Tuesday, 13 May 2014

ULANGTAHUN PERTAMA INSPIRASI WAWASAN

Saya amat bersyukur kerana pada hari ini iaitu 13 Mei 2014, genap setahun penubuhan Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur atau di kenali sebagai Inspirasi Wawasan. 

Inspirasi Wawasan yang diasaskan oleh saya bersama rakan seperjuangan yang lain iaitu Sdr. Mohamad Haizam Hashim selaku Timbalan Presiden, Sdr. Nor Amran Abdullah selaku Setiausaha Kehormat serta Sdri. Hanizah Zainal, Sdr. Nur Naaim Ab. Hamid, Sdr. Razif Yahya dan Sdri. Azila Amat telah berjaya memberi satu persekitaran yang baru dalam dunia kerja sukarelawan. 

Inspirasi Wawasan ditubuhkan dibawah Pendaftar Pertubuhan dan di sahkan pendaftarannya pada 13 Mei 2013 di Putrajaya. Matlamat penubuhan adalah memberi inspirasi kepada pelajar peringkat menengah di luar bandar melalui program inspirasi4u. Matlamat kedua pula ialah memberi kesedaran tentang cukai kepada pelajar diperingkat pengajian tinggi atau universiti melalui program cukai4u. Manakala matlamat ketiga pula adalah mengembangkan aktiviti sukan di kalangan remaja agar golongan ini dapat menggunakan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Matlamat keempat pula adalah mengadakan aktiviti kebajikan melalui program charity4u. Program yang diadakan adalah seperti lawatan sambil belajar kepada anak yatim serta program berbuka puasa di bulan Ramadhan.

Di sepanjang satahun yang lalu, kepimpinan Inspirasi Wawasan telah melaksanakan program berbuka puasa dan solat terawih bersama penghuni rumah kasih Nurul Hasanah di Ampang serta mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara dan Putrajaya sambil menaiki Cruise Tasik. Program Cukai4u pula telah diadakan di Kolej Universiti Islam Melaka pada Januari 2014 dan Shah Alam Convention Centre pada April 2014.

Program inspirasi4u pula telah melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi, Pulau Tuba pada bulan Oktober 2013. Program tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya serta mendapat sambutan di kalangan pelajar di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, beberapa perancangan telah di atur bagi merancakkan aktiviti IW dan inspirasi4u akan dikembangkan ke sekolah di kawasan pedalaman. Hasil dari kejayaan Seminar Percukaian IPT melalui program cukai4u, IW telah menerima beberapa pelawaan dari Kolej dan Universiti untuk mengadakan Seminar Percukaian IPT dan insyaallah pihak IW akan mengatur beberapa perbincangan dengan pihak kolej dan universiti bagi merealisasikan hasrat tersebut

Harapan saya adalah untuk melihat ramai pelajar di peringkat sekolah menengah di luar bandar mendapat suntikan semangat melalui program inspirasi4u. Mereka ini tidak mendapat peluang seperti pelajar di bandar-bandar dan melalui program ini sedikit sebanyak akan dapat membantu mereka dalam pelajaran serta mengenalpasti matlamat untuk perjalanan seterusnya.

Begitu juga dengan aktiviti yang lain seperti Seminar Percukaian, matlamat IW adalah supaya lebih ramai golongan pelajar dan belia faham tentang cukai secara amnya serta Cukai Barang dan Perkhidmatan yang akan dilaksanakan nanti.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar, Inspirasi Wawasan di beri kekuatan dan idea bagi membantu anak bangsa.

Sekian, wassalam.

Presiden
Inspirasi Wawasan.


Sunday, 20 April 2014

SEMINAR PERCUKAIAN IPT KUALA LUMPUR 2014

Seminar Percukaian Institusi Pengajian Tinggi Kuala Lumpur akan diadakan pada 28 April 2014 di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Seminar ini merupakan siri kedua diadakan susulan dari kejayaan penganjuran Seminar Percukaian IPT Melaka di Kolej Universiti Islam Melaka pada bulan Januari yang lalu.

Seminar yang mendapat kerjasama dari Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia(M.A.T.A) ini akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kewangan.
Seminar pada kali ini menghimpunkan seramai 300 orang pelajar dari Universiti Teknologi Mara(UiTM), Universiti Putra Malaysia(UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan Universiti Malaya(UM).

Matlamat dan objektif seminar adalah memberi kefahaman dan maklumat yang tepat kepada pelajar di peringkat pengajian tinggi tentang cukai khususnya Cukai Barang dan Perkhidmatan(GST).

Sesi forum yang diadakan nanti menampilkan ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam ekonomi dan perakaunan. Wakil mahasiswa juga diberi peluang untuk melibatkan diri dalam sesi forum itu nanti.

Semoga dengan penganjuran seminar ini akan memberi input yang lebih tepat kepada pelajar-pelajar di peringkat pengajian tinggi.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan. 



Thursday, 23 January 2014

SEMINAR PERCUKAIAN IPTA/IPTS MELAKA 2014

Seminar Percukaian IPTA/IPTS Melaka telah berlangsung dengan jayanya pada 22 Januari 2014 bertempat di Auditorium Pujangga, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). Program ini adalah julung kali diadakan di pusat pengajian tinggi dan sambutan yang diterima begitu menakjubkan pihak Inspirasi Wawasan.
 
Kehadiran mahasiswa/mahasiswi seramai 400 orang telah memeriahkan lagi program selama sehari. Seminar Percukaian ini memberi tumpuan kepada Cukai Tidak Langsung iaitu Cukai Jualan, Cukai Perkhidmatan, Duti Kastam, Duti Eksais dan Cukai Barang dan Perkhidmatan(GST).
 
Majlis Penutupan Kursus telah disempurnakan oleh YB. Puan Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia. Turut hadir pada majlis penutupan ialah Y.Bhg. Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusof Haji Hashim, Naib Canselor KUIM.
 
Terima Kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini khususnya kepada Y.B Ahli Parlimen Masjid Tanah, Persatuan Alumni KUIM, ABN Xcess News serta seluruh jawatankuasa Inspirasi Wawasan iaitu Sdr. Mohamad Haizam Hashim, Timbalan Pengerusi, Nor Amran Abdullah, Setiausaha Kehormat, Nur Naaim Ab Hamid, Pengurus Publisiti/Komunikasi dan Sdr. Razif Yahya.
 
Insyaalah, Inspirasi Wawasan akan menganjurkan Seminar Percukaian IPTA/IPTS ini di Kuala Lumpur pada bulan April nanti. Sokongan padu dari keluarga dan rakan-rakan akan memberi semangat kepada saya untuk terus memberi sumbangan bakti khususnya kepada pelajar IPTA/IPTS.
 
Pengerusi, Inspirasi Wawasan

Tuesday, 31 December 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua rakan-rakan yang dikasihi sekelian,

2013 melabuhkan tirai dan 2014 kian menjelma. Azam baru menanti untuk direalisasikan. Harapan saya untuk melihat negara yang tercinta ini aman, makmur dan sejahtera. Mulakan berfikiran besar dari sekarang untuk mencapai apa jua yang di impikan. Jadilah orang yang berjaya kerana anda mampu mengubah diri anda dan lakukan mulai hari ini. 

Pada hari ini, masih ramai orang yang memulakan harinya dengan mengeluh dan bukannya kesyukuran. Orang yang berjaya tidak mengeluh kerana apabila mengeluh kita akan menarik lebih banyak emosi negatif ke dalam diri kita. Sekiranya anda bersyukur maka lebih banyak perkara positif yang akan masuk ke dalam diri dan kehidupan anda.

Selamat tahun baru 2014 kepada semua rakan-rakan yang saya hargai, moga persahabatan kita tetap utuh di masa mendatangkan. Saya mendoakan kesejahteraan dan kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi pada tahun 2014.

Wassallam.


Sunday, 3 November 2013

PEMIMPIN SEPANJANG ZAMAN

Pada 31 Oktober 2013 yang lepas, genap 10 tahun Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir  Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4. Beliau bersara dari arena politik setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan merupakan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat selepas Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn. Pelbagai kejayaan telah dikecapi oleh Malaysia dan beliau telah berjaya memartabatkan Malaysia di peringkat dunia. Beliau amat kenali diseluruh dunia khususnya umat islam di Asia Barat
 
Saya ingin berkongsi pengalaman seperti yang ditulis oleh Sdr. Zulkefli Hamzah di kolum Warung Rakyat, Mingguan Malaysia hari ini. Pada 2007, ketika beliau di Damsyik Syria, seorang peniaga di Bazar Souq Al-Hamidiya menyebut nama Mahathir apabila memperkenalkan dirinya dari Malaysia.
 
Pengalaman yang sama juga ditempuhi oleh saya ketika berada di Dubai, UAE pada tahun 2006 bersama pasukan bowling negara yang bertanding di Kejohanan Terbuka Dubai. Ketika saya membeli kebab di sebuah kedai di pinggir bandar dubai, saya yang ketika itu memakai baju 'tiger' Malaysia semamangnya mudah dikenali dan ayat pertama yang keluar dari mulut peniaga tersebut ialah Mahathir. Saya amat kagum dan bangga kerana mereka mengenali Malaysia kerana Mahathir dan bukannya mengenali Mahathir kerana Malaysia. Malah mereka masih menyatakan yang Mahathir masih Perdana Menteri walaupun telah 3 tahun bersara.
 
Begitu juga ketika di Doha, Qatar bersama pasukan bowling negara ke Sukan Asia 2006. Masih segar di ingatan saya ketika bersama kontinjen Malaysia yang diketuai oleh Dato' A. Sani Karim selaku Chief de mission dan semasa kami berarak masuk ke dalam stadium Khalifa, salah seorang peminat telah menjerit nama Mahathir apa melihat kontinjen negara lalu menuju ke pintu masuk stadium.

Tun Mahathir Mohamad berjaya mencipta nama di mata dunia. Nama Mahathir menjadi sebutan di serata dunia dan beliau berjaya menjenamakan keperibadiannya sebagai pemimpin terulung di dunia. Sehingga hari ini beliau masih aktif memberi ucapan di dalam dan luar negara. Pandangan beliau sering dinantikan oleh pemimpin-pemimpin bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh pelusok dunia.

Beliau masih sibuk dengan jadual harian yang padat di Yayasan Kepimpinan walaupun sudah 10 tahun bersara. Umur beliau telah menjangkau 88 tahun tetapi masih aktif menulis dan pernah satu ketika apabila beliau dimasukkan ke hospital untuk rawatan, beliau meminta kertas dan pen untuk menulis walaupun doktor menasihatkan beliau untuk berehat.

Begitulah kisah hidup seorang negarawan yang amat dihormati oleh rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia. Kadangkala saya masih menganggap beliau masih Perdana Menteri Malaysia kerana keperibadian dan kepimpinan beliau menanggani pelbagai isu sememanganya tidak ada tolok bandingnya.

Moga beliau dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus memberi pandangan dan idea demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

MOHD HISHAM BIN MOHD NOR.

Saturday, 2 November 2013

CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)

Pada minggu lalu Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah membentangkan Bajet 2014 di parlimen. Saban tahun, rakyat dan komuniti perniagaan menantikan bulan Oktober dengan penuh harapan untuk mengetahui apakah pakej dan bantuan yang akan diberi oleh kerajaan.

Pada pembentangan bajet tersebut, Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga selaku Menteri Kewangan telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST pada 1 April 2015. Rakyat dan komuniti perniagaan mempunyai masa selama 17 bulan sebagai persediaan untuk menghadapi pelaksanaan GST.
 
Isu GST menjadi perbualan hangat dikalangan peniaga dan juga rakyat kerana ianya telah diperkatakan sejak tahun 2004 lagi. Pada Oktober 2004, Perdana Menteri ketika itu, Y.A.B Dato' Sri Abdullah Badwi(Kini Tun) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan GST pada 1 Januari 2007. Namum pada 25 Januari 2006, Menteri Kewangan II pada ketika itu, Tan Sri Nor Yaacob telah membuat pengumuman yang mengejutkan iaitu GST ditangguhkan sehingga komuniti perniagaan bersedia sepenuhnya menghadapi GST.
 
Pada saat itu pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Panel Kajian Semula Cukai, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyebarkan maklumat lebih terperinci kepada peniaga tentang model dan mekanisme yang bakal akan di laksanakan di Malaysia. Konsultasi Awam telah diadaka pada setiap bulan bagi memberi kesedaran kepada peniaga tentang ciri penting GST dan kebaikan yang bakal diperolehi oleh peniaga. Kajian-kajian yang lebih terperinci telah dijalakankan untuk mendapat maklumbalas dari pihak peniaga dan seterusnya mengetahui apakah kehendak mereka sebelum GST dapat dilaksanakan.
 
Pada Disember 2009, dibawah pentadbiran Y.A.B Dato Sri Najib Tun Razak, beliau telah mengambil keputusan untuk membentangkan rang undang-undang GST di parlimen. Bacaan pertama telah dibentang oleh Y.B Dato' Seri Haji Ahmad Husni b. Mohamad Hanadzlah pada 16 Disember 2009. Namun begitu, bacaan kedua di parlimen yang dijadualkan pada April 2010 telah ditangguhkan dan rang undang-undang tersebut telah ditarik balik. Senario ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada peniaga untuk lebih bersedia dalam menghadapi GST.
 
GST bukan cukai yang baru, ia merupakan satu sistem percukaian yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah lama berkuatkuasa iaitu sejak awal tahun 1970an lagi. Cukai Jualan dikenakan pada kadar 5-10% manakala Cukai Perkhidmatan pada kadar 6%. Beberapa kelemahan yang ada pada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan perlu diatasi dan kerajaan telah mengambil langkah untuk mentranformasikan sistem percukaian negara.
 
GST merupakan cukai yang telah dilaksanakan di lebih dari 160 buah negara di serata dunia. Malaysia, Myanmar dan Brunei adalah dikalangan negara ASEAN yang belum lagi melaksanakan GST. Ianya merupakan satu sistem percukaian yang efisein dan telus seterusnya menguntungkan rakyat dan peniaga. Kerajaan pula telah mencadangkan ianya dikenakan pada kadar 6% dan ianya merupakan yang paling rendah di dunia.
 
Pada kesimpulannya, GST akan banyak membeli pulangan kepada rakyat. GST dari anda untuk anda merupakan slogan yang tepat kerana hasil yang diterima dari rakyat akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui insentif yang akan diberikan seperti BR1M, bantuan persekolahan serta lain-lain lagi. Harapan penulis adalah semoga rakyat akan lebih memahami GST melalui program kesedaran yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Mohd Hisham Mohd Nor
Pengerusi, Inspirasi Wawasan.

Friday, 1 November 2013

HAPPY DEEPAVALI

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh sahabat-sahabat yang menganut agama hindu. Semoga pesta cahaya pada tahun ini akan dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum yang berbilang bangsa serta menyemarakkan semangat Satu Malaysia.
 
MOHD HISHAM MOHD NOR.

Sunday, 20 October 2013

MENANTI SAAT AKHIR

Rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan budi bahasa serta mempunyai pebagai bangsa dan budaya yang telah di amalkan sejak merdeka lagi. Setiap tahun, rakyat Malaysia meraikan pelbagai perayaan yang terdiri dari pelbagai kaum seperti melayu, cina, inda, iban, kadazan, sikh dan lain-lain lagi. Keharmonian yang ada ini perlu dikekalkan demi kesejahteraan negara untuk makmur dan aman sentosa.
 
Namun begitu, di sebalik keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama, ada beberapa tabiat yang turut di amalkan dinegara kita. Tumpuan saya pada penulisan kali ini adalah untuk berkongsi dengan tabiat mengambil tindakan pada saat akhir. Seringkali kita mendengan ayat seperti ' Biasalah orang Malaysia' suka buat kerja saat akhir atau kadangkala di label sebagai 'Malaysian Style'.
 
Tabiat ini telah menjadi darah dan daging kepada hampir setiap rakyat Malaysia. Kita boleh lihat setiap kali kerajaan mengeluarkan sesuatu dasar atau keputusan berkaitan tempoh pembayaran atau pembaharuan seperti membayar saman, menukar kad pengenalan dan sebagainya, rakyat Malaysia sering mengambil pendekatan untuk melakukan perkara tersebut di saat akhir.
 
Saya masih ingat ketika Polis Diraja Malaysia menawarkan diskaun kepada saman yang dikeluarkan, kaunter-kaunter di pejabat Polis lenggang di peringkat awal. Sepatutnya mereka mengambil kesempatan untuk membayar awal kerana ketika itu ia amat mudah untuk membayar kerana tidak perlu menunggu lama.
 
Namun begitu, apabila tibanya waktu akhir atau tinggal sehari dua tamatnya tempoh pembayaran maka ketika itulah mereka 'kelam kabut' datang ke pejabat polis untuk membayar saman. Ketika itu juga mereka akan menyalahkan pihak berkuasa kerana terpaksa menunggu lama dan menuduh sistem kaunter yang lemah dan tidak berkualiti.
 
Di sinilah yang ingin saya persoalkan, mengapa rakyat Malaysia suka menunggu di saat akhir untuk mengambil tindakan. Adakah mereka terlalu sibuk denga tugas harian sehingga membuatkan mereka terpaksa melengahkan masa untuk bertindak.
 
Secara kesimpulannya tabiat melakukan kerja saat akhir ini adalah kerana sikap dan tabiat yang di amalkan sejak berkurun lamanya. Sikap ini perlu dikikis dan kita perlu membentuk generasi yang akan datang agar lebih aktif dan progresif.
 
hisham nor.

Tuesday, 15 October 2013

INSPIRASI WAWASAN

Persatuan Inspirasi Wawasan Kuala Lumpur atau lebih di kenali sebagai Inspirasi Wawasan(IW) adalah merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan nombor pendaftaran PPM-001-13052013. Inspirasi Wawasan sebagai badan bukan kerajaan atau NGO ini telah didaftar dengan rasminya pada 13 Mei 2013.

Matlamat utama Inspirasi Wawasan adalah memberi inspirasi kepada pelajar sekolah tentang kejayaan dan kecemerlangan dalam pendidikan. Fokus utama adalah tertumpu kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah khususnya di luar bandar. Pelajar di luarbandar mempunyai peluang yang terhad untuk mendapatkan khidmat nasihat serta menyertai program motivasi. Lantaran dari itu, IW cuba mengenal pasti sekolah di kawasan luar bandar untuk mengadakan program inspirasi4u. Program inspirasi4u merupakan produk utama dalam menjenamakan Inspirasi Wawasan ke peringkat nasional.

Disamping itu, Inspirasi Wawasan juga mengadakan aktiviti kebajikan seperti program berbuka puasa dan memberi sumbangan kepada rumah anak yatim serta mengatur dan menganjurkan program lawatan sambil belajar untuk anak-anak yatim. Pihak Inspirasi Wawasan telah mengatur serta mengenalpasti rumah anak yatim yang baru serta kurang mendapat perhatian dari pihak tertentu.

Inspirasi Wawasan juga berperanan dalam mempromosi sukan-sukan tertentu dengan menganjurkan pertandingan. Sebagai contoh Ultra-Marathon agak asing kepada peminat sukan larian. Ia agak popular di Eropah dan Amerika yang mana pelari akan berlari sejauh 100 batu atau 100 km bagi satu tempoh masa yang ditetapkan.Beberapa sukan lain juga akan cuba diketengahkan dengan menganjurkan pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Adalah menjadi harapan agar Inspirasi Wawasan mendapat kerjasama dan sokongan khususnya penajaan dari syarikat korporat dan orang perseorangan.

Pengerusi
Inspirasi Wawasan

Monday, 14 October 2013

SALAM AIDIL ADHA 1434 HIJRAH

Salam kepada semua rakan khususnya umat islam,

Salam Aidil Adha buat seluruh umat islam di saentero dunia. Semoga dapat melaksanakan ibadah korban dengan sempurna. Daripada Aisyah r.a Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu."    (Riwayat al-Tarmuzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Wassalam.