Wednesday, 31 December 2008

Selamat Tahun Baru 2009

Menjelang tengah malam ini, kita akan menyambut tahun baru 2009. Hanya tinggal 2 jam dan beberapa minit ketika blog ini di tulis kita akan menjejaki tahun 2009. Satu harapan serta azam yang baru diburu sementara azam 2008 yang tidak tercapai perlu diteruskan agar ianya tercapai. Kepada rakan-rakan serta anak-anak buah dalam sukan bowling, jadikan tahun 2009 ini satu semangat serta tanamkan keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Kegagalan yang lalu perlu dijadikan iktibar serta pengajaran dan fikirkan bagaimana untuk mengatasi kegagalan yang lalu agar ia tidak berulang di tahun baru ini.

Bagi yang telah mengecapi kejayaan atau mencapai sasaran, tingkatkan lagi usaha-usaha untuk terus berjaya sehingga mencapai tahap kegemilangan. Jangan biarkan prestasi yang merundum itu berterusan setiap tahun sehingga tiada pencapaian. Renungilah kesilapan yang lalu serta perbaiki dengan segera agar tahun 2009 ini membawa kejayaan. Setiap tahun kita berazam atau menanam keazaman namun jika ia tidak membawa perubahan pada setiap tahun maka tidak ada gunanya menanam keazaman.

Justeru itu, jadikanlah tahun 2009 sebagai tahun yang terbaik dan jangan biarkan ia berlalu sia-sia tanpa sebarang pencapaian.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakan-rakan yang berada di seantero dunia dan semoga azam baru 2009 akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 30 December 2008

Selamat Pengantin Baru Shalin dan Azidi

Malam tadi saya telah meluangkan masa untuk menghadiri majlis persandingan Shalin & Azidi yang diadakan di Dewan Sebaguna, Menara TM, Pantai Bahru. Majlis bermula pada jam 8.45 malam dan para hadirin serta keluarga telah mula membanjiri perkarangan Dewan seawal jam 7.45 malam lagi. Tema pakaian adalah warna putih dan rata-ratanya para hadirin yang hadir telah memberi sokongan dengan mengenakan pakaian serba putih pada majlis malam tersebut. Antara tetamu yang hadir adalah Dato' Zolkples Embong, Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato' Wira Mazlan, mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dan beberapa tetamu dari luar negara.

Majlis bermula tepat jam 8.45pm dan Zainal Abidin Rawop selaku pengacara majlis mengumumkan ketibaan pengantin disusuli dengan Salawat. Beberapa pemain Elit serta skuad gemilang turut hadir memeriahkan majlis persandingan Shalin dan Azidi.

Saya mendoakan kebahagian kepada kedua-dua pasangan yang saya kenali secara rapat ketika sama-sama berada di Sukan Asia, Doha pada tahun 2006. Semoga mereka dimurahkan rezeki, dikurniakan zuriat yang soleh hingga ke anak cucu.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 29 December 2008

Fun Bowling



Pada hari Sabtu yang lalu Kelab Bowling Kastam Putrajaya telah menganjurkan program Fun Bowling di Pusat Bowling, Warta Bangi. Seramai 14 orang ahli telah hadir menjayakan program yang menggantikan Sesi Latihan mingguan. Sambutan adalah baik dan walaupun kehadiran agak kecil tetapi dengan format yang baru ini telah memeriahkan lagi suasana di kalangan pemain. Jumlah kehadiran pemain mungkin lebih ramai sekiranya ia dibuat di luar cuti sekolah serta hujung tahun. Insyaallah Kelab akan meneruskan program ini pada bulan Januari nanti. Juara lelaki dimenangi oleh Sajar Reza Jaafar dan wanita dimenangi oleh Hamidah Ab. Latif.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah kepada semua rakan-rakan dan diharap agar kita dapat mengungkap kembali segala kesilapan serta kekurangan yang lampau agar dapat diperbaiki pada tahun baru ini. Semoga perkara yang silam di jadikan keinsafan buat diri kita untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik dan cemerlang pada tahun baru ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 25 December 2008

Selamat Hari Krismas

Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua rakan-rakan yang menganut agama kristian di seluruh negara malah di seluruh dunia. Semoga hari Krismas ini akan dapat mengeratkan hubungan antara kaum dan bangsa di negara ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 22 December 2008

Penutupan Kejohanan Asean University Games ke-14

Penutupan Kejohanan Sukan Universiti Asean ke-14 telah dijalankan dengan gilang-gemilang semalam dan syabas kepada Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) kerana telah menganjurkan dengan jayanya. Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bendera rasmi kejohanan kepada Thailand yang akan menjadi tuan rumah pada tahun 2010. Matlamat untuk menghimpunkan atlet-atlet universiti di kalangan negara Asean tercapai dan diharap ianya akan mengeratkan hubungan antara negara Asean.

Artikel sukan dari akhbar tempatan menarik perhatian saya untuk memberi pandangan berhubung dengan isu pingat emas yang dimenangi negara diraih tanpa saingan yang kuat, dalam erti kata yang lain dimenangi dengan mudah. Saya berpandangan ianya tidak menjadi isu malah kita perlu memberi sokongan serta pandangan yang positif. Berjaya atau gagal sekalipun, akan ada pihak-pihak yang akan memberi pandangan negatif. Pihak-pihak yang tertentu tidak pernah memberi pandangan yang positif dan ada saja isu yang ditimbulkan. Dalam keadaan sebegini bagaimana sukan di negara kita akan maju sejauh negara-negara di barat.

Para atlet di universiti hanya mampu untuk mewakili negara pada kejohanan ini setakat 2 kali sahaja di sepanjang tempoh pengajian mereka (tempoh pengajian sekitar 4-5 tahun). Selepas itu akan muncul atlet-atlet baru dan negara yang menguasai sesuatu acara itu berkemungkinan akan bertukar tangan. Jadi tidak timbul isu menang mudah atau lawan yang rapuh.

Isu insentif juga disentuh dan wajarkah atlet pada kejohanan ini menerima insentif. Menurut pihak yang tertentu, sukan ini adalah lebih kepada persahabatan dan bukannya pingat. Walaubagaimanapun saya berpandangan mereka yang beraksi dan telah berjaya mengharumkan nama negara wajar diberi pengiktirafan. Jika tak banyak sedikit pun tak mengapa dan mereka akan tetap menghargai usaha dan keringat mereka bertarung di peringkat antarabangsa. Mereka ini telah mengorbankan banyak masa serta meninggalkan penggajian buat seketika untuk memberi tumpuan pada sukan yang berprestij di peringkat universiti Asean ini.

Diharap semangat dan pencapaian 90 emas ini akan diteruskan apabila mereka beraksi di Tahilan pada tahun 2010 nanti.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 21 December 2008

9th Milo International Junior All-Stars

Kejohanan 9th Milo International Junior All-Stars yang berlangsung pada 19 hingga 28 Disember dijangka akan menarik minat ramai pemain-pemain dari luar negara termasuk Jasmine Yeong-Nathan dari Singapura yang telah menjuarai AMF World Cup pada bulan lalu. Kejohanan ini menawarkan hadiah yang lumayan di mana Johan bagi ketegori terbuka lelaki akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.00. Kategori terbuka wanita pula hadiah wang tunai RM17,000.00 akan menanti selaku johan kejohanan.

Kejohanan ini telah di ilhamkan oleh Holloway Cheah, Ketua Jurulatih pasukan negara pada tahun 2000 lagi. Sambutan yang diterima adalah sungguh menggalakan dan mendapat perhatian syarikat Nestle selaku pembekal minuman Milo untuk terus menaja kejohanan ini.

Pasukan Kuala Lumpur tidak ketinggalan untuk menghantar wakil ke kejohanan ini dan pemilihan telah diadakan minggu lalu. Kategori bawah 15 tahun dan bawah 12 tahun juga dipertandingkan dan ianya memberi peluang pemain di peringkat akar umbi untuk bertanding serta mendapat pendedahan diperingkat antarabangsa.

Mohd Hisham Mohd Nor.

36th Penang Pesta International Open

Zulmazran dan Sharon Koh masing-masing menjuarai kategori Lelaki dan Wanita pada Pesta Penang International Championship yang berakhir semalam. Zulmazran membawa pulang hadiah sebanyak RM10,000.00 manakala Sharon Koh mengutip sebanyak RM8,000.00. Ini merupakan kejuaraan antarabangsa yang kedua buat Zul pada tahun ini selepas menjuarai Terbuka Malaysia pada awal tahun ini. Zul dan Sharon pernah memenangi kejohanan antarabangsa bersama pada tahun lepas iaitu di kejohanan Terbuka Antarabangsa Taiwan.

Syabas buat Persatuan Tenpin Bowling Pulau Pinang yang telah menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya dan telah menganjurkan secara konsisten sejak 36 tahun yang lalu. Pulau Pinang merupakan negeri yang telah melahirkan bakat-bakat dalam bowling seperti Aaron Kong, Adrian Ang, Esther Cheah dan lain-lain lagi.

Bagi Sharon Koh, ini merupakan kejayaan kedua setelah beliau berjaya menjadi juara Chinese Taipei International Open pada bulan Oktober yang lalu. Cabaran beliau masih belum selesai dan terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk menghadapi saingan di 9th Milo International Junior All-Stars yang berlangsung pada 19 hingga 28 Disember di Megalanes, Sunway Pyramid.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Saturday, 20 December 2008

Sasaran Tercapai

Syabas kepada kontinjen Malaysia dan seluruh pasukan yang beraksi pada Sukan Universiti Asean kerana berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas. Setakat malam ini Kontinjen Malaysia berjaya mengutip 90 emas 78 perak 47 gangsa. Ianya memberi kelegaan kepada Chef de mission Datuk Prof Dr. Alias Mohd Noor kerana berbaki 2 hari sahaja lagi Kontinjen Malaysia telah berjaya melepasi sasaran. Acara renang muncul sebagai penyumbang terbanyak pingat emas iaitu 23 pingat diikuti menembak yang menyumbangkan 13 pingat emas. Olahraga pula menyumbangkan 9 pingat emas. Masih ada beberapa acara lagi yang mampu untuk menyumbangkan kilauan emas buat negara dan harapan untuk mencapai ke angka 100 agak cerah.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Selamat Pengantin Baru buat Noor Hafidzah

Saya ingin mengucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru kepada Noor Hafidzah Binti Hj. Bakar yang akan melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya Noorazman Bin Hj. Sudin pada 20 Disember 2008. Majlis perkahwinan diadakan di rumah keluarganya di Taman Air Molek, Melaka. Saudari Noor Hafidzah adalah merupakan ahli Kelab Bowling Kastam Putrajaya dan beliau adalah ahli yang aktif dan tidak ketinggalan pada setiap program kelab terutamanya sesi latihan mingguan yang diadakan tidak lama dulu. Saya mendoakan kebahagian rumahtangga buat Hadfizah dan suami hingga ke anak cucu.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 19 December 2008

Sebutir pingat emas di penghujung

Acara tenpin bowling Sukan Universiti Asean yang berlangsung sejak jumaat yang lalu berakhir semalam dengan menyaksikan Singapura menguasai keseluruhan dengan 6 emas 3 perak dan 3 gangsa. Thailand berada ditempat kedua dengan pungutan 5 emas 3 perak 4 gangsa. Malaysia hanya mampu berada di tempat ketiga dengan 2 emas 7 perak 6 gangsa. Zatil Iman menutup tirai pungutan emas Malaysia apabila beliau memenangi acara Master's Women. Acara Master's Men pula dimenangi oleh Sithiphol Kunaksorn dari Thailand. Zatil Iman gagal untuk memunggut satu lagi pingat emas menerusi acara All-event di mana beliau mendapat pingat perak. Pingat emas dimenangi oleh Cherie Tan dari Singapura. Sithiphol dari Tahiland sekali lagi naik ke podium untuk pingat emas kedua beliau di hari terakhir bagi acara Men's All-event.

Apa pun tahniah buat Shafiq dan Zatil kerana mengutip pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean pada kali ini. Jika dilihat dari pungutan, Malaysia mempunyai banyak peluang dan berakhir dengan pingat perak. Jumlah pungutan pingat yang tidak memberangsangkan ini perlu menjadi perhatian pengurusan pasukan bowling Malaysia. Ditambah dengan kehadiran hanya 3 pasukan sahaja yang menyertai acara ini (tidak termasuk tuan rumah), ianya dianggap dibawah pencapaian yang sebenar. Namun jurulatih pasukan mempunyai alasan yang tersendiri mengapa skuad kali ini gagal menyengat walaupun di hari pertama ia kelihatan seperti bakal menguasai kejohanan. Pingat emas pertama yang dikutip oleh Shafiq di hari pertama diibarat sebagai amaran awal kepada semua pasukan yang lain bahawa Malaysia bakal mengegarkan arena bowling Sunway. Semangat pasukan yang membara itu tidak berpanjangan dan Malaysia gagal untuk mengutip pingat emas sehingga ke hari terakhir apabila Zatil Iman menjuarai acara Master's.

Saya berharap agar lebih banyak negara akan menyertai acara tenpin bowling pada temasya sukan yang akan datang. Kita tidak dapat menyaksikan kemeriahan acara sukan tersebut dengan hanya empat pasukan. Penganjur perlu menetapkan bilangan minimum pasukan samada ianya perlu diteruskan atau tidak. Jika sekadar 2 pasukan bermain untuk sesuatu acara, sebagai contohnya silat, maka ianya tidak memberi saingan yang sebenar. Oleh itu perlu di wujudkan bilangan minimum pasukan untuk sesuatu acara itu sebelum ianya di pertandingkan.

Kepada pasukan Malaysia, syabas di atas usaha dan keringat yang telah dilakukan dan cuba lagi di masa atau di temasya yang akan datang.

Mohd Hisham Mohd Nor.