Thursday, 12 May 2011

Kuala Lumpur International Tenpin Bowling Championship 2011

Malam tadi, saya menghadiri mesyuarat Persatuan Tenpin Bowling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Agenda utama yang dibincangkan ialah projek untuk menganjurkan Kejohanan Kuala Lumpur International Tenpin Bowling Championship 2011 pada bulan Oktober nanti.

Kali terakhir KLTBA menganjurkan kejohanan tersebut adalah pada tahun 2004 di Cosmic Bowl, Sungai Wang Plaza. Kejohanan tersebut juga turut menawarkan hadiah Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk kategori berpasukan antara agensi kerajaan.

Jawatankuasa persediaan akan dibentuk dan mesyuarat pertama jawatankuasa ini akan diadakan pada minggu hadapan. Saya berharap agar kejohanan ini akan mendapat sokongan dari penaja-penaja serta menawarkan hadiah menarik untuk menggalakkan lebih ramai menyertai kejohanan pada kali ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Sunday, 1 May 2011

Selamat Hari Pekerja 2011

Saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakan-rakan diseluruh negara pada hari ini 1 Mei 2011. Namun secara rasminya sambutan di peringkat kebangsaan akan diadakan pada 7 Mei 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 21 March 2011

Tahniah Buat Tan Sri Dr. M. Jegathesan

jegatesen_b Saya merakamkan ucapan tahniah buat Y.Bhg. Tan Sri M. Jegathesan, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM) kerana telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia.

Kejayaan serta sumbangan beliau diperingkat antarabangsa telah memberi pengiktirafan kepada dirinya untuk terus memberi sumbangan yang amat bermakna kepada dunia pendidikan di negara ini.

Saya sempat menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada beliau petang kelmarin setelah mendapat berita tersebut dari akhbar tempatan. Semoga dengan perlantikan ini akan memberi semangat baru buat Y.Bhg. Tan Sri untuk terus memberi sumbangan dalam dunia sukan tanahair.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 7 March 2011

Belanja Berhemah

1. Tahun 2011 memperlihatkan pengurangan bajet dalam pembangunan sukan oleh Majlis Sukan Negara. Beberapa program dalam skuad kebangsaan tenpin bowling terpaksa diketepikan seperti program gemilang.

2.  Namun begitu pembangunan sukan perlu diteruskan walaupun berdepan dengan bajet yang begitu sempit. Skuad tenpin bowling kebangsaan perlu menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini agar ianya lebih baik dari tahun lepas.

3.  Zulmazran dan Siti Safiyah telah menghadiahkan 2 emas pada kejohanan Tenpin Bowling Komanwel pada bulan lalu dan ianya diharap dapat mencetuskan semangat dikalangan pemain lain untuk terus membawa kejayaan negara diperingkat antarabangsa.

4.  Sukan-sukan yang lain juga terpaksa berbelanja secara berhemah dan pada waktu yang sama memastikan program-program yang sedia ada tidak terjejas. Sudah pasti kerajaan akan menumpukan perhatian kepada sukan yang berprestasi tinggi dan juga sukan yang berpotensi besar untuk beraksi di Sukan Olimpik 2012 nanti.

5.  Semoga persatuan sukan kebangsaan dan negeri akan lebih berhemah dalam membelanjakan peruntukan yang doterima dari kerajaan dan dalam waktu yang sama atlet bekerja keras dalam mencapai kejayaan negara.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 1 March 2011

Kenangan Kejohanan Tenpin Bowling Komanwel ke-5

1. Malam tadi, pasukan dari Afrika Selatan telah meninggalkan Malaysia dengan penerbangan MH203 menuju ke Johannesburg. Afrika Selatan merupakan pasukan terakhir yang berlepas pulang setelah berakhirnya Kejohanan Tenpin Bowling Komanwel ke-5 pada hari Sabtu yang lalu.

2. Malaysia hanya mampu meraih 2 emas 3 perak dan 3 gangsa dan berada ditangga ketiga selepas England dan Singapura. Ternyata gelanggang sendiri tidak menjanjikan kejayaan namun apa yang dibanggakan adalah kejohanan ini berjaya dianjurkan dengan jayanya.

3. Saya sendiri amat berpuashati apabila melibatkan diri secara langsung dalam kejohanan ini dari awal para peserta tiba di lapangan terbang. Para pemain telah memberi kerjasama yang cukup baik disepanjang kejohanan.

4. Saya amat berterima kasih kepada jawatankuasa pengangkutan serta Majlis Sukan Negara yang telah banyak membantu melancarkan perjalanan atlet dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke pengginapan di Pyramid Tower Hotel, Sunway.

5. Terima kasih kepada pemandu Along, Yazid, Wadie, KJ, Najib dan Farouk yang telah banyak memberi kerjasama kepada saya dalam mengendalikan urusan pengangkutan kepada pemain.

6. Ketepatan waktu amat penting demi untuk menjaga imej negara di mata dunia. Di sepanjang proses ketibaan dan penghantaran pulang ke KLIA, semua berjalan dengan lancar tanpa berlakunya sebarang kelewatan. Keadaan ini yang membuatkan saya amat berpuashati.

7. Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan JKDM yang bertugas di Unit Khas Kawalan Penumpang di KLIA yang telah banyak membantu serta memberi kerjasama dalam menjayakan kejohanan ini.

8. Selepas ini, Kongres Tenpin Bowling Malaysia akan menganjurkan Kejohanan Terbuka Malaysia pada bulan Mei dan pemain-pemain profesional dari Amerika Syarikat seperti Ray Charles akan beraksi pada kejohanan ini.

9. Semoga kerjasama yang berterusan ini akan dapat membangunkan serta memajukan sukan di Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Tuesday, 22 February 2011

Emas Kedua Negara

1. Tahniah kepada Siti Safiyah kerana memenangi pingat emas kedua Malaysia pada hari pertama dalam acara perseorangan wanita.

2. Kemenangan berganda ini amat bermakna kerana Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuanrumah untuk kejohanan bowling peringkat komanwel ini.

3. Zandra Aziela pula berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara tersebut. Ianya penting untuk memastikan Malaysia memungut mata untuk mendahului bagi kemenangan keseluruhan.

3. Semoga gandingan Zulmazran-Adrian dan Siti Safiyah-Zandra akan dapat menambah pingat emas buat Malaysia. Perlawanan akan bermula pada jam 10 pagi esok.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 21 February 2011

Kemenangan pertama negara

1. Tahniah kepada Zulmazran yang telah berjaya mendapat pingat emas bagi acara perseorangan sebentar tadi. Beliau melakukan jatuhan pin 264, 256, 236, 203, 190, 277 manakala tempat kedua pula Neil Sullivan dari Malta. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Guillaume Francois Louw dari Afrika Selatan.

2. Malang buat Adrian Ang yang hanya mampu menduduki tempat keempat walaupun telah mendahului di awal permainan. Beliau bermain 289 jatuhan pin pada game pertama tetapi gagal mendapat jatuhan pin yang tinggi pada game kedua dan kelima iaitu 189 dan 199.

3. Harapan seterusnya pada Zandra Aziela dan Siti Safiyah untuk acara perseorangan wanita pada petang ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saingan Bowling Komanwel bermula

1. Selamat berjuang kepada semua negara yang beraksi pada Kejohanan Tenpin Bowling Komanwel buat kali ke-5 yang berlangsung pada 20 hingga 27 Februari 2011. Hari ini acara perseorangan lelaki dan wanita akan bermula pada jam 10.00pagi di Megalanes Sunway.

2. Pasukan Malaysia akan diwakili oleh Zulmazran, Adrian Ang, Siti Safiyah dan Zandra Aziela.

3. Saya tidak berkesempatan untuk hadir pada majlis perasmian petang semalam kerana masih menunggu pasukan dari Malta yang tiba pada jam 3.00 petang dan seorang pemain England iaitu Matt Chamberlain yang tiba pada jam 6.00 petang.

4. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di KLIA yang membantu dalam menguruskan ketibaan pemain dari luar negara ini.

5. Mens Single akan bermula pada jam 10 pagi ini dengan format 6 game manakala Ladies Single pula akan berlangsung pada jam 2 petang. Lane pattern pada hari ini adalah Long oil.

6. Semoga pemain negara akan mendapat kemenangan pertama hari ini.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Monday, 7 February 2011

Syabas atas usaha Kerajaan Malaysia

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia yang telah berjaya memindahkan sebahagian besar pelajar Malaysia di Kaherah, Mesir ke Jeddah, Arab Saudi sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur.

Pergolakan politik serta rusuhan yang kian meruncing di Mesir telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia apabila harga minyak mentah melonjak hingga ke RM380 setong. Dengan mengambil jalan selamat, kerajaan telah membuat satu keputusan yang tepat dengan membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di sana demi menjaga keselamatan mereka.

Kelewatan membawa pulang pelajar ini telah dijadikan isu oleh sesetengah pihak yang mengambil kesempatan. Saya sendiri faham masalah yang dihadapi oleh kerajaan apabila berdepan dengan kerajaan di negara-negara arab yang terlalu banyak karenah birokrasi.

Saya mempunyai pengalaman yang sama apabila berada dibeberapa buah negara Arab yang mana kesemuanya mempunyai budaya yang sama. Sukar bagi kita untuk berdepan atau berurusan dengan mereka kerana mereka mempunyai tahap keegoan yang tinggi. Saya sendiri sering bertengkar dengan mereka kerana bangsa Arab ini sememangnya tidak mahu mengaku kalah  apabila melakukan kesilapan. Sebab itulah negara Arab ini sering bergolak dan bertelagah sesama bangsa sendiri.

Di Malaysia, apabila melihat plat kereta bernombor DC atau kereta diplomat, ianya akan diberi keistimewaan oleh penguatkuasa. Keadaan ini tidak berlaku di sana dan pengalaman saya menaiki kenderaan rasmi diplomat, ia dilayan seperti kenderaan biasa walaupun tertera plat diplomat.

Mereka (Arab) kadangkala mempunyai peraturan yang tidak konsisten, hari ini boleh, besok mereka kata tak boleh dan keadaan ini menyukarkan kita untuk berurusan dengan mereka.

Oleh yang demikian, saya faham akan kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia apabila berdepan dengan negara Arab, apatah lagi dengan kerajaan Mesir yang sedang bergolak.

Walaubagaimanapun, Ibu bapa harus bersyukur kerana anak-anak mereka diberi perhatian oleh kerajaan. Difahamkan segala kos ditanggung oleh kerajaan dan swasta yang mana jumlahnya agak besar. Semoga semuanya selamat pulang ke tanahair.

Mohd Hisham Mohd Nor.

Saturday, 5 February 2011

Berita Harian Online | Belum tentu bagus

Berita Harian Online | Belum tentu bagus

Hasrat Indonesia untuk mengambil pemain import bagi mengharungi Sukan Sea 2011 di Palembang-Jakarta pada bulan November nanti mengambarkan mereka ketandusan atlet. Di manakah program kecemerlangan atau pelapis di negara tersebut. Belum selesai isu jenis sukan yang akan dipertandingkan, isu pemain import pula menjadi perbualan hangat. Namun Indonesia meletakkan syarat kepada atlet luar yang mempunyai pertalian darah dengan keluarga di Indonesia. Ini berbeza dengan negara jiran yang mengambil pemain dari luar dan kemudian diberi taraf kerakyatan. Malaysia masih bertuah kerana mempunyai barisan pelapis yang berkemampuan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Semoga program pelapis negara diterus dan diperkasakan.