Tuesday, 15 October 2013

INSPIRASI WAWASAN

Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur atau lebih di kenali sebagai Inspirasi Wawasan(IW) adalah merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan nombor pendaftaran PPM-001-13052013. Inspirasi Wawasan sebagai badan bukan kerajaan atau NGO ini telah didaftar dengan rasminya pada 13 Mei 2013.

Matlamat utama Inspirasi Wawasan adalah memberi inspirasi kepada pelajar sekolah tentang kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan. Fokus utama adalah tertumpu kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah khususnya di luar bandar. Pelajar di luarbandar mempunyai peluang yang terhad untuk mendapatkan khidmat nasihat serta menyertai program motivasi. Lantaran dari itu, IW cuba mengenal pasti sekolah di kawasan luar bandar untuk mengadakan program inspirasi4u. Program inspirasi4u merupakan produk utama dalam menjenamakan Inspirasi Wawasan ke peringkat nasional.

Disamping itu, Inspirasi Wawasan juga mengadakan aktiviti kebajikan seperti program berbuka puasa dan memberi sumbangan kepada rumah anak yatim serta mengatur dan menganjurkan program lawatan sambil belajar untuk anak-anak yatim. Pihak Inspirasi Wawasan telah mengatur serta mengenalpasti rumah anak yatim yang baru serta kurang mendapat perhatian dari pihak tertentu.

Inspirasi Wawasan juga berperanan dalam mempromosi sukan-sukan tertentu dengan menganjurkan pertandingan. Sebagai contoh Ultra-Marathon agak asing kepada peminat sukan larian. Ia agak popular di Eropah dan Amerika yang mana pelari akan berlari sejauh 100 batu atau 100 km bagi satu tempoh masa yang ditetapkan.Beberapa sukan lain juga akan cuba diketengahkan dengan menganjurkan pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Adalah menjadi harapan agar Inspirasi Wawasan mendapat kerjasama dan sokongan khususnya penajaan dari syarikat korporat dan orang perseorangan.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan

Monday, 14 October 2013

SALAM AIDIL ADHA 1434 HIJRAH

Salam kepada semua rakan khususnya umat islam,

Salam Aidil Adha buat seluruh umat islam di saentero dunia. Semoga dapat melaksanakan ibadah korban dengan sempurna. Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."    (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Wassalam.

PENJENAMAAN SEMULA BLOG

Salam semua rakan blogger,

Sesuatu yang lama memerlukan pembaharuan. Ini bermaksud perubahan perlu dilakukakan dari masa ke semasa tidak kira kepada diri anda, keluarga atau organisasi. Ini kerana perubahan juga akan merpertingkatkan prestasi ke arah kejayaan. Anda tidak boleh berdiri di dalam zon yang selesa terlalu lama kerana kelak prestasi akan merundum. Oleh yang demikian dengan melakukan perubahan serta dalam persekitaran yang baru akan meningkatkan lagi prestasi khususnya dalam pembangunan diri, keluarga dan organisasi.

Merentasi Masa Merintis Perubahan merupakan penulisan awal saya. Kini blog hishambowling telah merentasi masa selama 6 tahun. Maka sudah tiba masanya untuk merintis perubahan. Penjenamaan semula blog ini kepada inspirasi4u merupakan episod baru dalam kehidupan saya. Aktiviti Bowling masih lagi menjadi darah dan daging dalam perjuangan kesukanan. Namun meneroka dan memahami plot yang baru merupakan satu anjakan yang perlu bagi memantapkan ilmu.

Mengambil kata-kata Blogger Kak Yah di enrti saya terdahulu, 'Jangan disia-siakan bakat yang ada, nanti kalau ditarik semula camner?' membuatkan saya terpanggil untuk menulis semula. Bukan mudah untuk kembali konsisten dalam penulisan dan sokongan dari rakan-rakan blogger yang lain akan memberi inspirasi kepada saya untuk menggiatkan semula aktiviti ini.

Aktiviti bertemu pelajar melalui Inspirasi Wawasan akan banyak memberi ruang dan idea untuk menulis dan seterusnya memberi inspirasi kepada mereka. Medium ini merupakan medan yang terbaik untuk berkongsi maklumat khususnya berkaitan ilmu. Jauhkan diri dari maklumat yang songsang dan boleh merosakkan minda anda.

Selamat melayari inspirasi4u dan membaca catatan dan enrti yang mendatang.

Sekian, wasallam.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan


Tuesday, 7 August 2012

Lama Menyepi

Salam semua rakan-rakan,

Sekian lama tidak menulis dan pensil hampir tumpul. Namun sempat meluangkan masa untuk membuat sedikit perubahan pada blog yang sudah berusia hampir 5 tahun. Diam tak diam, waktu berlalu begitu pantas sekali. Tetapi pada kali ini, saya akan menulis kembali dengan memberi pandangan-pandangan khususnya berkaitan sukan yang telah menjadi darah daging sejak kecil lagi. Turut diselitkan pandangan berkaitan isu-isu semasa termasuk ekonomi dan sosial. Mungkin diselitkan sedikit pandangan yang berkaitan politik asalkan ianya ditulis secara berhemah dan tidak menyentuh mana-mana pihak.

Penulisan sebenarnya dapat mengembangkan minda seseorang kerana sebelum menulis seseorang itu perlu berfikir apa yang hendak ditulis atau ia memberi pandangan atau menulis apa yang telah dibaca untuk dikongsi bersama. Matlamat utama di blog adalah untuk berkongsi pandangan yang mana akhirnya akan memberi faedah kepada semua kerana ianya dikongsi secara ikhlas.

Insyaallah, saya akan meneruskan kembali menulis dengan semangat baru kerana banyak yang boleh ditulis serta banyak yang boleh dikongsi secara bersama melalui penulisan dalam blog.

Sekian, wassallam.

hisham nor.

Monday, 6 August 2012

Tumpas bergaya...

Tahniah Datuk Lee Chong Wei yang meraih pingat Perak untuk di temasya sukan Olimpik di London. Walaupun harapan menggunung yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia namun beliau telah melakukan yang terbaik. Bukan mudah untuk menumbangkan Lin Dan yang begitu kebal pertahanannya dan jarang melakukan kesilapan.

Sememangnya nampak usaha yang telah dilakukan oleh Chong Wei tetapi kehebatan Lin Dan sememangnya tidak boleh dinafikan. Mereka berdua memang sama handal tetapi siapa yang banyak membuat kesilapan akan menerima padahnya. 

Kekuatan mental juga memainkan peranan yang penting dan sekali dapat kita lihat bagaimana kuatnya mental Lin Dan yang juga merupakan anggota tentera. Semangat beliau begitu kental walaupun pada satu ketika beliau ketinggalan dibelakang Chong Wei. Semangat juang ketenteraan beliau begitu ketara ketika menghadapi musuh seolah-olah dalam peperangan memperthankan maruah negara.

Apapun seluruh rakyat Malaysia, rata-rata berpuashati dengan pencapaian Chong Wei kerana beliau tumpas dengan bergaya dan beliau melalui laman twitter telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang menyaksilan dengan penuh harapan. Kita tunggu dan lihat apakah beliau mampu untuk bertanding di Olimpik seterusnya 4 tahun lagi di Brazil. Kami rakyat Malaysia sentiasa menyokong dibelakang Datuk Lee Chon Wei.

Hishamnor.