Saturday, 18 July 2015

Saturday, 23 May 2015

ULASAN BUKU- GST UNTUK BISNES & PENIAGA


JUDUL: GST UNTUK BISNES DAN PENIAGA
PENULIS: Norsa’adah Ahmad
TERBITAN: TrueWealth Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.


Pelaksanaan GST pada 1 April 2015 memberi senario baru kepada sistem percukaian negara. GST merupakan satu sistem cukai kepenggunaan yang lebih cekap dan telus berbanding  Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1970an. Penulisan buku GST untuk bisnes dan peniaga yang di tulis oleh Norsa’adah Ahmad mengupas beberapa persoalan penting dalam pelaksanaan GST khususnya kepada peniaga. Isu pelaksanaan GST telah lama di perkatakan oleh  peniaga kerana mereka merupakan golongan yang akan melaksanakan sistem percukaian baru ini.

Dalam buku ini, penulis menyenaraikan 40 soalan penting berkaitan GST yang memfokuskan konsep dan pelaksanaan GST, pengenalan kepada terma-terma teknikal dalam GST yang diberikan penerangan secara mudah, undang-undang dan peraturan GST serta implikasi GST kepada beberapa industri terpilih. Pemahaman tentang pelaksanaan GST bakal membantu peniaga untuk membuat keputusan yang wajar dalam perniagaan dan operasi syarikat sama ada dari segi strategi bisnes, pembangunan modal insan dan pengurusan aliran tunai.

Penulis telah melakukan kajian dan perbandingan di 7 buah negara terpilih berkaitan dengan sistem percukaian dan pelaksanaan GST atau dikenali sebagai VAT (Value Added Tax) di sesetengah buah negara.  Hampir kesemua negara anggota ASEAN telah melaksanakan GST kecuali Myanmar dan Brunei.

Bahagian 1 buku ini membincangkan mengenai apa itu GST dan mengapa sistem percukaian baru ini perlu dilaksanakan untuk menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Bahagian 2 menumpukan kepada keperluan untuk mendaftar dengan GST dan siapakah yang layak untuk mendaftar. Pendaftaran GST bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis pembekalan, nilai ambang (threshold) dan lokasi perniagaan. Bahagian 3 pula memberi maklumat tentang latihan yang disediakan oleh kerajaan serta insentif yang ditawarkan kepada peniaga untuk mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran.

Bahagian 4 hingga 7, membincangkan mengenai model GST dan mekanisme cukai kepenggunaan yang cekap dan telus merangkumi pelbagai jenis pembekalan mengikut takrifan pembekalan bercukai dan dikecualikan. Beberapa persoalan teknikal berkaitan formula pengiraan GST dan format invois di perjelaskan bagi memudahkan peniaga mengurus perakauan.

Penulis menerangkan takrifan cukai input dan cukai output serta apakah jenis cukai input yang dibenarkan dan cukai output yang boleh dikenakan kepada pelanggan. Beberapa contoh diberi bagi memudahkan pembaca memahami dengan mudah langkah penyediaan penyata cukai berdasarkan maklumat dan rekod perakauan perniagaan.

Bahagian 8 menjawab beberapa persoalan berkaitan aspek pematuhan dan kesalahan di bawah Akta Cukai dan Perkhidmatan 2014. Peniaga perlu mengambil perhatian tentang beberapa aspek utama seperti pendaftaran, penyimpanan rekod, pemfailan cukai dan aktiviti frod serta pengekan cukai. Bahagian 9 pula menjelaskan impak GST kepada beberapa sektor ekonomi khususnya pengilangan, perkhidmatan, peruncitan, pertanian, dagangan emas dan hartanah.

Buku ini mudah difahami dan sangat sesuai dijadikan rujukan peniaga. Ianya juga menjawab persoalan GST yang wujud dalam industri dengan penjelasan yang menyeluruh. Masyarakat awam juga boleh mendapatkan manfaat daripada buku ini dan memahami bagaimana pelaksanaan GST pada peringkat industri bagi menambahkan pengetahuan.


ULASAN BUKU- GST UNTUK PENGGUNA


JUDUL: GST UNTUK PENGGUNA
PENULIS: Norsa’adah Ahmad
TERBITAN: TrueWealth Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.


Pelaksanaan GST pada 1 April 2015 menjadi perhatian masyarakat khususnya pengguna. Keperihatinan dan kesedaran ini dapat memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kepada paras tidak munasabah yang akhirnya akan membebankan pengguna. Penulisan buku GST untuk Pengguna: 40 soalan penting untuk memahami GST dan pelaksanaannya di Malaysia yang di tulis oleh Norsa’adah Ahmad mengupas beberapa persoalan penting dalam pelaksanaan GST khususnya kepada pengguna dan menghadapi perubahan ini dengan positif dan efektif.

Dalam buku ini, penulis menyenaraikan 40 soalan penting berkaitan GST yang memfokuskan konsep dan pelaksanaan GST, peranan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, peniaga dan pihak swasta, hak pengguna serta implikasi GST kepada pengguna.

Penulis telah melakukan kajian dan perbandingan di beberapa buah negara terpilih berkaitan dengan sistem percukaian dan pelaksanaan GST atau dikenali sebagai VAT (Value Added Tax) di sesetengah buah negara.  Hampir kesemua negara anggota ASEAN telah melaksanakan GST kecuali Myanmar dan Brunei.

Bahagian 1 buku ini menjelaskan apa itu GST dan perbezaannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan. Manakala bahagian 2 menyenaraikan beberapa insentif kepada rakyat serta pakej bantuan untuk mengurangkan beban kewangan golongan sasaran. Bahagian 3 pula membincangkan implikasi GST kepada pengguna dan secara umumnya terdapat beberapa jenis barang akan mengalami peningkatan pada peringkat awal pelaksanaan.

Bahagian 4 buku ini memberi tumpuan kepada hak pengguna dalam GST kerana pengguna merupakan golongan yang akan menanggung cukai ini. Bahagian ini turut menjelaskan peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaku agensi pelaksana dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) dalam menangani aktiviti pengambilan untung yang berlebihan oleh peniaga.

Bahagian 5 menyenaraikan syarat dan langkah demi langkah untuk pelancong membuat tuntutan semula cukai yang telah dibayar. Skim ini di kenali sebagai Skim Bayaran Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) dan skim ini melayakkan pelancong menuntut semula cukai yang dikenakan semasa membuat pembelian di Malaysia.

Bahagian 6 dan 7 pula menjawab persoalan berkaitan amalan perbelanjaan yang bijak di kalangan pengguna. Persoalan tentang isu berkaitan GST seperti kesan pelaksanaannya kepada ekonomi negara dan sama ada GST di benarkan dalam islam.

Buku ini sangat praktikal kerana ia menerangkan secara ringkas dan jelas tentang GST. Ia amat berguna kepada pembaca kerana mudah difahami dan sangat sesuai dijadikan rujukan.


Ulasan Buku- DESTINI DI PENGHUJUNG PELANGI


JUDUL: DESTINI DI PENGHUJUNG PELANGI
PENULIS: Md Taib Mat
TERBITAN: MTM Consultants Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.

Kejayaan merupakan impian bagi setiap insan dan setiap perkara yang dilakukan pastinya mempunyai matlamat dan sasaran untuk dicapai. Dalam apa jua bidang yang diceburi, setiap individu akan cuba melakukan yang terbaik dan menggelakkan diri dari menemui kegagalan. Setiap kerumitan yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Setiap individu perlu motivasi diri bagi mengekalkan tahap kecemerlangan yang konsisten.

Buku terbaharu yang diterbitkan oleh MTM Consultants Sdn Bhd, Destini di Penghujung Pelangi, Menjuarai Kecemerlangan & Mengatasi Kegagalan adalah merupakan novel coaching kendiri dengan menggunakan teknik Neuro Linguistic Programming (NLP) untuk pelajar. Buku ini digarap dalam bentuk yang paling mudah difahami dan diikuti supaya pelajar mudah mengamalkannya.

Buku yang ditulis oleh Haji Md Taib Mat ini adalah merupakan sebuah buku motivasi dalam bentuk novel dan ianya bukanlah sebuah buku teori, tetapi mengandungi banyak saranan, tip-tip serta idea yang dapat dilaksanakan dengan serta merta selepas membacanya. Ianya ditulis dalam bentuk penceritaan bagi memastikan pembaca tertarik dan seronok membacanya. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis sebagai seorang coach dan maklum balas yang diterima selama bertahun-tahun.

Pelajar yang dahagakan kejayaan dan inginkan pelajarannya semakin kukuh dan mantap. Bagaimana hendak menjadi pelajar yang biasa kepada luarbiasa, pelajar dihidangkan dengan tip dan kaedah untuk memastikan mereka yang membaca buku ini menjadi lebih berjaya dan cemerlang. Jika pelajar tidak mahukan kegagalan, buku ini banyak memberi petunjuk untuk membolehkan pembaca mengatasinya.

Buku ini berasaskan kepada kaedah-kaedah Neuro-Linguistic Programming yang lebih dikenali akronimnya dengan NLP. Kaedah ini mengandungi berbagai-bagai teknik yang merangkumi sains dan seni bagaimana manusia dapat mencapai apa-apa yang dimahukannya. Buku ini terhasil daripada pemerhatian terhadap manusia yang cemerlang dan berdasarkan model-model kecemerlangan manusia.

Antara teknik-tenik NLP yang dimuatkan dalam buku ini termasuklah membina matlamat yang sempurna, garis masa atau timeline, mengendalikan keadaan diri atau state management, soalan dan pertanyaan kaedah model meta, gaya pemikiran manusia, fisiologi diri, dan banyak lagi.


Buku ini juga sesuai dibaca oleh ibu bapa dan guru untuk dijadikan panduan bagi mendidik serta memberi motivasi kepada anak dan pelajar mereka. Buku ini mnyedarkan pembaca supaya sentiasa menjadi individu yang cemerlang.


Monday, 11 May 2015

CUBA BUNUH DIRI KERANA GST

1.  Perkara ini sememanganya telah di jangka sejak dari awal pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015. GST adalah merupakan satu sistem percukaian baru yang menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah dilaksanakan sejak 1972 dan 1975.

2.  Cubaan bunuh diri yang dilaporkan berlaku di Teluk Intan, Perak itu mungkin bukan yang pertama berlaku kerana mungkin ramai yang melahirkan rasa tertekan dengan pelaksanaan GST. Mujurlah beliau sempat diselamatkan walaupun telah meminum racun dan sempat mengkelarkan tangganya. 

3.  GST adalah merupakan sistem percukaian yang telus dan akan membawa banyak manfaat kepada rakyat. Peniaga yang menghadapi masalah adalah golongan warga emas khususnya yang menjalankan perniagaan tunggal seperti kedai runcit, kedai kopi, kedai jam dan beberapa jenis perniagaan lagi.

4.  Pada kebiasaannya golongan ini telah menjalankan perniagaan sejak berpuluh tahun dan ada di antaranya telah berniaga sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Golongan ini rata-rata berumur sekitar 60 tahun ke 70 tahun dan mereka mengamalkan buku kira-kira secara konservatif.

5.  Sistem perakaunan GST agak kompleks tetapi ianya tersusun dan mudah sekiranya mereka dapat mempelajari secara mendalam. Peniaga boleh membeli perisian perakauan GST di pasaran bagi memudahkan mereka merekod jualan dan pembelian serta mengenakan GST kepada pelanggan. Disamping itu, ia juga memudahkan mereka untuk untuk menuntut semula cukai yang telah dibayar (input tax) untuk pembelian bagi tujuan perniagaan.

6.  Namun begitu, golongan warga emas ini bukanlah mahir dengan penggunaan komputer kerana mereka telah biasa dengan sistem atau cara lama iaitu merekodkan semua urusan di dalam buku rekod. Ada yang bernasib baik kerana anak-anak mereka membantu dalam menguruskan akaun dan anak mereka ini mempunyai kemahiran dalam mengendalikan komputer.

7.  Bagi mereka yang mengendalikan sendirian, ia merupakan satu masalah yang besar kerana terpaksa mempelajari sistem komputer untuk mengendalikan akaun mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa belajar mengendalikan komputer dan ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mereka yang telah mencapai usia emas.

8.   Saya percaya situasi ini telah menyebabkan peniaga yang menjalankan perniagaan tunggal ini tertekan untuk menguruskan akaun melalui komputer. Mereka juga bimbang sekiranya tidak mematuhi peraturan atau gagal menghantar penyata mengikut masa yang ditetapkan, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.

9.  Walaubagaimanapun ada juga peniaga yang mengambil sikap sambil lewa atau sikap tunggu dan lihat sewaktu sebelum pelaksanaan GST. Mereka diberi ruang dan masa yang secukupnya untuk membuat persediaan dan kerajaan telah memberi tempoh 18 bulan untuk membuat persediaan. 

10.  Peniaga ini menunggu di saat akhir untuk mendaftar walaupun nilai tahunan perniagaan mereka telah mencecah RM500 ribu. Mereka ini percaya bahawa kerajaan akan menangguh atau membatalkan pelaksaan GST dan sebab itu mereka tunggu dan melihat keadaan semasa.

11.  Apabila kerajaan melaksanakan GST pada 1 April 2015, peniaga-peniaga ini  mula kelam kabut dan melakukan persiapan di saat akhir. Peniaga ini perlu memahami konsep asas GST dan sekiranya mereka mula melakukan persediaan seawal kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST, peniaga pasti tidak akan menghadapi masalah dalam menguruskan akaun perniagaan.

12.  Kesimpulannya, pelaksanaan GST ini bukan satu sistem yang merumitkan dan peniaga yang menjalankan perniagaan tunggal ini memerlukan masa untuk mempelajari dan memahami konsep dan mekanisma GST. Pihak yang terbabit perlu memberi bimbingan dari masa ke semasa kepada golongan ini agar sistem pelaksanaan ini berjalan dengan lancar.

HISHAM NOR.
Petaling Jaya.

Monday, 6 April 2015

KEWAJIPAN MEMBAYAR HUTANG

Kewajipan membayar hutang, merupakan artikel terbaru saya yang terbit di Dewan Masyarakat keluaran April 2015. Artikel ini membicarakan isu lepasan graduan yang liat untuk membayar hutang PTPTN. Beberapa insentif telah ditawarkan oleh PTPTN seperti diskaun dan jadual pembayaran yang fleksibel bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman agar ia dapat disalurkan semula kepada generasi yang akan datang. 

Dapatkan majalah Dewan Masyarakat, keluaran April 2015 untuk mengetahui kupasan isu ini.


HISHAM NOR.

ERA GST

1.  Tepat jam 12.00 tengah malam, 1 April 2015 bermula era baru dan Sistem Pecukaian Negara. Cukai Barang dan Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai GST mula berkuatkuasa di seluruh negara.

2.  Setelah 10 tahun berlalu, akhirnya menjadi kenyataan apabila kedai atau premis yang telah berdaftar diseluruh negara melaksanakan GST. Cadangan pelaksanaan telah lama dibincangkan dengan peniaga dan masyarakat. Pembentangan bajet negara pada Oktober 2014, Y.A.Bhg. Tun Abdullah Badwi pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan GST pada 1 Januari 2014. Namun hasrat tersebut ditangguhkan dengan alasan untuk memberi ruang dan masa kepada golongan peniaga untuk memahami dan bersedia menghadapi GST.

3.  Pada hari pertama pelaksanaan, ramai dikalangan rakyat yang keliru kerana mereka belum membiasakan diri dengan sistem percukaian ini. Namun ianya hanya bersifat sementara kerana keadaan akan menjadi stabil untuk tempoh beberapa bulan akan datang.

4.  Ada dikalangan peniaga yang tidak menjangka, kerajaan akan meneruskan hasrat melaksanakan GST kerana mereka mengharapkan agar kerajaan menangguh atau membatalkan cadangan melaksanakan GST.

5.  Ini adalah kerana bantahan yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan atau NGO semakin hangat sehingga mengadakan demo di Pejabat Kastam, Wilayah Persekutuan tempohari. 

6.  Sehubungan dengan itu, ada dikalangan peniaga yang menanti di saat akhir untuk mendaftar walaupun tarikh pendaftaran GST telah ditutup. Peniaga yang mendaftar selepas tarikh pendaftaran ditutup akan dikenakan kompaun sehingga RM15,000.

7.  Isu yang hangat diperkatakan pada hari pertama adalah peniaga menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya. Walaupun mereka tidak mendaftar dan tidak mempunyai nombor pendaftaran GST, peniaga mengenakan GST keatas pengguna.

8.  Isu top-up kad pra-bayar juga merupakan isu yang hangat dimana sebelum ini untuk top-up bernilai RM10.00, pengguna hanya membayar RM10.00 sahaja tetapi selepas GST mereka dikenakan sebanyak RM10.60. 

9.  Di harap penguatkuasaan oleh agensi terlibat perlu digandakan bagi mengatasi masalah dan isu yang dibawa oleh pengguna. Pengguna ingin melihat penguatkuasaan yang tegas dan tindakan yang berat dikenakan kepada peniaga yang melakukan kesalahan.

HISHAM NOR.

Saturday, 15 November 2014

PEMINJAM TEGAR BERDEPAN TINDAKAN TEGAS

1.   Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) akan mengambil tindakan yang tegas keatas peminjam yang degil membayar hutang. Ini berikutan langkah yang bakal diambil oleh PTPTN iaitu menyenarai peminjam yang terdiri dari lepasan universiti melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System) atau lebih dikenali sebagai CCRIS. Antara yang direkodkan dalam CCRIS adalah semua jenis pinjaman peribadi, pinjaman rumah, kenderaan, hutang kad kredit serta menjadi penjamin kepada peminjam.

2.      Sistem ini dikendalikan Biro Kredit ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara 1958 dan mula beroperasi sejak tahun 1982. Setiap institusi kewangan yang bernaung di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menghantar maklumat semua peminjam secara bulanan ke BNM untuk dimasukkan ke pengkalan data. Maklumat ini sentiasa dikemaskini berdasarkan laporan dari institusi kewangan terbabit. Dengan adanya sistem CCRIS, institusi kewangan boleh membuat semakan tentang komitmen kewangan seseorang yang ingin membuat pinjaman.

3.   Menurut Pengerusi PTPTN, Dato’ Syamsul Nasarah, penyenaraian akan dibuat secara berperingkat melibatkan seramai 173,985 peminjam tegar yang langsung tidak pernah membayar pinjaman mereka lebih 3 tahun dari tarikh mereka patut bayar balik dengan jumlah tunggakan sebanyak RM1.23 billion. Langkah ini diambil setelah mendapat pandangan Kabinet, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mahasiswa dan Jawatankuasa Fiskal.

4.   PTPTN perlu menyediakan pinjaman sebanyak 5.0 billion setahun bagi membiayai  kos yuran dan sara hidup pelajar di IPTA dan IPTS. Sejak tahun 1997 hingga 30 September lalu, PTPTN sudah meluluskan pembiayaan pendidikan sebanyak RM48.36 billion kepada lebih 2.1 juta pelajar di negara ini.

5.   PTPTN juga mengambil langkah penjimatan bagi memastikan manfaat pembiayaan dapat diberi kepada semua yang memerlukan kemudahan pembiayaan. Langkah pengurangan pembiayaan pinjaman adalah sebanyak 5% kepada IPTA dan 15% kepada IPTS. Langkah ini berikutan kekurangan dana bagi menampung 50,000 peminjam baru yang akan memulakan pengajian pada bulan ini.

6.      Kekurangan dana tersebut telah menyebabkan PTPTN mengambil langkah drastik untuk menyenaraikan peminjam kedalam CCRIS bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mereka.

7.    Tunggakan sebanyak RM1.23 billion merupakan satu jumlah yang besar dan dapat memberi pinjaman kepada sebilangan besar pelajar yang memerlukan. Langkah ini dilihat perlu kerana sekiranya tiada usaha yang tegas diaambil maka lebih ramai lagi peminjam akan mengambil kesempatan untuk menggelak dari membayar balik pinjaman.

8.      Kerajaan juga faham masalah yang dihadapi oleh pelajar kerana ada diantaranya masih tidak mendapat pekerjaan yang tetap atau bekerja secara sambilan. Namun begitu peminjam mempunyai ruang untuk berunding dengan pihak PTPTN bagi mencari kaedah dan jadual pembayaran yang fleksibal bersesuaian dengan keadaan dan situasi peminjam tersebut.

9.      Saban tahun pihak PTPTN telah berusaha mendapatkan semula bayaran balik pinjaman dan  diskaun juga telah ditawarkan kepada peminjam yang ingin membayar penuh pinjaman. Namun segala usaha yang dilakukan tidak menghasilkan pulangan yang diharapkan dan masih ramai lagi peminjam yang berdegil untuk tampil membayar balik pinjaman.

10.   Sekiranya peminjam masih berdegil untuk tidak mahu menjelaskan pinjaman, mereka bakal berdepan dengan masalah untuk mendapat pinjaman dari institusi kewangan di masa akan datang. Melalui CCRIS segala data peminjam direkod dan institusi kewangan akan menyemak melalui CCRIS sebelum meluluskan sesuatu pinjaman itu. Peminjam akan menghadapi kesukaran untuk membeli rumah, kenderaan atau membuat pinjaman peribadi dari institusi kewangan kerana maklumat atau data peminjam akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman.

11.     Isu ini perlu dilihat dari sudut yang positif kerana bilangan pelajar yang mendak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi semakin meningkat dari tahun ke tahun. Keperluan pendidikan semakin meningkat dan persaingan untuk melanjutkan pelajaran semakin mendesak.

12.     Matlamat penubuhan PTPTN untuk memberi memberi pinjaman kepada pelajar ijazah pertama di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta tempatanuntuk membiayai yuran pengajian, kos sara hidup serta pembelian buku dan peralatan yang berkaitan.

13.    Sehubungan dengan itu, peminjam perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman kerana ramai yang memerlukan pinjaman untuk meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.

14.     PTPTN telah merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenaraikan dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau arahan tetap bank.

15.   Pada kesimpulannya, peminjam diberi masa dan peluang untuk melunaskan hutang mereka dengan kaedah ansuran yang tidak membebankan mereka. Mereka perlu mengambil kesempatan ini memandangkan kerajaan telah banyak memberi ruang.


Hisham Nor.