Saturday, 25 April 2009

JTi Walk A Hunt 2009




Pagi tadi saya bersama rakan-rakan iaitu Haizam dan Razif telah berkesempatan untuk menyertai JTi Walk A Hunt 2009 yang diadakan di Le Meridien, KL Sentral. Ramai rakan-rakan dari agensi lain seperti Bomba, Agensi Atom, MITI, MIDA dan Polis turut serta menjayakan aktiviti ini. Ianya merupakan kali kedua aktiviti ini diadakan dan jika anda semua ingat, saya ada melaporkan aktiviti ini pada 5 April 2008 yang mana ianya diadakan di KLCC.

Kali ini ianya berbeza sedikit di mana para peserta bersarapan seawal jam 7.30 pagi di Le Meridien dan mula bergerak dengan menaiki LRT KL Sentral menuju ke stesen Masjid Jamek. Starting Point bermula di OCBC Stesen Masjid Jamek dan para peserta berjalan sehingga ke Mid Point iaitu di Stesen Monorail Medan Tuanku yang bersebelahan dengan Hotel Sheraton. Dari sana peserta dibekalkan dengan soalan pusingan kedua dan berjalan sehingga ke Stesen LRT Masjid Jamek melalui sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk mencari jawapan. Keseluruhannya mengambil masa 3 jam dan perlu sampai semula ke Le Meridien pada atau sebelum 12.15 tgh.

Secara keseluruhannya saya bersama ahli pasukan yang terdiri dari Haizam dan Razif merasakan cabaran yang amat hebat pada tahun ini kerana soalan yang dikemukakan amat mengelirukan dan kami terpaksa mengambil masa yang agak lama. Perjalanan agak jauh dan sangat letih. Saya merasakan ianya sangat letih dari bermain golf 9 lubang dengan berjalan kaki. Namun segalanya dapat diatasi dengan kerjasama dan semangat berpasukan dikalangan kami semua. Soalan yang dikemukakan pada tahun lalu agak mudah dan mengambil masa yang singkat untuk dihabiskan. Namun ini yang dinamakan cabaran dan ianya menguji ketahan mental dan fizikal.

Diakhir pertandingan semuanya menikmati jamuan makan tengahhari di Le Meridien. Tiada satu pun pasukan dari KDRM yang menduduki 3 tempat teratas. Namun masing-masing telah menanamkan azam untuk mencuba lagi di tahun akan datang. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor.


Thursday, 23 April 2009

Sukan Wilayah Persekutuan

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Sukan Wilayah Persekutuan (SWiP) pada bulan Jun ini. Beberapa sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma 2010 dijangka akan dipertandingkan pada SWiP nanti. Ini merupakan kali kedua SWiP dianjurkan dan kali pertama adalah pada tahun 2007.

Acara Tenpin Bowling tidak ketinggalan dalam Sukan SWiP pada kali ini dan ianya bakal akan dilangsungkan pada 10-13 Jun di Megalanes Endah Parade. Sebanyak lebih 15 pasukan akan bertanding pada pertandingan kali ini dan ianya terdiri dari pasukan Remaja Kebangsaan yang terdiri dari pemain asal Kuala Lumpur, pemain program sukan prestasi tinggi MSN dan MSWP serta pemain dari program Megalanes Kuala Lumpur. Pasukan Wilayah Persekutuan Labuan juga telah mengesahkan untuk turut serta pada kejohanan kali ini.

Saya juga turut mempersiapkan 2 pasukan lelaki dan 1 pasukan wanita dari program sukan prestasi tinggi Wilayah Persekutuan. SWiP adalah merupakan landasan bagi menyaksikan serta menilai tahap prestasi pemain sebelum mereka terpilih untuk menyertai sesi latihan Sukma 2010. Secara peribadi saya merasakan prestasi pemain Wilayah Persekutuan semakin matang dan mereka semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan. Ini adalah kerana banyak pendedahan yang telah diberikan kepada pemain termasuk menyertai kejohanan yang bertaraf kebangsaan.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 2 April 2009

Sesi Latihan USPTN

Malam tadi saya memulakan sesi latihan yang pertama bagi pelatih-pelatih Sukan Prestasi Tinggi Negeri (dahulunya dikenali sebagai Sukan Teras). Saya rasa bersyukur kerana pada kali ini saya mengendalikan pelatih-pelatih di dalam kumpulan yang lebih kecil dari sebelumnya. Seramai 10 orang pelatih dari 12 orang kesemuanya telah melaporkan diri semalam di Pusat Latihan di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade.

Sesi dimulakan dengan sesi pengenalan para pelatih yang mana ianya adalah gabungan pemain baru dan lama. Ada diantaranya pernah mendapat bimbingan dari saya sewaktu mereka di dalam program Sukan Teras bawah 12 tahun dan mereka ialah Atiq Bazil, Siti Zulaikha dan Amirul Radzi.

Program ini tidak berbeza dengan program AA dan AAA yang telah bermula pada bulan Mac. Kedua-duanya dikendalikan secara bersama oleh KLTBA dan MSWP dan yang bezanya program yang dikendalikan oleh saya dibiayai oleh MSWP dan AA dan AAA dibiayai oleh MSN. Sesi latihan ini diadakan 2 kali seminggu iaitu pada hari Rabu jam 8.00 malam dan Ahad 6.00 petang. Program ini akan berjalan sehingga bulan November 2009.

Modul dan corak latihan adalah sama dan mengikut kehendak atau ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara dan yang bezanya adalah pendekatan yang akan saya ketengahkan pada musim ini. Saya cuba membuat beberapa perubahan dan ianya perlu dilakukan pada peringkat awal ini bagi mendisiplinkan para pelatih. Jika dulu tumpuan hanya pada skill pemain tetapi kini saya cuba memberi pendedahan kepada pemain dalam aspek persediaan mental. Saya akan cuba memberi input serta teknik ketahanan mental kepada pemain pada musim ini dan diharap dengan gabungan skill, teknik serta mental, para pelatih akan lebih bersedia menghadapi sebarang kejohanan.

Perbincangan dengan ibu-bapa turut diadakan semalam bagi mendapat maklumbalas berhung dengan program ini dan saya turut menjelaskan tentang modul yang akan saya ketengahkan dan rata-rata memberi sokongan. Saya berharap agar sokongan dari ibu-bapa serta pelatih-pelatih akan memberi satu suntikan baru kepada saya untuk bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan kecemerlangan pemain. Saya juga menasihat pemain agar memanafaatkan tempoh 6 bulan ini untuk berlatih dengan bersungguh-sungguh agar hasilnya nanti kan dapat mengembirakan semua pihak.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 29 March 2009

Unit Sukan Prestasi Tinggi Wilayah Persekutuan

Baru-baru ini, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) telah pun meluluskan peruntukan untuk menambah program latihan tenpin bowling seramai 12 orang untuk kategori A dan AA. Tapisan untuk memilih pemain sedang dilakukan dan beberapa nama telah pun dikemukakan kepada MSWP untuk kelulusan. Insyaallah sekiranya tiada halangan, pemain-pemain ini akan memulakan latihan pada 2 April ini (Khamis) dan venue bagi sesi latihan adalah di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade, Sri Petaling.

Sesi latihan ini akan dikendalikan oleh saya sendiri dan modul untuk sesi latihan berada pada fasa terakhir untuk disiapkan. Pada kali ini saya akan lebih menumpukan pada kemahiran pemain dan juga ketahanan mental bagi memastikan pemain bersedia menghadapi sebarang cabaran. Kebanyakkan pemain pada kali ini adalah gandingan pemain baru dan lama dan purata umur pemain adalah diantara 11 hingga 15 tahun.

Sebelum ini program latihan Unit Sukan Prestasi Tinggi Majlis Sukan Negara telahpun memulakan latihan pada bulan Mac dan seramai 38 orang pemain telah terpilih masing-masing kategori AA dan AAA. Bagi katgori AA, pemain dibimbing oleh Saudara Y.K. Choo manakala AAA dibimbing oleh Dzulkarnain Sapian.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 28 March 2009

Kejohanan Bowling Jemputan KBKPj






Pagi tadi telah berlangsungnya Kejohanan Jemputan Kelab Bowling Kastam Putrajaya di Ampang Superbowl, IOI Mall, Puchong. Seramai 40 orang ahli kelab dan 8 pasukan jemputan telah mengambil bahagian serta memberi sokong kepada program ini. Kejohanan in telah dirancang beberapa ketika dahulu tetapi tertangguh atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya bersyukur ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna dan berakhir dengan jayanya. 3 kategori dipertandingkan iaitu individu lelaki dan wanita (ahli kelab) dan jemputan. Saya beserta Nazri Che Ani dan Hamidah bertanding sebagai pasukan Trio jemputan manakala ahli jawatankuasa yang lain bertanding dalam kategori individu.

Juara bagi kategori Individu lelaki adalah Saudara Sobri dari pencegahan dan kategori Individu wanita ialah Rosmanorazlia dari Cukai Dalaman. Pasukan jemputan pula dimenangi oleh pasukan dari Telekom Malaysia TM. Hadiah bagi kategori Individu lelaki telah disampaikan oleh Saudara Nazri Che Ani, Timbalan Presiden KBKPj dan Saudari Hanizah Zainal, Setiausaha Kelab telah menyampaikan hadiah untuk kategori wanita. Hadiah bagi kategori jemputan telah disampaikan oleh saya sendiri.

Insyaallah, jawatankuasa akan bersidang pada Isnin ini untuk melakukan post-mortem bagi mengenal pasti beberapa kelemahan serta penambahbaikan. Saya akan mengumumkan satu lagi projek besar KBKPj dalam masa terdekat ini dan beberapa siri perbincangan telah pun diadakan untuk menjayakannya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Thursday, 26 March 2009

Lama Menyepi

Sudah agak sekian lama saya menyepi dari menulis terutama di dalam blog ini. Saya agak sibuk beberapa ketika ini sehingga menghadkan waktu saya untuk menulis blog serta memberi pandangan berhibung dengan sukan terutama di peringkat kebangsaan. 2 minggu kebelakangan saya sibuk menguruskan perjalanan pemain luar negara yang menyertai 32nd Canon Malaysian International Open 2009 yang berlangsung di Megalanes Sunway, Petaling Jaya. Ianya merupakan acara tahunan anjuran Kongress Tenpin Bowling Malaysia. Ramai pemain-pemain profesional dari Amerika Syarikat telah mengambil bahagian dan ini telah memeriahkan lagi kejohanan tersebut. Diantara pemain tersebut Bill Hoffman, Lucas Wiseman, Cassidy, Linda Barnes, Carolyn Ballad yang sebelum ini saya hanya mengenali melalui kaca TV. Pemain-pemain Thailand, Singapura, UAE, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, India juga tidak ketinggalan menyertai kejohanan pada kali ini.

Projek seterusnya adalah kejohanan bowling jemputan Kelab Bowling Kastam Putrajaya yang akan diadakan pada 28 Mac 2009. Diharap ahli-ahli kelab sama-sama memeriahkan lagi kejohanan pada kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 26 January 2009

Gong Xi Fa Chai

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina dan Gong Xi Fa Chai kepada semua rakan-rakan Tiong Hua yang merayakan perayaan ini. Semoga tahun ini iaitu tahun lembu akan memberi lebih kebahagian serta rezeki yang baik. Semoga juga ianya memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada seluruh penduduk dunia sejagat.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 23 January 2009

Pemilihan Pemain Program Sukan Prestasi Tinggi Negeri

Sesi pemilihan pemain untuk Program Sukan Prestasi Tinggi Negeri (SPTN) telah diadakan di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade, Sri Petaling pada hari Selasa yang lalu. Pada sesi tersebut menyaksikan ramai pemain-pemain baru yang hadir untuk mencuba nasib serta pemain-pemain lama yang ada di dalam program. Pemilihan di lakukan oleh jurulatih negara Foong Tak Meng, Jackson dan Allan Chia. Hanya 2 program sahaja yang akan diadakan iaitu AA(bawah 15 tahun) dan AAA(bawah 18 tahun) yang membabitkan 18 orang pemain bagi setiap program.

Keputusan pemilihan akan diketahui pada akhir bulan Februari apabila panel pemilihan selesai menjelajah ke seluruh negara utnuk melakukan pemilihan ke negeri-negeri. Sesi latihan yang pertama akan bermula pada bulan Mac 2009.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Fun Bowling Siri 1

Ahad yang lalu Kelab Bowling Kastam Putrajaya telah menganjurkan Fun Bowling Siri 1 untuk tahun 2009. Acara ini telah diadakan di Megalanes Kuala Lumpur, Endah Parade, Sri Petaling. Seramai 16 orang telah hadir menyertai aktiviti pada kali ini dan pihak penganjur telah membawa acara ini ke beberapa venue agar para pemain dapat bermain di lane yang berbeza serta sekitaran yang berbeza. Ianya akan memberi pengalaman kepada pemain bermain di gelanggang yang berbeza. Acara ini akan diteruskan pada bulan yang seterusnya. Johan bagi kategori wanita ialah Hamidah, kedua Hanizah dan ketiga Rosmanoraliza. Johan bagi kategori lelaki pula adalah Sobrie, kedua Nadzri Che Ani dan ketiga Ramli Othman.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 16 January 2009

Puteri Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Tahniah buat Cheryl Cheong Pui Yee yang telah berjaya mendapat pingat emas bagi acara Women's All-Event dengan menewaskan Siti Safiyah dari Selangor. Kejayaan ini amat bermakna buat diri beliau dan merupakan hadiah tahun baru 2009. Ianya permulaan yang baik buat beliau untuk terus mengharungi cabaran 2009 serta memburu beberapa kejuaraan pada tahun ini. Saya secara peribadi amat berbangga dengan pencapaian konsisten beliau sejak bulan Mei tahun yang lalu apabila memenangi pingat emas bagi kategori all-event di Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu. Kejayaan beliau diteruskan apabila menjuarai kategori Girl's Open di peringkat akhir Junior All-Star di Kuantan, Pahang pada bulan Ogos 2008.

Saya mengenali beliau apabila menjadi Pengurus untuk pasukan Kuala Lumpur pada kejohanan Sukan Wanita yang pertama pada tahun 2005 dan pada ketika itu beliau baru berusia 14 tahun atau di tingkatan 2. Beliau telah menunjukkan kematangan dan berjaya mengawal diri terutama dari aspek psikologi ketika bertanding.

Pada tahun ini juga beliau telah diserapkan ke dalam pasukan Remaja Kebangsaan dan berlatih dibawah bimbingan jurulatih remaja kebangsaan, Saudara Allan Chia. Harapan saya adalah untuk melihat beliau pergi lebih jauh dan memburu sebanyak kejuaraan yang mungkin untuk tahun 2009 ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Kejohanan Antara Negeri ke-22

Pada hari Rabu yang lalu berakhir sudah Kejohanan Antara Negeri ke-22( National Interstate Championship) yang berlangsung di Sunway Megalanes, Petaling Jaya. Pasukan Tenpin Bowlling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berjaya meraih 3 pingat emas, 1 perak dan 3 gangsa. Pingat emas diperolehi menerusi acara beregu lelaki (Shafiq Ridhwan dan Syimir Abdul Razak), berpasukan lelaki ( Qusyairi, Yusof, Faliq Aimran dan Firdaus) dan all-event wanita (Cheryl Cheong).

Pada keseluruhannya, pasukan WPKL menduduki tempat ketiga dibelakang Pulau Pinang yang menduduki tempat kedua. Juara keseluruhan seperti yang dijangka adalah Selangor. Walaubagaimanapun dari segi pungutuan pingat menampakkan kemerosotan pasukan Selangor yang hanya mendapat 4 pingat emas dengan 40 mata. Pasukan WPKL hanya ketinggalan 3 mata di belakang Pulau Pinang. Pasukan WPKL pada tahun lalu berjaya meraih 4 emas 2 Perak dan 1 Gangsa serta menduduki tempat kedua bagi acara keseluruhan.

Ketiadaan beberapa pasukan seperti Sarawak, Labuan dan Kelantan menampakkan sedikit kesuraman pada temasya kali ini. Pasukan-pasukan ini tidak dapat menyertai kejohanan pada kali ini kerana masalah kekangan kewangan. Sarawak mempunyai ramai pemain-pemain yang hebat dan pada tahun yang lalu pasukan Sarawak menduduki tempat ketiga keseluruhan dibelakang WPKL. Namun situasi ini amat merugikan para pemain di negeri yang terbabit, apatah lagi kejohanan ini hanya diadakan sekali setahun dan inilah masanya untuk pemain mempamerkan kehebatan di peringkat kebangsaan.

Pada tahun ini juga menyaksikan ramai pemain-pemain senior beraksi dalam Men's Category. Hanya beberapa negeri sahaja yang menyenaraikan pemain program sukan prestasi tinggi di dalam kategori ini. Ini hanyalah strategi bagi setiap negeri untuk memperoleh kejayaan dan saya berpandangan ramai lagi pemain-pemain di dalam program yang perlu di beri pendedahan di peringkat kebangsaan ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.