingat emas 3 perak dan 7 gangsa dan kontijen Malaysia mempunyai tugas yang berat perlu dipikul bagi mencapai sasaran.

Semoga dengan pingat emas sulong ini akan memberi semangat kepada kontinjen negara untuk terus memburu emas.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 8 December 2009

Golf Jelajah PGA

Saya tertarik dengan berita Malaysia akan menganjurkan serta diberi kepercayaan untuk menjadi tuanrumah Kejohanan Golf Klasik Asia Pasifik dimana ianya salah satu pertandingan dalam kalender golf jelajah PGA.

Agak sekian lama saya tertanya-tanya, mengapa Malaysia tidak pernah menganjurkan kejohanan PGA seperti yang sering ditayang secara langsung melalui GOLF Channel. Kini segala pertanyaan tersebut terjawab apabila Malaysia bakal menganjurkannya serta bakal menghimpunkan 40 pemain terbaik dunia. Kejohanan akan di adakan di The Mines Resort & Golf Club Seri Kembangan.

Besar kemungkinan kita akan dapat menyaksikan kemunculan pemain nombor satu dunia Tiger Wood beraksi di Kuala Lumpur. Itu pun sekiranya ada pihak-pihak yang ingin menaja yuran penampilan (appearance fee). Walaubagaimanapun saya berharap agar kejohanan ini akan dapat memasarkan Malaysia di mata dunia apabila berjuta-juta peminat diseluruh dunia menyaksikannya.

Difahamkan kejohanan ini merupakan paling lumayan di Asia Tenggara dan sudah pasti ianya akan menjadi tarikan kepada pemain-pemain golf professional.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 28 November 2009

Sharon Olahragawati Wilayah Persekutuan 2008

25112009(001)

25112009033

Setinggi-tinggi tahniah buat Sharon Koh diatas kejayaan beliau dinobatkan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2008. Majlis anugerah sukan Wilayah Persekutuan 2008 telah berlangsung pada 25 November 2009 yang lalu bertempat di De’ Seri Hendon Puspanitapuri, Putrajaya.

Selain Sharon yang juga merupakan pemain elit negara, Shafiq Ridhwan A. Malik turut dicalonkan bagi anugerah olahragawan Wilayah Persekutuan. Namun Melvin Chua dari sukan renang telah meraih anugerah Olahragawan Wilayah Persekutuan.

Wakil dari tenpin bowling yang turut menerima pencalonan adalah Steven Teng untuk kategori Pegawai Sukan Terbaik dan Dzulkarnian Sapian untuk kategori Jurulatih Terbaik. Namun kedua-duanya tewas kepada Thiagu a/l Ponniyah (karate-Do) untuk Pegawai Sukan Terbaik dan Junaidi bin Bakir (Memanah) bagi Jurulatih terbaik.

Saya sungguh berbangga kerana anugerah ini baru tahun kedua diperkenalkan dan pasukan tenpin bowling berjaya merebut satu tempat bagi anugerah yang dipertandingkan. Untuk rekod tahun lalu Y.Bhg. Tan Sri Mohamed Noor bin Abdul Rahim, Presiden Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya meraih anugerah Tokoh Sukan 2007.

Insyaallah tenpin bowling akan cuba mencalonkan pemain-pemain yang berpotensi dan berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 19 November 2009

Syabas Zul dan Safi

Mara dan terus mara ke hadapan.. Syabas kepada Zulmazran dan Siti Safiyah kerana melayakkan diri ke pusingan suku akhir pada Kejohanan Bowling Piala Dunia AMF Qubica di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka. Zulmazran yang ketinggalan di hari pertama telah bangkit di hari kedua dan seterusnya mempamerkan permainan konsisten.

Saya mendoakan semoga mereka berjaya ke peringkat separuh akhir. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 9 November 2009

Sukar dikekang

Walau apapun, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan Bowling JKDM ke Sukan Kewangan kerana menduduki tempat kedua di kejohanan bowling Pesta Sukan Kewangan yang berlangsung di ARL Powerbowl, Alamanda.

Pasukan JKDM  dibawah pimpinan Saudara Nadzri Che Ani sekali lagi gagal mengekang penguasaan KWSP yang rata-rata dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman seperti Rosli Malek, Amir, Yusri dan beberapa pemain yang aktif dalam sukan tenpin bowling sejak tahun 2000 lagi.

Pada satu ketika LHDN merupakan saingan buat KWSP dan dua pasukan ini sering berentap merebut tempat pertama. Namun apa yang dilihat, pasukan LHDN agak merudum sejak kebelakangan ini dan mungkin disebabkan ketandusan pemain-pemain senior di dalam pasukan mereka.

Namun begitu, tempat kedua adalah merupakan pencapaian yang terbaik dan sewaktu saya memimpin pasukan pada tahun 2002, JKDM mendapat tempat kedua dibelakang KWSP dengan perbezaan hanya 50 pin. Apa pun cuba lagi ditahun hadapan, moga-moga mendapat kejuaraan sulung buat JKDM.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 8 November 2009

Tahniah buat Negeri Sembilan

Tahniah buat pasukan Negeri Sembilan kerana menjuarai Piala Malaysia setelah penantian yang lama sejak 1948 untuk menjulang piala yang berprestij itu. Cubaan 2 kali di final Piala Malaysia iaitu 2000 dan 2006 akhirnya membawa tuah buat anak-anak buah Wan Jamak selaku jurulatih Negeri Sembilan.

Tahniah juga kepada Presiden PBNS, Dato' Mohammad Hassan kerana memimpin badan sukan itu dengan cemerlang. Piala disampaikan oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 7 November 2009

Tahniah Siti Zulaikha

Siti Zulaikha

Sekalung tahniah buat Siti Nurzulaikha Ismail kerana menerima bantuan RM1000 dari SportExcel diatas kecemerlangan yang telah dipamerkan sepanjang penglibatan beliau dalam sukan tenpin bowling. Bantuan atau geran tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar pada hari Selasa yang lalu. Siti yang baru berusia 11 tahun telah mengecapi banyak kejuaraan tempatan dan merupakan harapan negara pada masa depan.

Saya secara peribadi amat berbangga dengan pencapaian tersebut kerana pernah melatih Siti ketika berusia 8 tahun apabila beliau mengikuti program Sukan Teras bawah 12 tahun pada tahun 2006. Pada tahun ini saya berpeluang untuk melatih beliau semula di dalam program pembangunan remaja tajaan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP). Beliau mempunyai perjalanan yang jauh lagi serta mampu menjadi permata bowling negara pada satu hari nanti. Banyak aspek yang perlu dipelajari dan pengalaman yang perlu ditimba oleh Siti untuk menggapai kecemerlangan dan sukan bowling.

Mohd Hisham Mohd Nor

Sunday, 1 November 2009

Kunjungan Pasukan Bowling PKN Terenganu ke Putrajaya



KBKPj mengalu-alukan kunjungan Pasukan Bowling PKN Terengganu ke Putrajaya pada 30 Oktober yang lalu. Sehubungan dengan itu satu perlawanan persahabatan telah diadakan pada 30 Oktober 2009 bertempat di ARL Powerbowl, Alamanda. Turut memeriahkan pertandingan ialah Y.Bhg. Dato' Hassan Ibrahim, Penasihat KBKPj, Y.Bhg. Dato' Azis Yacub, Presiden Kehormat KBKPj yang juga PKN Terengganu serta Datin Rosaini, Penasihat KBKPj.

Seramai 40 peserta dari Putrajaya dan Terengganu telah mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan ini dan acara pasukan dimenangi oleh pasukan KBKPj. Acara penyampaian hadiah diadakan pada jamuan makan malam di Putra Executive Lounge, Putrajaya.

Saya amat gembira kerana program ini berjalan dengan jayanya dan diharap ianya akan diadakan dimasa akan datang. Pada ucapan aluan, saya mencadangkan supaya satu perlawanan persahabatan Pasukan Bowling KBKPj dengan negeri-negeri PAKAT(Kelantan, Terengganu dan Pahang) di adakan pada tahun hadapan.

Mohd Hisham Mohd Nor.