Friday, 22 October 2010

Harapan Skuad Tenpin Bowling di Sukan Asia, Guangzhaou 2010

Skuad tenpin bowling ke Sukan Asia pada tahun ini menyaksikan sebahagian besarnya terdiri dari pemain yang pernah beraksi di Sukan Asia di Doha, Qatar. Ianya merupakan gandingan pemain senior dan junior hasil didikan jurulatih berpengalaman Holloway Cheah.

Muka-muka lama yang akan beraksi adalah Alex Liew, Aaron Kong dan Zulmazran bagi skuad lelaki manakala skuad wanita pula terdiri dari Shalin Zulkifli, Sharon Koh, Ester Cheah, dan Zandra Aziela. Mereka yang bakal beraksi buat pertama kalinya di Sukan Asia adalah Adrian Ang, Muhd Shafiq Ridhwan dan Muhd Nur Aiman untuk skuad lelaki manakala skuad wanita pula terdiri dari Zatil Iman dan Sin Li Jane.

Pada Sukan Asia yang lalu, Esther Cheah iaitu anak kepada jurulatih negara Holloway Cheah telah berjaya mengutip pingat melalui acara perseorangan wanita dan sekaligus memecah rekod Sukan Asia dengan jatuhan pin tertinggi. Mampukah beliau mempertahankan emas dalam acara individu wanita? Dari sudut prestasi semasa beliau, ianya boleh dikatakan memberangsangkan dan pada kejohanan Terbuka Hong Kong yang lalu beliau telah melakukan jatuhan sempurna 300 atau perfect game. Namun semuanya akan terjawab bila tiba waktunya nanti dan yang pasti suasana serta sekitaran sewaktu Sukan Asia amat berbeda dengan suasana semasa Kejohanan Terbuka.

Muhd Nur Aiman merupakan pemain paling junior dalam skuad elit negara berbanding Muhd Shafiq Ridhwan yang pernah beraksi pada Sukan Sea di Korat, Thailand pada tahun 2007. Namun semangat serta kesungguhan beliau telah banyak membantu untuk meningkatkan permainannya pada ketika ini.

Saya difahamkan bahawa Majlis Sukan Negara(MSN) telah menetapkan sasaran 3 emas untuk skuad tenpin bowling iaitu jumlah yang berjaya dikutip sewaktu Sukan Asia di Doha dahulu. Bagi skuad tenpin bowling kebangsaan, untuk mengutip 3 pingat tanpa mengira warna adalah mudah tetapi untuk mengutip 3 pingat emas adalah merupakan satu cabaran atau tugasan yang berat. Malaysia akan menghadapi negara-negara yang hebat ketika ini iaitu Korea dan Singapura. Saya berkeyakinan gandingan pemain senior dan junior mampu menghasilkan kejayaan buat skuad tenpin bowling kebangsaan.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Wednesday, 20 October 2010

Sasaran Emas di Sukan Asia ke-16 di Guangzhauo

Sukan Komanwel baru sahaja selesai dan kini tumpuan kepada Sukan Asia yang akan berlangsung di Guangzhaou pada bulan November nanti. Y.Bhg. Dato’ Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara bakal menggalas tugas sebagai Chef de Mission(CDM).

Pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada Disember 2006 yang lalu, Kontinjen Malaysia melakar sejarah terbaik dalam penglibatan ke Sukan Asia dimana berjaya merangkul 8 pingat emas. Skuad tenpin bowling muncul pasukan yang paling cemerlang apabila berjaya mengutip 3 pingat emas dan 3 perak. Skuad squash pula mengutip 2 pingat emas manakala badminton, wushu dan perahu layar masing-masing menyumbang 1 pingat emas.

Mampukah Kontinjen negara memungut 9 pingat emas seperti yang disasarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan sekaligus mengatasi rekod Sukan Asia di Doha. Segalanya akan terjawab pada bulan November nanti dan berdasar kepada pencapaian di Sukan Komanwel di New Delhi, Kontinjen Malaysia mampu meraih lebih dari 9 pingat emas. Ini berdasarkan beberapa sukan yang berpotensi untuk mendapt emas tetapi tidak dipertandingkan pada Sukan Komanwel dan salah satunya adalah tenpin bowling.

Skuad memanah berpeluang sekali lagi membawa pulang pingat emas dari Sukan Asia selepas tersungkur di Sukan Komanwel untuk mendapat sekurang-kurangnya satu pingat emas.Manakala malang buat skuad lawn bowl apabila ianya tidak dipertandingkan pada Sukan Asia kali ini. Kegagalan untuk mengutip pingat emas di sukan Komanwel seperti yang diharapkan masih menjadi igauan dan tidak berpeluang untuk menebus kehampaan.

Namun harapan kita adalah untuk melihat Kontinjen negara mencipta satu lagi sejarah negara dalam Sukan Asia.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Monday, 18 October 2010

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Utusan Malaysia Online - Berita Utama
Saya tertarik dengan laporan Sdr. Azrai Mohamad bertajuk 'Pemandu Bas Ekspres tak serik-serik'. Sudah tiba masanya pihak penguatkuasaan, baik Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) mahupun Polis Trafik untuk mengambil langkah tegas untuk mengatasi pemandu bas yang memandu laju di lebuhraya. Sememangnya setiap kali saya memandu di lebuhraya, pasti akan bertemu dengan pemandu bas ekspres yang memandu laju melebihi had 90km sejam. Saya begitu kagum dengan penguatkuasaan jalanraya dan lalulintas di luar negara di mana pihak penguatkuasa mengambil tindakan yang sangat tegas sehingga pemandu takut untuk membuat kesalahan. Contohnya di Doha, Qatar, pemandu yang melanggar lampu merah akan dikenakan dengan sehingga RM5000.00 dan saya tidak melihat langsung kenderaan yang melanggar lampu merah. Begitu juga di Australia, apabila had laju di sesebuah kawasan sibuk seperti di lapangan terbang, had lajunya 30km/j dan saya mendapati mereka mematuhi arahan seperti yang tertera dipapan tanda. Sekiranya pemandu tidak mematuhi arahan tersebut lesen memandu akan digantung tanpa rasa kasihan.

Dalam usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, penguatkuasaan juga merupakan faktor yang penting dan ianya akan menjadi pengukur bagi meyakinkan mereka tentang keadaan di sesebuah negara yang hendak dilabur. Saya berharap agar kerajaan dapat melakukan sesuatu dalam menangani masalah sebegini kerana kemalangan yang membabitkan bas ekspres bukannya pertama kali berlaku dan ianya dapat dielakkan sekiranya langkah-langkah keselamatan serta kesedaran kepada pemandu bas dapat dipertingkatkan. Para penumpang juga memainkan peranan yang penting kerana mereka tidak perlu takut untuk menegur pemandu bas yang memandu laju kerana ianya melibatkan nyawanya sendiri dan juga penumpang lain. Nasihat kepada pemandu bas ekspres, FIKIRKANLAH KESELAMATAN PENUMPANG
....

Sunday, 17 October 2010

V Commonwealth Tenpin Bowling Championship 2011

Kali terakhir acara sukan tenpin bowling dipertandingkan pada temasya Sukan Komanwel adalah pada tahun 1998 sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuanrumah. Selepas itu, ianya tidak dipertandingkan malah pelbagai usaha telah dilakukan oleh Malaysia untuk menjadikan tenpin bowling sebagai acara wajib di temasya Sukan Komanwel.

Namun demikian, Kongres Tenpin Bowling Malaysia bakal menganjurkan kejohanan tenpin bowling diperingkat Komanwel pada bulan Februari 2011. Kejohanan yang akan berlangsung selama 8 hari ini adakan diadakan di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Persiapan untuk menghadapi kejohanan tersebut sedang giat dijalankan dan saya turut terlibat di dalam jawatankuasa induk persiapan sukan tersebut. Setakat ini 16 buah negara telah mengesahkan kehadiran. Peminat-peminat tenpin bowling boleh melayari laman sesawang www.ctbc2011.org untuk mendapat keterangan lanjut.

Insyaallah, saya akan membuat catatan berkaitan kejohanan ini dari masa ke semasa.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Saturday, 16 October 2010

Lawatan ke Bandung, Indonesia

Bandung

Pada 30 September – 3 Oktober 2010 yang lalu, saya berpeluang mengikuti Lawatan ke Bandung, Indonesia anjuran Majlis Sukan Wilayah Persekutuan(MSWP). Lawatan ini merupakan ‘hadiah’ atau penghargaan kepada Pengurus Sukan SUKMA 2010 yang lalu di atas kejayaan merangkul lebih 40 pingat emas serta menduduki tiga tempat teratas.

Kejayaan pada SUKMA yang lalu telah mendorong MSWP mengatur lawatan tersebut dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan. Mengikut perancangan asal, lawatan meliputi Jakarta/Bandung dan memandangkan situasi di Jakarta tidak mengizinkan maka lawatan hanya tertumpu di Bandung sahaja.

Chef de Mission Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA di Melaka iaitu Y.Bhg. Dato’ Bakaruddin yang juga merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan turut mengikuti lawatan ini.

IMG_1024 Acara kemuncak lawatan ini adalah Majlis Makan Malam bersama Y.B Dato’ Raja Nong Chik bin Dato’ Raja Zainal Abidin, Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Beliau tampak gembira dengan kehadiran pengurus-pengurus pasukan di kota Bandung ini dan tidak ketinggalan di dalam ucapan beliau, menyeru agar setiap pasukan bekerja keras untuk persiapan SUKMA 2012 di Kuantan, Pahang nanti.

Beliau mengimpikan juara keseluruhan pada temasya tersebut kerana kontinjen Wilayah Persekutuan telah pun menghampirinya. Ganjaran yang lebih besar bakal menanti sekiranya kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya menjadi juara keseluruhan pada SUKMA 2012 kelak.

IMG_1055 IMG_0958 Lawatan ke tempat menarik turut menarik perhatian para peserta lawatan dan kami telah di bawa ke Taman Wisata Alam atau Gunung Tangkuban Parahu iaitu kawah Gunung Berapi yang masih aktif. Kali terakhir gunung berapi ini meletus adalah pada tahun 1969. Entah bila ia akan meletus lagi!.

Aktiviti membeli belah merupakan kemestian bagi pelancong ke Bandung dan Rumah Mode, Jalan Riau/Dago, Cihampelas, pasar baru adalah merupakan lokasi membeli-belah yang terkemuka di Bandung.

Pada keseluruhannya, saya amat berpuashati dengan lawatan ini dan ianya dapat mengeratkan lagi silatur-rahim dikalangan pengurus-pengurus pasukan. Semoga kontinjen Wilayah Persekutuan akan cemerlang pada SUKMA 2012 nanti.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Friday, 15 October 2010

Syabas buat Kontinjen Negara

Setinggi-tinggi tahniah buat Kontinjen Negara kerana beraksi dengan cemerlang pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India. Angka keramat 10 pingat emas tidak lagi relevan apabila kontinjen negara berjaya memunggut 12 pingat emas pada akhir temasaya tersebut.

Elaine Koon nama yang tidak diberi perhatian sepanjang temasya ini berlangsung telah mengubah suasana kem Malaysia apabila beliau merangkul emas yang kesepuluh buat negara dalam acara gelung gimrama.

Pungutan pingat yang melepasi sasaran ini turut dibantu oleh oleh acara-acara yang tidak dijangkakan. Malang buat skuad Lawn Bowl Kebangsaan kerana gagal meraih sebarang pingat emas dan hanya sekadar berpuashati dengan  dua pingat – perak dan gangsa. Sasaran 3 emas tidak menjadi dan Persatuan Lawn Bowl Kebangsaan perlu melakukan sesuatu untuk bangkit semula di persada antarabangsa.

Tahniah kepada Chef de Mission(CDM), Y.Bhg. Tan Sri Abdul Halil bin Abd. Mutalib, diatas kejayaan kontinjen yang dipimpinnya. Saya amat memahami dengan situasi beraksi di Kejohanan besar di peringkat dunia ini. CDM adalah merupakan insan yang paling resah ketika skuad beraksi kerana sasaran pingat yang diletakkan oleh MSN adalah merupakan satu beban yang perlu dipikul.

Debaran disetiap pertandingan yang sedang berlangsung sungguh menyeksakan dan saya sendiri pernah melihat seorang menteri yang begitu resah menanti keputusan untuk mendapatkan pingat emas. Beliau menyatakan “it is worst than my general election”, dan ramai dikalangan pegawai yang hadir juga menyatakan pendirian yang sama.

Tahniah kepada semua atlet, pegawai dan petugas yang sama-sama bertungkus lumus dalam menggerakan kontinjen Malaysia sebagai sebuah pasukan yang mantap. Semoga Komanwel yang akan datang iaitu 2014 di Scotland akan lebih cemerlang dan gemilang.

Mohd Hisham bin Mohd Nor.

Wednesday, 29 September 2010

Tahniah Qalif

Saya ingin merakamkan setinggi tahniah buat Qalif Adnor Adam yang telah berjaya merangkul tempat pertama dalam kategori Boys Open pada GP Final yang berlangsung di Megalanes Sunway, Petaling Jaya pada Ahad lalu.

Kejayaan ini sekaligus menempatkan beliau kedalam skuad remaja kebangsaan tahun hadapan. Saya melihat perkembangan beliau sejak tahun 2006 apabila Qalif mengikuti Program Sukan Teras.

Paling mengembirakan Sdr. Adam Hamid, bapa Qalif yang banyak memberi dorongan dan sokongan untuk kejayaan beliau. Saya harap beliau akan berjaya ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 9 September 2010

SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua rakan-rakan dimana jua anda berada. Semoga di hari lebaran ini akan dapat mengeratkan lagi semangat kekeluargaan apabila bertemu sanak saudara ketika pulang ke kampung nanti.

Di bulan Ramadhan, aktiviti-aktiviti sukan serta kegiatan NGO yang lain agak sunyi dan insyaallah ia akan kembali rancak apabila apabila semuanya kembali semula ke Kuala Lumpur. Saya juga tidak ketinggalan dengan mengambil cuti panjang dan insyaallah akan pulang ke kampung.

Semoga berhati-hati memandu ketika pulang ke kampung dan selamat sampai ke destinasi.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 15 August 2010

Berita Harian Online | Obama pertahan masjid dekad lokasi serangan 9/11

Berita Harian Online | Obama pertahan masjid dekad lokasi serangan 9/11

Saya amat tertarik dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden Obama berhubung dengan pembinaan masjid di Bandaraya New York serta berhampiran dengan tapak Ground Zero(WTC). Keputusan ini amat dialu-alukan oleh masyarakat Islam dunia khususnya kerana ianya memberi kesan yang positif kepada pentadbiran Obama. Sikap memberi layanan yang sama kepada semua agama begitu tidak disenangi oleh sesetengah pihak di Amerika Syarikat. Namun Presiden Obama mempunyai pandangan ari sudut yang lebih positif serta dapat mendekati hati rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Mereka patut menghormati agama lain dan Islam bukan merupakan agama keganasan malah ianya bersifat sederhana. Ramai dikalangan orang Islam yang tidak bersetuju dengan keganasan yang dilakukan. Malah dikalangan pemimpin Islam mengutuk keganasan yang dilakukan sewaktu tragedi 9/11. Oleh itu semua pihak atau agama yang lain harus menghormati agama Islam sebagaimana Saudara yang beragama Islam menghormati mereka.

Wednesday, 11 August 2010

Berita Harian Online | Tak layan insentif tambahan

Berita Harian Online | Tak layan insentif tambahan

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Kepada semua rakan-rakan yang beragama islam di dalam dan luar negara, kesempatan ini diambil untuk mengucapkan Selamat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak.Semoga dibulan yang mulia ini, kita sama-sama dapat mempertingkatkan ibadah dan semoga ianya mendapat keberkatan Allah SWT.

Mohd Hisham Mohd Nor.