Friday, 24 April 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN FASA IV


Salam Ramadan

Hari ini adalah hari pertama seluruh umat islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak. Ibadah puasa adalah satu ibadah yang mulia dan istimewa. Hanya diri kita dan Allah sahaja mengetahui yang kita sebenarnya sedang berpuasa. Kita sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa kita.

Pada tahun ini, Ramadan disambut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa III yang akan berakhir pada 28 April 2020. Malam tadi melalui perutusan khas sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan Al- Mubarak, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Malaysia menyebut, kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19. Beliau menambah, yang penting adalah jihad serta istiqamah dan beliau mengajak seluruh umat islam di Malaysia tingkatkan jihad memerangi COVID 19 sempena bulan Ramadan ini yang mulia ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka berakhir pada 28 April 2020 akan dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu sehingga 12 Mei 2020. Walaupun data dan angka wabak COVID 19 menunjukkan perkembangan yang positif, usaha-usaha untuk membendung wabak ini masih perlu diteruskan sehingga kerajaan yakin wabak COVID 19 dapat dibendung sepenuhnya.

Malaysia tidak bersendirian dalam menangani wabak COVID 19 ini, kerana 121 negara di seluruh dunia terjebak dengan wabak ini. Singapura sebuah negara kecil juga telah memperketatkan kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan sehingga 4 Mei 2020. Bilangan kes COVID 19 di Singapura kini meningkat melepasi Indonesia, sekali gus muncul yang tertinggi di Asia Tenggara.

Penulis berpandangan, tempoh PKP fasa IV yang bakal berakhir pada 12 Mei 2020 ini kemungkinan akan dilanjutkan lagi sehingga selepas Hari Raya Aidil Fitri. Walaupun kes baharu harian mencatatkan angka dua digit, ianya masih statik dan belum menunjukkan penurunan yang yang begitu ketara. Jumlah kes yang masih di rawat dan keboleh jangkitan pula menurun dibawah paras dua ribu kes kelmarin dengan catatan 1966 kes. Jumlah ini masih ramai dan berharap dengan rawatan yang diberi, lebih ramai pesakit COVID 19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana telah berusaha siang dan malam untuk menangani penularan wabak COVID 19 ini. Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan yang tertinggi di dunia.

Sekiranya tempoh PKP ini ditamatkan sebelum Hari Raya Aidil Fitri, ianya berisiko dan bakal mengundang gelombang baru kerana masyarakat akan mula keluar berpusu-pusu untuk membeli belah bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri. Ianya sudah pasti akan mewujudkan satu perhimpunan atau berkumpulan samada di pusat membeli belah, restoran atau dimana jua. Dalam situasi ini sudah pastinya penjarakkan sosial tidak boleh diamalkan. Situasi ini yang akan menjadi kebimbangan kerajaan kerana ia bakal mengundang gelombang COVID 19 yang berikutnya.

Sebelum ini Datuk Seri Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan telah membayangkan sekiranya tempoh PKP ini ditamatkan, beberapa perkara perlu diberi perhatian iaitu tiada sebarang bentuk perhimpunan dibenarkan untuk tempoh enam bulan hingga setahun. Inilah yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri iaitu a new normal atau membiasakan diri dengan kebiasaan kehidupan baru. Tiada rumah terbuka Aidil Fitri, kunjung mengunjung rakan taulan dan lain-lain bentuk perjumpaan dan perhimpunan.

Saya pasti kerajaan telah melihat jauh situasi ini dan dari awal lagi telah merangka dan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat(PRIHATIN). Pakej yang diperkenalkan adalah untuk satu tempoh yang difikirkan wajar dalam menangani isu COVID 19 yang berlarutan ini. Sebagai contoh, moratorium pinjaman, yang mana penangguhan bayaran pinjaman diberi untuk enam bulan. Dengan tempoh moratorium selama enam bulan ini, kita dapat lihat bahawa kerajaan telah membayangkan proses pemulihan akan mengambil masa yang lama.

Kerajaan tidak akan menamatkan PKP ini secara tergesa-gesa atau dalam erti kata yang lain dalam tempoh terdekat dan telah membayangkan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP. Pihak kerajaan juga telah bercadang untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial. Begitu juga dengan sektor ekonomi, kajian sedang dijalankan tentang kaedah untuk memulihkan ekonomi secara bertahap bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

Saya kagum dan menghargai peranan yang dimainkan oleh frontliners dalam menangani COVID 19 ini. Warga KKM, petugas hospital, Polis, Tentera dan Rela telah mengharungi situasi ini selama lebih 40 hari bermula 18 Mac yang lalu. Kini mereka berdepan dengan suasana yang lebih mencabar iaitu berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas. Insyaallah pengorbanan mereka semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.

Biarlah masa yang menentukan segalanya dan beri ruang kepada kerajaan menentukan masa yang terbaik untuk kita semua kembali seperti sediakala. Wabak ini perlu dihapuskan sepenuhnya dan kerajaan pasti akan membuat keputusan bila tiba masanya untuk menamatkan PKP ini. Ia bagi memastikan wabak COVID 19 ini benar-benar tidak akan kembali lagi.

Hisham Nor
Putrajaya.


Thursday, 23 April 2020

SALAM RAMADAN 1441 HIJRAH


Alhamdullilah, seluruh masyarakat dunia yang beragama islam akan menyambut puasa di bulan Ramadan Al Mubarak. Bezanya pada kali ini kita akan berpuasa semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa III. Seperti yang dijangka, keadaan masih belum pulih sepenuhnya walaupun kes-kes baharu COVID-19 telah berkurang dengan ketara.

Tiada siapa yang pernah menyangka kita akan menempuh bulan Ramadan dalam tempoh PKP yang penuh cabaran. Tiada bazaar ramadan, tiada solat tarawih berjemaah di surau dan masjid, tiada moree di surau dan masjid, tiada majlis berbuka puasa anjuran kerajaan atau badan korporat dan lain-lain lagi. Semuanya kerana penularan Koronavirus atau dikenali COVID-19 yang melanda bukan sahaja di negara kita malah di serata dunia.

Menurut sumber jangkitan COVID-19 didakwa dikenalpasti buat pertama kali di China pada 17 November 2019. Akhbar South China Morning Post melaporkan, pihak berkuasa China telah mengenal pasti kira-kira 266 individu yang dijangkiti virus tersebut seawal bulan November iaitu beberapa minggu sebelum pengumuman rasmi tentang wabak baharu itu dibuat.

Sehingga kini, virus tersebut telah menjangkiti lebih 130,000 individu di 121 buah negara di seluruh dunia manakala jumlah kematian telah mencecah lebih 5000 orang.

Apa yang penulis ingin kongsikan di sini adalah, seluruh umat di Malaysia mengalami satu pengalaman baru. Seperti yang disebut oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin Perdana Menteri Malaysia, beliau meminta rakyat supaya membiasakan diri dengan kebiasaan kehidupan baru atau a new normal. Apa yang biasa dibuat dahulu tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian COVID-19. Semua dari kita terpaksa melalui sesuatu yang baru dalam menjalani kehidupan ini.

Ianya seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua dalam menempuh hari-hari yang berikutnya. Dalam menghadapi tempoh yang sukar ini, kita seharusnya bersyukur kerana ada kebaikan yang ALLAH S.W.T kurniakan kepada kita sebagai mahluknya di mukabumi ini. Saya percaya Ramadan pada tahun ini lebih istimewa dari tahun-tahun yang sebelumnya buat kita semua. Selama sebulan yang lalu yakni tempoh PKP fasa I dan fasa II, kita telah mengharungi tempoh tersebut dengan penuh kesabaran dan mungkin ada dikalangan kita yang telah terbiasa dengan situasi ketika ini.

Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita. Saya berpandangan berpuasa semasa tempoh fasa III PKP ini memberi kelebihan kepada kita semua sebagai umat islam.

Pertamanya perbelanjaan terkawal di mana kita akan berbelanja mengikut keperluan sahaja. Samada masak di rumah atau membeli makanan di restoran atau membeli makanan melalui penghantaran ke rumah. Jika dulu ada bazar Ramadan yang mana pada waktu petang menjelang waktu berbuka puasa kita berpusu-pusu membeli juadah. Pelbagai juadah dan aneka kuih muih dijual di bazar Ramadan yang kadangkala menjadi rambang mata untuk membeli makanan. Ketika perut menahan lapar, semua juadah kelihatan enak dan sedap. Lantas pelbagai makanan di borong yang mana akhirnya makanan yang dibeli terlalu banyak tidak dapat dihabiskan. Situasi ini secara langsung melihatkan pembaziran dilakukan.

Keduanya tempoh PKP ini memberi ruang dan masa kepada kita untuk mengurangkan pergerakan. Work from home atau bekerja dari rumah memberi kelebihan atau kelonggaran kepada kita untuk menjalankan tugas. Selepas waktu sahur dan subuh, kita tidak perlu bergegas ke pejabat mengharungi laluan yang sesak untuk sampai ke pejabat. Begitu juga pada waktu pulang bekerja kerana pada kebiasaannya warga kerja akan keluar awal dan serentak sama ada pulang ke rumah, mengambil anak di sekolah  atau ke bazar Ramadan. Keadaan jalanraya akan menjadi sesak dengan pertambahan kenderaan. Dengan itu fikiran akan lebih tenang dan badan pula tidak merasa penat.

Ketiganya pula adalah ruang untuk melakukan ibadah pula terbuka luas dan boleh mengambil sedikit masa selepas melakukan tugas bekerja dari rumah. Bulan Ramadan adalah satu bulan yang mulia bagi umat islam. Di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan dari azab neraka. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

Amalan berpuasa mengkehendaki kita berjihad melawan hawa nafsu yang mana kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita. Begitu juga dengan amalan dan aktiviti kita sepanjang sebulan yang lalu. Kita juga berjihad melawan COVID-19 dengan menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang kita suka.

Kesimpulannya, Ramadan pada tahun ini amat istimewa dan yang tidak dirasai ole generasi sebelum ini. Malah generasi yang akan datang juga belum tentu dapat menempuh pengalaman ini. Tanamkan sikap positif dalam diri dan sesuatu yang dikurniakan itu ada kebaikan di sebaliknya yang kita tidak ketahui. Marilah kita sama-sama banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT, mohon pertolongan untuk melawan COVID-19, insyaAllah semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin

Hisham Nor
Putrajaya.



Thursday, 29 December 2016

SEINDAH KOTA SUCI MEKAH


1.  Saban tahun berjuta umat islam di seluruh dunia mengunjungi kota suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah dan haji. Kesemuanya bertumpu ke kota suci itu khususnya Masjidil Al-Haram untuk menunaikan ibadah.

2.  Kaabah yang menjadi arah kiblat ke umat Nabi Muhammad S.A.W menjadi tumpuan sepanjang tahun. Jemaah meningkat saban hari khususnya pada musim haji.

3.  Pada bulan November yang lalu penulis berkesempatan untuk menghadiri bengkel di Jeddah. MENAFATF/FATF Workshop on Money Laundering telah diadakan selama 4 hari di Hilton Jeddah, hotel mewah bertaraf 5 bintang berdepan Laut Merah.

4.  Seramai lebih 100 peserta terdiri dari beberapa negara Teluk menyertai bengkel ini bagi membincangkan isu-isu global berkaitan penggubahan wang haram.

5. Disepanjang kursus, pihak pengajur telah memberi ruang kepada peserta beragama islam untuk menunaikan umrah dengan menyediakan pengangkutan atau coaster ke tanah suci Mekah.

6. Penulis amat teruja dengan keputusan penganjur yang menguruskan pengangkutan secara percuma ke Mekah. Tambahan pula, inilah dinamakan rezeki yang tidak diduga kerana kali terakhir mengunjungi Mekah adalah pada tahun 1999 sewaktu menunaikan ibadah haji.

7. Selama 4 hari berbengkel, penganjur telah menyediakan pengangkutan selama 2 hari berturut ke Mekah. Selesai bengkel pada jam 5.00 petang, peserta termasuk penulis bergegas ke bilik untuk bersiap dan mandi sunat serta solat sunat ihram.

8. Tepat jam 6.00 petang, peserta telah siap menunggu di lobi menunggu coaster yang akan membawa kami ke Mekah. Perjalanan ke Mekah mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Ianya juga bergantung kepada lalulintas yang mana sering berlaku kesesakan di Jeddah kerana jumlah kenderaan yang banyak.

9. Kami tiba di Mekah pada jam 8.00 malam dan coaster akan mengambil kami semula pada jam 11.00 malam. Tempoh 3 jam agak singkat, namun dengan masa yang ada penulis bersama rakan-rakan dapat melaksanakan ibadah umrah.

10. Waktu yang singkat digunakan sebaiknya. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dilapangkan laluan dan dipermudahkan perjalanan. Masjidil Haram tidak begitu sesak dan boleh dikatakan lapang. Mungkin waktu itu, masih diperingkat awal cuti sekolah bagi negara tertentu.

11. Pembangunan disekitar Masjidil Haram juga kelihatan perlahan dan tidak banyak kren disekeliling. Mungkin kebanyakkan projek yang rancak sebelum ini telah siap dilaksanakan.

12. Penulis ingin kongsikan pengalaman ini sebagai yang terindah kerana disamping melaksanakan tugas negara, kesempatan juga digunakan untuk menunaikan ibadah.

13. Banyak negara telah dilawati penulis seperti Doha, Dubai, Korea Selatan, Macau, Taiwan, Australia, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia… Ianya tidaklah seindah kota suci Mekah. Moga dimurahkan rezeki untuk ke sana lagi… Aamiin.

Hisham Nor
Petaling Jaya.



Wednesday, 28 December 2016

MENJELANG 2017...


1.  Menjelang 2017... tinggal 3 hari saja lagi 2016 melabuhkan tirainya. Tahun baru 2017   
     bakal menjelma. Pastinya cerita lama menjadi lipatan dalam sejarah hidup dan buku   
     baru dibuka dengan penuh semangat dan keazaman. 

2.  Saya juga tidak ketinggalan bagi menghadapi tahun baru dengan penuh keazaman. 
     Tiba juga masa untuk menilai prestasi diri pada tahun 2016. Apakah pencapaian yang 
     terbaik kita sepanjang 2016 dan bagaimana dengan azam atau matlamat yang masih 
     belum tercapai.

3.  Setahun sudah saya tidak menulis khususnya rencana di majalah. Tahun 2015 
     merupakan pencapaian yang terbaik buat diri saya kerana 3 buah artikel diterbitkan di 
     majalah Dewan Masyarakat. Ianya merupakan tahun pertama saya menulis artikel 
     setelah beberapa kali menanam impian untuk menulis dan terbit di majalah.

4.  Pada minggu yang lalu, saya mendapatkan buku-buku terbaru di pasaran khususnya 
     penulis tempatan. Setalah membaca beberapa buah buku khususnya berkaitan 
     penulisan dan kewartawanan, ia menarik perhatian saya untuk kembali menulis secara 
     serius. Harapan 2017 adalah untuk menulis beberapa buah artikel yang dapat 
     dikongsikan dengan pembaca. 

5.  Apa yang saya lihat, buku hasil karya penulis tempatan semakin bertambah dan ianya  
     satu perkembangan yang menarik. Penulis pula bukanlah dari golongan yang 
     berlatarbelakang penulis profesional seperti wartawan serta mempunyai pendidikan 
     dalam komunikasi. Ianya dari golongan profesional seperti jurutera, doktor, peguam 
     arkitek dan lain-lain. 

6.  Kebanyakkan mereka menulis kerana kebetulan atau secara suka-suka pada peringkat 
     awal. Namun minat mula berputik apabila hasil penulisan mereka diterima oleh 
     pembaca dan ia memberi kekuatan untuk terus menulis.

7.  Saya amat gembira melihat perkembangan ini kerana perkongsian ilmu dan maklumat 
     ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat. Harapan saya agar diberi 
     kekuatan fizikal dan minda untuk berkarya pada tahun 2017 nanti. Insyaallah.

Hisham Nor
Petaling Jaya.





Sunday, 3 April 2016

Program Teknologi Kejayaan Diri


Pada 2 April 2016 (sabtu), saya berkesempatan berkongsi ilmu tentang neuro linguistic programing melalui program Teknologi Kejayaan Diri bersama sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah di Kelana Jaya dan Sekolah Menengah Puchong. Program ini selama 4 jam sarat dengan maklumat berkaitan Neuro Linguistic Programing (NLP) yang mengkhususkan kepada pengendalian diri, membina matlamat yang sempurna dan sistem kepercayaan diri.

Para pelajar telah didedahkan kepada beberapa latihan yang menjurus kepada bagaimana mengendalikan diri serta mengawal emosi agar ia berada dalam keadaan puncak bagi mencapai kecemerlangan. Sekiranya pelajar dapat mengawal keadaan diri dan emosi, maka ia akan memudahkan pelajar melakukan apa juga tugasan atau belajar dalam menuje ke arah kejayaan dalam pelajaran.

Saya amat teruja dengan semangat dan komitmen yang diberi oleh pelajar sepanjang 4 jam sesi ini berlangsung. Di harap beberapa program sebegini akan diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu NLP.

Hisham Nor. 

Monday, 28 March 2016

Sirih Pulang ke Gagang




Hampir enam tahun meninggalkan USPTN dan SUKMA, kini kembali bersama atlet Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk program Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPTN) dan atlet SUKMA Wilayah Persekutuan (WiPers) bagi mengharungi cabaran SUKMA edisi ke 18 yang akan berlangsung pada Julai 2016 di Kuching, Sarawak. 

Namum, kehadiran pada kali ini berbeza dengan sebelumnya kerana pelatih akan mempelajari ilmu teknikal bowling dan juga persediaan mental melalui kaedah Neuro Linguistic Programing (NLP). NLP adalah merupakan kaedah yang berkesan dalam menangani kekusutan mental dikalangan atlet ketika menghadapi kejohanan. 

Team WiPers beraksi hambar pada SUKMA edisi ke-17 di Perlis, Sarawak dan diharap agar persiapan pada kali ini akan lebih sistematik dan pemain lebih bersedia dari aspek fizikal dan mental sebelum turun ke 'lane'. 

Hisham Nor.

Thursday, 24 March 2016

KEGEMILANGAN WIPERS



Kejohanan Interstate and National Close 2016. melabuhkan tirainya minggu lalu. Pada kejohanan antara negeri @ interstate championship, Team Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibarisi sebahagian besar pemain yang bakal beraksi di SUKMA 2016 telah mengungguli kejohanan dengan kemenangan besar meraih 5 pingat emas dan seterusnya dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Kejohanan. 

Kemenangan ini merupakan hatrik buat Team Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai WiPers kerana telah memenangi 3 tahun. Kemenangan ini menjadi medan pengukur prestasi pemain team WiPers dalam menghadapi saingan di SUKMA 2016 di Kuching, Sarawak pada bulan Julai nanti.

Ianya merupakan pengalaman manis kerana saya telah lima tahun meninggalkan kejurulatihan dan kini kembali ke 'lane' untuk menabur bakti kepada team WiPers. 

Penghargaan buat pengurus dan jurulatih serta pemain yang telah menggalas tugas dengan baik bagi memastikan kejayaan Wipers. 

Tahniah kepada Timmy Tan dan Rafiq Ismail yang telah menjadi juara dan naib juara pada acara akhir stepladder Tertutup Malaysia.

Semoga kecemerlangan diteruskan di temasya SUKMA 2016 nanti.

Hisham Nor.

Saturday, 1 August 2015

SEMBANG RAYA

1.  Hari ini masuk hari ke 16 bulan Syawal dan Hari Raya Aidil Fitri masih disambut dengan meriahnya di seluruh pelusuk negeri. Belum terlewat juga untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pembaca yang saya sayangi dan hormati. Sudah pasti di hujung minggu ini dipenuhi dengan jemputan rumah terbuka dari sahabat handai hingga lah ke kaum kerabat.

2.  Jalanraya di ibukota tidak seperti biasa dihujung minggu pada bulan Syawal ini. Laluan sesak di merata tempat kerana hendak memenuhi jemputan raya. Peningkatan kenderaan dan kesesakan trafik ini memerlukan kita untuk merancang perjalanan agar tidak lewat sampai ke destinasi yang hendak dituju.

3.  Apa yang menarik di Hari Raya ini adalah tentang sembang-sembang raya. Setiap kali tibanya Syawal pasti ada cerita-cerita menarik yang hendak di sembang dan adakalanya seperti dibahaskan dikalangan rakan-rakan dan saudara mara. 

4.  Ini menariknya Hari Raya kerana sanak saudara berkumpul yang mungkin telah lama tidak bertemu dan berbual bertanya khabar. Sembang-sembang kadang kala bukan hanya tentang perkembangan diri atau keluarga, malah ia hingga ke isu-isu semasa negara.

5.  Apakah isu-isu yang lazimnya disembang agaknya je? Sudah pasti isu 1MDB dan kepimpinan negara menjadi tajuk perbualan. Kadang kala ada yang sealiran dan ada yang bertentangan. Pelbagai hujah dikemukakan dan pandangan disudut masing-masing. Masing-masing mepunyai sumber-sumber yang kadang kala tidak pasti kesahihannya.

6.  Perbahasan kadangkala boleh mengakibatkan perbalahan apabila ada perbezaan pendapat. Sebaiknya hindarkan dari membahaskan isu-isu yang sensitif di bulan yang mulia ini. 

7. Lebih baik kita bicarakan isu-isu keluarga dan bagaimana untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Ianya lebih bermanfaat kerana di kala negara mengalami pelbagai isu seperti kenaikan harga barang dan sebagainya, kita perlu fikir tentang bagaimana untuk keluar dari kemelut ini dan mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.

8.  Biarlah apa yang hendak berlaku dan biarlah mereka mencari jalan penyelesaian. Kita fokus kepada kehidupan kita dan mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup. Apa yang kita bahas dan tentang tidak dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi.

Hisham Nor
Petaling Jaya.