Friday, 14 May 2010

Selamat Hari Guru 2010

“Guru Pembina Negara Bangsa” merupakan tema Hari Guru tahun 2010. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di seluruh negara serta guru-guru yang pernah membimbing saya samada masih berkhidmat atau telah bersara.

Peranan Guru amat besar dalam membimbing pelajar serta membentuk mereka menjadi warga dan bangsa yang berguna. Selari dengan tema “Guru Pembina Negara Bangsa”, peranan guru juga begitu penting dalam pembinaan perpaduan dan integriti.

Guru merupakan pendidik di peringkat asas dan mereka ini memerlukan kesabaran yang tinggi untuk mendidik pelajar di peringkat sekolah rendah agar bangsa yang berakhlak tinggi dan mulia dapat di lahirkan.

Semoga Hari Guru yang akan disambut pada 16 Mei ini, akan menjadi penyuntik semangat kepada Guru-guru untuk terus memberi sumbangan sebagai pendidik kepada bangsa dan negara.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 9 May 2010

Thomas & Uber Cup Finals 2010

Perlawanan akhir Proton-BWF, Thomas & Uber Cup 2010 akan berlangsung pada hari ini. Kejohanan ini berlangsung selama seminggu iaitu dari 9 hingga 16 Mei 2010. Malaysia menjadi tuanrumah untuk kejohanan pada kali ini dan sudah pasti ianya menjadi impian pasukan negara untuk merampas Piala Thomas yang menjadi gengaman pasukan China.

Sejak Piala Thomas diperkenalkan pada tahun 1948, hanya 3 buah negara iaitu China, Indonesia dan Malaysia pernah menjuarai piala yang berprestij itu. Pasukan China telah menggengam Piala Thomas sejak tahun 2004 di Jakarta, Jepun pada 2006 dan Jakarta pada 2008.

Persoalannya mampukah pasukan negara merampas Piala Thomas dari China yang mana kali terakhir negara memenanginya pada tahun 1992 di Kuala Lumpur. Selepas itu Malaysia mampu bertahan di tempat kedua iaitu pada tahun 1998 di Hong Kong dan 2002 di Guangzhou, China.

Kemelut BAM serta isu H1N1 menjadi cabaran kepada pasukan negara untuk menongkah cabaran Piala Thomas pada kali ini. Namun BAM mengambil langkah pantas dalam menanggani isu latihan di Stadium Putra Bukit Jalil yang menjadi venue perlawanan akhir Piala Thomas dan Uber tahun ini. Pemain diberi peluang untuk mendapatkan feel bermain di gelanggang tersebut yang merupakan advantage kepada pasukan tuanrumah.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei telah bersedia mengharungi cabaran negara dan Lin Dan pemain nombor 2 dunia adalah musuh utama beliau pada kejohanan kali ini. Beliau mempunyai rekod yang baik apabila menentang Lin Dan di bumi sendiri dan harapan agar beliau dapat mengekalkan kecemerlangan itu.

Malaysia akan memulakan cabaran pertama menentang Nigeria pada hari ini. Saya mengucapkan Selamat Berjuang buat pasukan negara yang bakal mengharungi cabaran Piala Thomas dan Piala Uber.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 8 May 2010

Perhimpunan Hari Pekerja 2010

IMG_0417IMG_0500

Sambutan Hari Pekerja 2010 telah berlangsung di MIECC, Mines pada 8 Mei 2010 jam 9.00 pagi. Para peserta telah hadir sewal jam 7.00 pagi lagi. Acara kemuncak bermula pada jam 9.30 pagi denga ketibaan YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Tema hari pekerja pada ini adalah Pekerja Berinovasi, Pemacu Transformasi. Ianya merupakan tema yang paling tepat sekali kerana YAB Perdana Menteri telah melancarkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan menggerakkan 6 NKRA bagi melaksanakan usaha tersebut.

Pekerja dikalangan kakitangan kerajaan dan swasta perlu berganding bahu dalam melaksanakan agenda yang diusahakan oleh kerajaan bagi memastikan matlamat NKRA tercapai. Transformasi amat perlu bagi memastikan hala tuju negara ke arah negara maju serta rakyat berpendapatan tinggi selari dengan negara-negara maju.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Kejohanan Tenpin Bowling Antara Bahagian JKDM Ibu Pejabat

Saya ingin merakamkan selamat bertanding pada kejohanan tenpin bowling antara bahagian yang berlangsung pada 8 Mei 2008 di Mines Wonderbowl jam 10.00 pagi. Semoga kejohanan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan serta ikatan antara pemain dikalangan bahagian yang berlainan.

Mohon maaf, kerana tidak dapat menghadirkan diri kerana beberapa jadual telah dirancang pada tarikh tersebut. Saya pasti sekiranya ianya berlangsung pada tarikh yang lain akan mengundang lebih ramai lagi warga jabatan secara keseluruhannya terutama pegawai kanan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Wednesday, 14 April 2010

Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear

Isu nuklear yang dibincangkan pada sidang kemuncak keselamatan nuklear di Washington adalah lebih tertumpu kepada meraih sokongan dunia untuk memberi tekanan kepada Iran tentang program pensejataan nuklear negara tersebut.

Presiden Obama dalam ucaptamanya menyebut “ I believe strongly that the problems of the 21st century cannot be solved by any one nation acting in isolation.They must be solved by all of us coming together”. Sidang kemuncak yang berlangsung selama 2 hari ini dihadiri oleh 47 pemimpin negara di dunia. Malaysia dihadiri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menerima jemputan dari Presiden Obama.

Obama meminta sokongan Malaysia dalam isu senjata nuklear Iran dan pendirian Malaysia begitu jelas iaitu Iran mempunyai hak menggunakan tenaga nuklear untuk tujuan pembangunan kesejahteraan tetapi tidak menyokong program senjata nuklear.

Saya amat bersetuju dengan pendirian Malaysia dalam menangani isu ini kerana Ahmadinejad pernah menegaskan fahamannya bahawa, “memperoleh teknologi nuklear bagi keamanan adalah permintaan seluruh rakyat Iran dan pegawai sebagai wakil rakyat perlu berusaha sekuat tenaga dalam merealisasikan tuntutan itu”.

Terdapat beberapa sebab mengapa Iran memerlukan tenaga nuklear untuk tujuan yang dimaksudkan:

Pertama – teknologi nuklear adalah hak yang sah kepada rakyat Iran yang sudah lama menjadi tuntutan kepada semua rakyat Iran dengan pelbagai perbezaan haluan yang ada.

Kedua – Perkembangan teknologi yang canggih ini dan maju ini merupakan tamparan bagi pengaruh barat yang selalu berusaha menghalang kemajuan yang hendaj dicapai oleh negara-negara di dunia Islam.

Ketiga – Teknologi nuklear meletakkan Iran dalam kategori negara maju dan jika ia berjaya memanfaatkan teknologi nuklear bagi keperluan elektriknya, bermaksud Iran mendapat keuntungan ekonomi jangka pendek dan jangka panjang.

Iran memiliki simpanan minyak yang banyak dan dengan adanya alternatif seperti tenaga nuklear ini, ia menjadi negara yang hampir tidak memerlukan bantuan. Punca elektrik dari tenaga nuklear adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan alternatif yang lain.

Saya merasakan ada negara-negara lain giat membangunkan tenaga nuklear dan dalam pada waktu yang sama Iran juga perlu menjelaskan kepada dunia bahawa tenaga nuklear yang dibangunkan bukan untuk tujuan persenjataan.

Pada akhir sidang kemuncak tersebut Presiden Obama mengistiharkan “ nuclear terrorism is one of the most challenging threats to international security “. Persetujuan juga dicapai dalam isu persenjataan nuklear dan jalan yang paling berkesan bagi mengahalang pengganas dan penjenayah dari mendapatkan bahan nuklear adalah melalui kawalan nuklear yang ketat. “ Protecting nuclear materials and preventing nuclear smuggling “.

Sidang kemuncak keselamatan nuklear yang berikutnya akan diadakan di Seoul pada tahun 2012. Saya tertarik untuk membaca jurnal “ A World Free of Nuclear Weapons ” yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. Insyaallah jika ada kesempatan dapat kita kongsi bersama melalui pandangan didalam jurnal tersebut.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sumber rujukan: Ahmadinejad, Singa Baru Dunia Islam oleh Muhsin Labib, Ibrahim Muharam, Musa Kazhim dan Alfian Hamzah.

Tuesday, 13 April 2010

Syabas Negeri Sembilan

Tahniah kepada skuad Negeri Sembilan kerana sekali lagi mengegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menjuarai TM Piala FA pada malam Ahad kelmarin dengan menumbangkan Kedah 5-5 dalam penentuan melalui sepakan penalti setelah kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat permainan . Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan ternyata bersemangat untuk memastikan kejayaan Negeri Sembilan. Tidak keterlaluan jika ada penyokong fanatik yang mengatakan Negeri Sembilan kuasa baru bolasepak tempatan.

Saya amat tertarik dengan sokongan yang diberikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dalam memastikan kejayaan skuad tersebut. Tidak dinafikan bahawa sokongan orang nombor satu dalam negeri amat diperlukan terutamanya aspek yang membabitkan kewangan dan bajet sesebuah pasukan. Difahamkan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan adalah merupakan persatuan yang cekap serta efisien dalam pengurusan kewangan sehingga tidak menimbulkan masalah kepada pemain-pemain dari segi bayaran gaji tertunggak dan sebagainya.

Misi seterusnya adalah untuk mengejar Liga Super dan Piala Malaysia dan harapan adalah untuk melihat Negeri Sembilan sebagai sebuah pasukan yang disegani seperti Selangor. Saya akan mengikuti perkembangan skuad Negeri Sembilan pada aksi-aksi yang berikutnya. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 21 March 2010

Ulangtahun ke-2 KBKPj

Hari ini 21Mac, genap 2 tahun penubuhan KBKPj yang telah di asaskan oleh Y.Bhg. Dato’ Paduka Azis Yacub, Presiden Seumur Hidup KBKPj.

Walaupun sejak kebelakangan ini agak kesunyian, harapan saya adalah untuk melihat kelab ini terus aktif walaupun dengan mengadakan aktiviti-aktiviti atau projek-projek yang kecil. Saya percaya beberapa perkara perlu diselesaikan dan kita akan dapat melaksanakan serta merancakkan aktiviti-aktivti dalam masa terdekat ini.

Selaku Presiden, saya memohon ahli-ahli memberi kerjasama serta sokongan padu kepada semua Ahlijawatankuasa agar aktiviti-aktiviti dapat diteruskan. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 14 February 2010

Sang pepatung …

IMG_8541

IMG_8571

IMG_8681

Saya tertarik melihat hiasan di Centre Court, Midvalley Megamall bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina. Kelihatan seolah-olah sang pepatung berterbangan di sekitar Centre Court serta dihiasi menara purba cina abad ke 16.

Saya tertanya-tanya juga, mengapa pepatung dipaparkan dan tidak kelihatan sang harimau sebagai hiasan simbolik tahun harimau pada tahun ini. Jawapannya mungkin ada pada pengurusan Midvalley atau pembaca blog ini yang telah ke Midvalley mungkin dapat memberi jawapan atau kesimpulannya.

Turut mengamit perhatian pengunjung adalah persembahan akrobatik guangxi yang dipersembahkan kepada pengunjung. Aksi-aksi yang cukup merbahaya ini telah memukau perhatian pengunjung ke Midvalley pada siang tadi.

Saya turut teruja dengan persembahan tersebut kerana mereka melakukan aksi tersebut dengan penuh konsentrasi serta mendapat tepukan yang gemuruh dari pengunjung-pengunjung. Semangat 1 Malaysia menjadi teras kepada persembahan tersebut apabila semua bangsa menyaksikan persembahan tersebut.

Semoga tahun harimau ini membawa kemakmuran kepada kita semua rakyat di Malaysia ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Gong Xi Fa Chai

Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan-rakan berbangsa Tionghua yang menyambutnya pada hari ini. Semoga tahun harimau ini memberi rezeki yang melimpah serta kejayaan dicipta dalam apa jua bidang yang diceburi.

Semangat 1Malaysia dalam rakyat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia ini disemarakkan lagi dengan aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan-rakan. Semoga masyarakat majmuk di Malaysia terus makmur selamanya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 7 February 2010

Tahniah USPTN MSWP

Saya mengucapkan tahniah kepada pelatih-pelatih dibawah kendalian saya pada tahun 2009 kerana telah terpilih untuk mengikuti latihan Sukan Prestasi Tinggi Negeri 2010.

Mereka terdiri dari Amirul, Syafiq Ikhwan, Nur Shafiq, Atiq, Nadzrin, Siti dan Syazana. Semoga dengan ‘kenaikan pangkat’ ke tahap latihan yang lebih tinggi ini akan memberi cabaran serta pengalaman baru kepada mereka untuk lebih berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai cita-cita yang mereka idamkan.

Pelatih dibawah kendalian saya seramai 12 orang, dan hanya 9 orang sahaja yang hadir untuk sesi penilaian 2009. Daripada 9 orang, hanya 7 orang terpilih manakala 2 lagi iaitu Amirul Fahmi dan Syakeira tidak terpilih untuk mengikuti latihan USPTN.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 1 February 2010

Selamat Hari Wilayah Persekutuan

Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meraikan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2010. Sambutan ini diadakan pada setiap tahun bagi memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan pada ketika itu hanya merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkembang dengan pesat dan maju dari pelbagai sudut. Saya melihat dari sudut sukan serta pencapaiannya dan dalam tempoh 36 tahun, banyak kejayaan di gapai dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Sukan Bowling Wilayah Persekutuan tidak ketinggalan dalam usaha memajukan sukan bowling di Wilayah Persekutuan. Sepanjang tempoh saya memegang jawatan Setiausaha Kehormat, Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2004, memperlihatkan banyak kemajuan yang dicapai di peringkat kebangsaan.

Ramai pemain-pemain dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diserapkan ke dalam skuad remaja kebangsaan dan ada di antaranya menempatkan diri di dalam skuad elit kebangsaan. Penyertaan mereka diperingkat kebangsaan menyaksikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak pernah sepi berada di podium dalam setiap acara yang disertainya.

Kini pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempersiapkan diri untuk berdepan dengan temasya terbesar negara iaitu Sukan Malaysia atau SUKMA 2010 yang akan berlangsung di Melaka pada bulan Mei nanti. Pada Sukma 2008 di Terengganu, pasukan tenpin bowling Wilayah Persekutuan berjaya mendapat 2 pingat emas, 3 perak. Sudah pasti harapan yang menggunung disandarkan kepada kepada pemain-pemain yang bakal beraksi nanti.

Harapan serta azam saya pada Hari Wilayah Persekutuan adalah untuk memastikan lebih ramai pemain-pemain remaja atau pelapis berjaya di peringkat kebangsaan dan seterus mewakili negara. Semoga usaha yang berterusan oleh barisan kepimpinan Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan ini akan melahirkan lebih ramai bintang-bintang sukan bowling. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.