Tuesday, 29 December 2009

Terima kasih Y.B Menteri

Catatan saya kelmarin memberi pandangan berhubung dengan cukai rokok yang dicadangkan untuk disalurkan kepada sukan bolasepak. Persoalannya mengapa sukan bolasepak yang mendapat manfaat dan bagaimana dengan sukan-sukan yang lain. Mereka juga berhak dan ada diantaranya telah mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berjanji akan menggunakan dana Tabung Pembangunan Bolesepak yang diperoleh daripada cukai rokok untuk disalurkan ke sukan lain, terutama yang berpotensi untuk menyerlah serta aktiviti belia.

Saya amat menyambut baik dan percaya kerajaan juga adil serta perihatin dengan sukan-sukan lain. Sukan tenpin bowling misalannya telah banyak mengharumkan negara terutama di kejohanan di peringkat dunia. Dana yang disalurkan tidaklah semewah sukan-sukan yang lain dan tenpin bowling masih mampu menggegarkan dunia dengan kejayaan-kejayaan diperingkat dunia. Disamping itu skuad tenpin bowling masih menggunakan khidmat jurulatih tempatan dan bukan jurulatih import seperti sukan yang lain. Semoga dana yang bakal diberi ini akan dapat membangunkan lagi sukan bowling.

Dana yang disalurkan nanti diharap akan dapat digunakan untuk tujuan pembangunan. Program Sukan Teras yang pernah diasaskan oleh Y.B Dato Azalina (Menteri Belia dan Sukan ketika itu) adalah satu program yang baik. Malangnya ia tidak diteruskan kerana beberapa masalah yang tidak dapat saya pastikan. Program mencungkil bakat di peringkat akar umbi itu perlu kerana ianya dapat memastikan kesinanbungan kejayaan sukan tersebut.

Melalui program Sukan Teras, Pelatih-pelatih yang berusia 12 tahun ke bawah diberi latihan 3 kali seminggu untuk tempoh 10 bulan dalam setahun. Mereka ini dilatih oleh jurulatih yang bertauliah serta diiktirafkan oleh Majlis Sukan Negara dan Badan Induk Sukan Kebangsaan. Program yang tersusun sebegini akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bertaraf dunia pada satu hari nanti.

Syabas sekali lagi kepada Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan atas keperihatinan beliau terhadap sukan lain yang memerlukan bantuan. Semoga dana yang disalurkan nanti akan digunakan sebaik-baiknya untuk kemajuan atlet-atlet tanahair.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 28 December 2009

Cukai rokok untuk bolasepak

Kejayaan pasukan bolasepak Malaysia mengutip pingat emas pada Sukan Sea di Laos baru-baru ini memberi harapan baru kepada sukan bolasepak di Malaysia. Segala kritikan pedas serta hentaman-hentaman yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan terhenti seketika. Muncul suara-suara yang memuji kehebatan skuad bolasepak kebangsaan dan secara tidak langsung skuad bolasepak meraih populariti sebagai sukan nombor satu Malaysia.

Kejayaan anak buah Rajagobal sememangnya perlu diberi pengiktirafan kerana pemain telah bertungkus lumus dengan penat dan keringat yang tidak terhingga. Pemain-pemain gigih dalam menghadapi cabaran di peringkat kumpulan untuk menghadapi pasukan-pasukan yang handal. Walaupun tewas kepada Vietnam di peringkat kumpulan, ianya tidak melemahkan semangat pemain untuk bangkit semula apabila bertemu Vietnam pada perlawanan akhir.

Kelmarin Kementerian Belia dan Sukan akan mencadangkan kepada kabinet agar sebahagian daripada hasil kutipan cukai rokok disalurkan untuk pembangunan bolasepak.

Persoalan yang ingin saya kongsi pandangan adalah pertamanya mengapa cukai rokok untuk membangunkan bolasepak dan keduanya mengapa penumpuan diberi kepada pembangunan bolasepak sahaja.

Sememangnya cadangan tersebut baik serta mampu memajukan bolasepak. Dana atau sumber kewangan yang kukuh memainkan peranan yang penting dalam pembangunan bolasepak. Ini dapat dilihat dinegara barat dan Eropah dimana wang yang besar dilaburkan dalam bolasepak dan ianya menjadi sebuah industri yang besar.

Saya berpandangan semua cukai yang dikutip oleh kerajaan akan disatukan dibawah satu tabung dan saya tidak faham mengapa ianya dikaitkan dengan cukai rokok. Jika dahulu syarikat rokok diberi pengecualian cukai apabila menaja sesebuah pasukan sukan. Pengecualian cukai ini pula bukannya cukai rokok tetapi cukai korporat. Oleh yang demikian mengapa cukai rokok semata-mata dicadangkan untuk tujuan bolasepak.

Apabila satu ketika dahulu Dunhill menaja hampir RM30 juta kepada FAM untuk tujuan bolasepak khususnya, ianya bukanlah sumber dari cukai rokok tetapi cukai korporat.

Ianya merupakan dua cukai yang berbeza kerana cukai rokok yang terdiri daripada cukai jualan dan duti eksais  dipungut oleh Kastam Diraja Malaysia. Ianya bermaksud duti eksais dikenakan keatas tembakau manakala cukai jualan dikenakan keatas pengilangan membuat rokok. Cukai korporat pula dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari pendapatan tahunan yang diperolehi oleh syarikat. Namun kedua-duanya akan digabung dalam satu dana perbendaharaan.

Oleh yang demikian saya berpandangan tiada cukai yang khusus perlu digunakan untuk tujuan bolasepak kerana cukai-cukai tersebut akan digabung dibawah satu dana.

Saya juga kurang memahami mengapa sukan bolasepak sahaja perlu diberi perhatian dan diberi bantuan. Sukan-sukan lain yang lebih berjaya serta banyak mengharumkan nama negara juga jangan dipinggirkan.

Sukan seperti squash, tenpin bowling, lawn bowl, lumba basikal, badminton serta beberapa sukan lagi juga perlu diberi perhatian kerana sukan-sukan ini telah banyak mengharumkan nama negara dipersada antarabangsa. Oleh yang demikian sukan-sukan lain juga perlu diberi bantuan untuk tujuan pembangunan. Dalam konteks ini juga, syarikat swasta perlu memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sukan negara.

Sebagai perbandingan di beberapa negara, ada kerajaan yang tidak memberi bantuan kepada badan-badan sukan. Sebagai contoh di Singapura, saya difahamkan di dalam sukan tenpin bowling apabila pemain mereka memenangi pingat emas dalam pada sukan Asia, syarikat korporat yang menghulurkan insentif kepada pemain yang berjaya. Begitu juga di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan negara yang kaya dengan minyak, sukan dibiayai oleh pedagang-pedagang tempatan yang meminati sukan-sukan tertentu. 

Kesimpulannya beban kewangan untuk memajukan sukan bukan terletak dibahu kerajaan. Syaraikat swasta perlu tampil memberi bantuan dalam memajukan sukan negara. Syarikat-syarikat besar ini mendapat kontrak dari kerajaan dan tiba masanya untuk menunaikan tanggungjawab membantu kerajaan dalam memajukan sukan.

Mengapa cukai rokok untuk sukan bolasepak, tidak dapat dipastikan dan sama-sama kita lihat perkembangan yang seterusnya.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 27 December 2009

Selamat Pengantin Baru…

Saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Saudara Dzulham, Penolong Penguasa Kastam yang bertugas di Cawangan Pentadbiran Am, Ibu Pejabat yang melangsungkan perkahwinannya pada hari ini.

Saya menerima panggilan telefon dari beliau pada hari jumaat malam bagi memaklumkan hari perkahwinannya.

Saudara Dzulham adalah merupakan Ahli Jawatankuasa Kelab Bowling Kastam Putrajaya yang aktif dalam menjayakan aktiviti-aktiviti kelab.

Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis berkenaan kerana berada di Seremban atas urusan keluarga. Namun saya mendoakan semoga Saudara Dzulham bahagia bersama isteri hingga ke akhir hayat.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Universiti Sukan

Kelmarin saya memberi pandangan berhubung dengan Sekolah Bolasepak dan hari ini saya terpanggil untuk membincangkan atau memberi pandangan tentang Universiti Sukan.

Cadangan mewujudkan Universiti sukan ini telah dibangkitkan sewaktu Konvensyen Sukan Kebangsaan 2008 lagi. Namun sewaktu Konvensyen Sukan Kebangsaan beberapa hari yang lalu, Kementeraian Pengajian Tinggi telah menolak cadangan tersebut. Sebaliknya kementerian menggangap penubuhan lebih banyak fakulti sukan di 10 universiti sedia ada sudah cukup untuk memenuhi keperluan negara.

Kita perlu melihat objektif penubuhan sesebuah universiti tersebut. Sebagai contohnya, mengapa universiti tentera atau Universiti Pertahanan Nasional Malaysia diwujudkan atau mengapa universiti multimedia diwujudkan, begitu juga dengan universiti yang lain mengkhususkan bidang-bidang tertentu.

Sekiranya penubuhan Sekolah Sukan adalah untuk menghasilkan atlet berpotensi serta bertaraf dunia, begitu juga dengan Universiti Sukan. Keadaan ini memerlukan satu kesinambungan di mana pelajar-pelajar yang berjaya atau cemerlang di Sekolah Sukan akan melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Sukan. Modul atau kurikulumnya pula ditambahbaik atau dipertingkatkan sesuai dengan tarafnya sebagai sebuah universiti.

Universiti Sukan ini perlu kerana ianya dapat melahirkan para atlet yang berpendidikan tinggi serta berpengetahuan. Ianya dapat menyatukan semua atlet-atlet dalam pelbagai bidang dibawah satu bumbung dan mereka ini dapat bertukar pandangan demi untuk memajukan sukan negara.

Difahamkan Kementerian Pengajian Tinggi mengkhusus sukan-sukan tertentu di setiap universiti di Malaysia. Universiti Malaysia misalannya akan di jadikan pusat untuk sukan bola jaring, Universiti Putra sukan ragbi, UUM sukan golf, Universiti Teknologi Malaysia sukan bolasepak, Universiti Malaysia Sabah sukan Taekwando, Universiti Sains Malaysia sukan renang dan beberapa sukan lagi di beberapa buah universiti.

Keadaan sebegini tidak dapat memusatkan kesemua sukan ini dibawah satu pengurusan.  Sekiranya Universiti Sukan diwujudkan, ianya dapat memantau prestasi atlet dalam pendidikan dan juga sukan. Program-program motivasi atau brainstroming di kalangan semua atlet dalam pelbagai sukan dapat diadakan. Seperti yang saya cadangkan tadi, mereka dapat bertukar pandangan sesama atlet demi untuk memajukan sukan negara. Atlet di peringkat universiti mempunyai idea serta pandangan yang luas sebagai mahasisawa dan sudah pastinya idea mereka ini akan dapat membantu membangunkan sukan negara.

Modul latihan juga boleh dirangka bagi memenuhi jadual pertandingan atlet untuk mewakili negeri atau negara agar jadual pembelajaran mereka tidak terjejas. Keseragaman modul pembelajaran juga penting kerana setiap universiti mempunyai dasar atau polisi yang tersendiri. Oleh itu, mereka di universiti yang tertentu mungkin mendapat pembelajaran yang berbeza.

Kesimpulannya disini, Universiti sukan dapat memainkan peranan yang penting untuk pembangunan sukan negara. Banyak kajian-kajian yang khusus dalam bidang sukan dapat dilakukan dan hasil dari kajian dan penyelidikan tersebut akan dapat memberi impak kepada mutu sukan negara. Keadaan ini terbukti dinegara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang mewujudkan Universiti Sukan dan hasilnya begitu memberangsangkan. Kita tidak boleh bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) sahaja kerana kedua-dua badan ini mempunyai skop yang luas dalam bidang sukan. Dalam konteks ini kajian yang dijalankan di peringkat universiti adalah penting sekali dan saya percaya ianya akan memberi kesan yang begitu signifikan. Insyaallah saya akan memberi pandangan berhubung kajian-kajian sukan serta kesan terhadap mutu pencapaian atlet.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 26 December 2009

Sekolah Bolasepak

Di Malaysia, se-ingatan saya belum ada lagi Sekolah Bolasepak yang mengkhususkan sukan bolasepak. Pada ketika ini, kita mempunyai sekolah sukan di Bukit Jalil dan Bandar Penawar di Johor. Sekolah-sekolah tersebut tidak mengkhususkan sukan-sukan tertentu tetapi ianya meliputi hampir kesemua sukan di Malaysia.

Saya tertarik dengan cadangan Dato Wira Syed Ali Al-Habshee, Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras supaya kerajaan membuat pelaburan jangka panjang dengan mewujudkan sekolah bolasepak diluar negara. Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan memilih 20-30 pelajar yang berbakat dan berusia 12 tahun menyertai sekolah ini.

Mewujudkan sekolah bolasepak di luar negara memerlukan belanja yang sangat besar dari segi kemudahan padang, gymnasium, tempat tinggal, persekolahan pelatih, pengangkutan, jurulatih serta banyak lagi logistik serta keperluan yang perlu dipertimbangkan.

Disamping belanja yang besar, kerajaan pula perlu menanggung kos pengaliran wang keluar negara dan sudah pasti kosnya akan mencecah jutaan ringgit dan sudah tentu ianya tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Saya berpandangan sekolah sukan sememangnya perlu diwujudkan untuk tujuan pembangunan bolasepak negara. Ianya memadai jika diwujudkan dalam negara kerana kita boleh mendapatkan sebidang tanah yang sesuai untuk dijadikan kompleks sekolah bolasepak. Kosnya pula mungkin tidak sebesar kos dilaksanakan diluar negara.

Persatuan-persatuan sukan bolasepak di setiap negeri juga boleh mewujudkan sekolah bolasepak negeri dan kerajaan negeri disarankan agar membantu sekolah bolasepak ini. Oleh itu usaha ini sepatutnya tidak dibebankan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) sahaja. Banyak pihak yang perlu terlibat jika benar-benar serius untuk melaksanakan sekolah bolasepak ini.

FAM dan persatuan bolasepak negeri perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan serta agensi-agensi berkaitan agar ianya dapat direalisasikan. Begitu juga dengan syarikat korporat yang berminat dapat sama-sama menjayakan program sekolah sukan ini.

Satu kurikulum yang khusus juga perlu dirangka dan ianya fleksibal serta dapat disesuaikan dengan latihan bolasepak. Jurulatih atau Pengarah Teknikal yang terlatih atau mempunyai kebolehan atau pengalaman yang luas perlu dilantik bagi menjamin prestasi dan kualiti pemain. Sekolah bolasepak juga perlu menjadualkan perlawanan bolasepak bagi memberi pendedahan kepada mereka dan jika perlu, mereka diberi pendedahan untuk perlawanan persahabatan dengan negara-negara ASEAN sebagai permulaan.

Aspek disiplin perlu ditekankan kerana pada usia yang muda, mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni serta disiplin diri yang tinggi sebagai seorang atlet. Latihan fizikal yang agresif serta sistem pemakanan yang betul juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pemain-pemain ini benar-benar cergas. Saya masih ingat pada satu ketika, pernah disiarkan dalam akhbar bahawa pemain bolasepak negara tidak mencapai tahap kecergasan yang diperlukan. Keadaan ini mungkin dapat diatasi sekiranya modul yang komprehensif serta menyeluruh dapat diwujudkan dalam sekolah bolasepak.

Pemain-pemain yang mengikuti sekolah bolasepak perlu dinilai pada setiap bulan supaya memastikan adanya peningkatan dikalangan mereka. Saya tertarik melihat sistem latihan diluar negara kerana mereka mempunyai sistem yang teratur terutama sekali dalam pengumpulan data-data prestasi pemain. Dengan adanya sistem yang teratur dalam pengambilan data prestasi pemain maka ianya dapat dijadikan panduan pemilihan untuk pemain menyertai skuad kesebelasan utama.

Secara keseluruhannya, saya berpandangan sekolah bolasepak ini adalah baik serta mampu meningkatkan tahap serta mutu bolasepak di negara kita sekiranya ia dilaksanakan dengan teratur serta menyeluruh. Sekolah bolasepak tersebut memadai jika ia diwujudkan dalam negara sahaja kerana kita mempunyai pelbagai infrastruktur serta kemudahan. Pemain boleh dihantar keluar negara untuk sesuatu tempoh bagi mendapatkan pendedahan. Sistem latihan memainkan peranan yang penting disamping disiplin pemain itu sendiri.

Kita lihat bagaimana Vietnam boleh bangkit serta maju dalam bolasepak dikalangan negara ASEAN. Sistem latihan yang dibawa oleh jurulatih dari luar negara serta disiplin pemain telah membawa mereka ke puncak kejayaan. Oleh itu ianya tidak mustahil dapat dilakukan oleh pemain-pemain kita jika dibentuk pada usia yang muda.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Friday, 25 December 2009

Salur berdasarkan prestasi

Setiap persatuan sukan kebangsaan menerima bantuan kewangan setiap tahun dan difahamkan bantuan ini akan dikurangkan beberapa peratus pada tahun hadapan memandangkan keadaan ekonomi dunia yang tidak sihat serta langkah berjimat cermat kerajaan berbelanja.

Kenyataan Dato Zolkples Embong bahawa peruntukan kewangan tahunan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan dikurangkan ekoran kegagalan pasukan sepaktakraw Malaysia pada Sukan Sea di Laos minggu lalu mengundang pelbagai reaksi dari peminat-peminat sukan.

Saya amat tertarik dengan cadangan ini kerana wang yang disalurkan kepada badan-badan sukan kebangsaan adalah wang rakyat yang di kutip dari dari cukai-cukai seperti cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan sebagainya. Wang yang disalurkan perlu digunakan dengan sebaik-baiknya kerana rakyat sebagai pembayar cukai perlu tahu kemana wang tersebut disalurkan dan memastikan ianya disalurkan dengan betul.

Badan-badan sukan kebangsaan memperolehi pendapatan atau geran tahunan melalui Majlis Sukan Negara(MSN) untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukan di semua peringkat. Ada badan-badan sukan yang mendapat tajaan dari syarikat korporat bagi menampung kos serta menjalankan aktiviti kerana geran yang diperolehi dari MSN adalah terhad.

Cadangan supaya geran atau peruntukan kewangan kepada persatuan sukan berdasarkan prestasi perlu dilihat secara positif kerana langkah tersebut dapat memastikan kejayaan sukan di negara ini. Persatuan sukan perlu membuktikan serta bekerja keras bagi memastikan sukan sebut berjaya ke peringkat antarabangsa serta mendapat pengiktirafan. Dengan cara ini mereka bukan sahaja mendapat kepercayaan dari MSN yang akan sanggup memberi bantuan tanpa ragu-ragu, malah mendapat kepercayaan dari syarikat swasta yang sanggup menaja persatuan sukan tersebut. Sebagai contohnya, sukan squash mendapat penajaan dari CIMB, sukan tenpin bowling ditaja oleh Canon, sukan badminton ditaja oleh Proton serta beberapa sukan yang lain yang berjaya mendapat endorsement dari syarikat swasta.

Rakyat selaku pembayar cukai serta media akan mengecam jika sesuatu sukan itu gagal mencapai tahap yang diharapkan. Saya berasa hairan mengapa apabila pasukan bolasepak kita gagal dalam sesuatu kejohanan, mereka dikecam dengan hebat. Tetapi apabila pasukan lain seperti sepak takraw, olahraga dan sebagainya gagal di peringkat antarabangsa, mereka tidak dikecam sehebat bolasepak. Sememangnya diketahui bahawa bolasepak merupakan sukan nombor satu negara, tetapi pulangan dari sukan yang lain adalah sama kerana mereka juga mendapat peruntukan dari sumber yang sama. Namun bola sepak bernasib baik kerana berjaya membuktikan kepada negara dengan membawa pulang pingat emas.

Secara kesimpulannya, cadangan oleh Ketua Pengarah MSN itu perlu dilihat dari sudut yang lebih luas demi membangunkan sukan negara. Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk membangunkan sukan negara dan rakyat ingin melihat pulangannya dengan memberikan kejayaan yang membanggakan. Hanya beberapa sukan sahaja yang telah membuktikan dengan melakarkan kejayaan-kejayaan. Mereka ini perlu dibantu lagi agar pulangan yang lebih besar serta berjaya keperingkat dunia serta mengharumkan nama Malaysia. Sekiranya mereka inginkan bantuan yang lebih besar, maka mereka perlu membuktikan dahulu pencapaiannya. Dengan keputusan yang cemerlang, rakyat Malaysia akan berkongsi kegembiraan kerana wang yang dibelanjakan tidak dipersia-siakan.

Mohd Hisham Mohd Nor.




Thursday, 24 December 2009

Selamat Menyambut Hari Krismas

Saya mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada rakan-rakan yang meraikannya pada 25 Disember 2009. Semoga pada perayaan Krismas tahun ini akan mengeratkan lagi semangat kekeluargaan.

Di Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum turut merasakan kemeriahannya apabila melawat ke gedung-gedung membeli-belah dan di sinilah semangat 1 Malaysia di semarakkan dengan mengunjung sahabat handai dan keluarga.

Mohd Hisham Mohd Nor

Saturday, 19 December 2009

Cabaran berakhir…

Zulmazran Zulkifli satu-satunya wakil tunggal Malaysia ke pusingan akhir pertama kecundang pada pusingan Final Step 2 malam tadi. Ini seterusnya menamatkan cabaran Malaysia untuk mara ke peringkat akhir.

Zulmazran berada ditangga ke… dan mampu meraih hadiah sebanyak EURO1300(RM6617.00)

Pasukan bowling negara akan bertolak balik ke ibu negara malam ini dengan penerbangan Etihad Airways dan dijangka tiba di KLIA jam 2.00 petang esok (Ahad).

Sejurus tiba di KLIA nanti, pemain-pemain ini akan bergegas ke Megalanes Sunway, Sunway Pyramid untuk beraksi di Kejohanan All-Star Classic anjuran Megalanes Sunway yang di jadualkan pada jam 5 petang. Saya difahamkan jadual sebenarnya adalah jam 4 petang, namun ia telah dipinda bagi membolehkan pemain-pemain ini beraksi.

Walauapapun, semuanya bergantung kepada jadual penerbangan dan sekiranya tiada kelewatan waktu penerbangan mereka dapat beraksi untuk kejohanan tersebut tetapi jika sebaliknya, maka kejohanan terpaksa diteruskan juga.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Doha, Qatar.

Friday, 18 December 2009

Perkampunagan Sukan Asia 2006

Saya sempat meluangkan masa untuk menjenguk kembali kenangan lalu sewaktu temasya Sukan Asia 2006 terutamanya perkampungan sukan tempat dimana saya menginap selama 14 hari.

IMG_0797 Apa yang didapati tempat tersebut pada asalnya akan dijadikan pusat perubatan atau lebih dikenali sebagai Hamad Medical City. Namun apa yang diceritakan oleh warga Qatar, ianya dibiarkan kosong sejak selesainya Sukan Asia 2006.

IMG_0791

Blok-blok apartment yang kami duduki satu ketika dahulu, tidak berpenghuni sehingga hari ini. Ianya satu pembaziran kerana kos untuk membangunkan kawasan tersebut adalah besar dan ianya dibiarkan begitu sahaja.

IMG_0800 Saya difahamkan, blok-blok apartment tersebut tidak boleh diduduki kerana setiap unit apartment tiada kemudahan dapur. Saya cuba mengimbas kembali layout bilik yang pernah diduduki dan ternyata tiada ruang dapur. Adalah pelik apabila sebuah rumah dibina tanpa ada dapur.

Memandangkan Qatar merupakan negara yang kaya, saya berpandangan elok jika ia dijadikan pusat Sukan atau kompleks sukan dan ia boleh digunakan pada temasya sukan-sukan yang akan datang. Lokasi tersebut sangat sesuai dijadikan kompleks sukan serta pusat kecemerlangan sukan di Qatar.

Mohd Hisham Mohd Nor

Doha, Qatar.

Meneruskan Cabaran Malaysia

Zul Step 1

Hanya Zulmazran yang meneruskan cabaran ke Final Step 1 yang berlangsung pada jam 3 petang ini(8.00 malam waktu Malaysia). Zulmazran menduduki tempat ke-28, daripada 42 pemain yang layak ke pusingan yang berikutnya.

Pemain-pemain yang lain seperti Aaron Kong, Alex Liew, Daniel Lim dan Syafiq Ridhwan masing-masing tersungkur di peringkat awal. Aaron Kong menduduki tempat ke-43, Syafiq 61, Alex Liew 70 dan Daniel Lim 75.

Zulmazran perlu berada di kelompok 8 pemain terbaik pada peringkat ini untuk beliau meneruskan cabaran seterus di Final Step 2 pada malam nanti.

Group

Pemain-pemain yang gagal untuk masuk dikelompok 42 pemain terbaik pada malam tadi diberi peluang untuk mencuba nasib pada satu lagi pusingan yang dinamakan Desperado Squad. Mereka bermain hanya 1 game dengan yuran sebanyak Euro50 (RM260.00) Empat pemain teratas untuk Desperado squad akan layak masuk dalam kelompok 42 pemain.

Alex Liew, Daniel Lim dan Aaron Kong turut mencuba nasib mereka dalam Desperado Squad ini tetapi malangnya gagal untuk menempatkan diri.

Harapan saya, Zulmazran selaku wakil tunggal negara mampu melakukan kejutan buat negara serta meninggalkan kenangan manis atau penutup tirai 2009.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Doha, Qatar.

Rindu masakan Malaysia

Baru seminggu berada di Doha, terasa rindu pada masakan Malaysia. Mana kan tidaknya, hampir setiap hari dihidangkan sajian naan atau kebab dan kadangkala nasi beriyani chicken grill. Chicken curry with rice juga agak membosankan kerana rasanya yang tak seberapa. Ini berbeza sewaktu Sukan Asia dahulu kerana ketika dihidangkan dengan beratus-ratus menu dari seluruh pelusuk dunia.

IMG_7892

Namun segalanya terubat apabila pasukan Malaysia menerima undangan makan tengahari dari Saudara Zawawi di kediaman beliau. Kami dihidangkan ayam masak merah dan nasi minyak. Masing-masing kelihatan berselera dengan hidangan yang disediakan.

IMG_7893

Sebelum pulang saya dan sebagai tanda terima kasih pasukan, saya telah menghadiahkan baju rasmi kebangsaan tenpin bowling kepada beliau. Saya mendoakan beliau sihat dan aman sejahtera kehendaknya ketika berada di Doha, Qatar. Insyaallah.

Mohd Hisham Mohd Nor

Doha, Qatar.